PADA Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) sapu bersih 20 daripada 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertanah Felda.
Johor mempunyai 73 tanah rancangan termasuk gugusan Felda membabitkan Segamat, Kota Tinggi, Kulai dan Tenggara dengan lebih 27,000 peneroka.
Cuma dalam PRN itu kerusi DUN Endau terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN).
Sementara dalam PRN Sabah 26 September 2020, Parti Warisan (Warisan) menang dua kerusi Felda iaitu DUN Sebatik dan Tungku. Masing-masing dalam Parlimen Kalabakan dan Lahad Datu. Penyandang kerusi Sebatik, Hassan A. Gani Pg. Amir bagaimanapun keluar Warisan dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bagaimana dengan kedudukan terkini peluang parti-parti bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menguasai pengundi-pengundi Felda? Dalam Felda sahaja, selain 54 kerusi Parlimen sedia ada, turut meliputinya adalah 92 kerusi DUN. Tanah rancangan orang Melayu itu mempunyai 317 kawasan penempatan peneroka. Felda Plantation sahaja memiliki tanah seluas 341,000 hektar – majoritinya di Sabah dengan keluasan 100,000 hektar.
Undi masyarakat Felda memainkan peranan besar menjamin kemenangan parti-parti politik bertanding. Kehadiran generasi baharu sudah lama mengubah iklim politik peneroka, sekali gus menjadikan kawasan Felda tidak lagi dianggap hak mutlak mana-mana parti. Isu perumahan generasi kedua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka dikatakan antara isu yang berterusan dan masih perlu ditangani. Meskipun suatu ketika banyak pencapaian diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, masih ada pihak tidak berpuas hati atau mengiktirafnya.
DABIK DADA
Realitinya hari ini tiada siapa boleh mendabik dada mendakwa parti merekalah yang menguasai kerusi-kerusi Felda. Yang betul soal ini adalah – siapa yang bekerja keras untuk perjuangkan nasib dan kebajikan peneroka, akan mendapat imbalannya.
Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU13 hanya menang enam daripada keseluruhan 54 kerusi Parlimen dalam tanah rancangan itu. Antaranya Raub, Kuala Nerus, Temerloh, Dungun, Kulai dan Sungai Siput. Begitupun, PH berjaya membuktikan sesuatu itu tidak mustahil digapai asalkan jentera parti bekerja keras. Ini berikutan pertambahan drastik kerusi Parlimen dimenangi PH di kawasan Felda.
Dalam PRU14, PH dianggotai DAP, PKR, Bersatu dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang memakai lambang PKR menguasai 19 kerusi Parlimen di Felda berbanding hanya satu kerusi diraih PKR secara solo pada 2013. Nasib bagaimanapun tidak memihak UMNO-BN yang pernah memenangi 48 kerusi Parlimen Felda pada 2013, tetapi pada PRU14 sekadar memungut 27 kerusi Parlimen – antara faktor penyebab tumbangnya BN.
Di Pahang sahaja, sejumlah 12 daripada 14 kawasan Parlimen di negeri itu penempatan Felda. Hanya dua kawasan tidak ada penempatan Felda iaitu Kuantan dan Indera Mahkota dengan kedua-duanya dimenangi PKR dalam PRU13 Mei 2013.
Felda begitu sentimental kepada orang Melayu. Di negara lain, pemerintah di sana tidak membekalkan kemudahan-kemudahan atau memberi pemilikan tanah seperti dilaksanakan di Malaysia. Pembinaan surau dan masjid pun terpaksa dikendalikan rakyat sendiri.
Suatu ketika, peladang di Bukit Tinggi, Sumatera Barat tidak mendapat bantuan baja, tiada bantuan tanam semula antara RM9,320 hingga RM14,000 sehektar (Semenanjung, Sabah dan Sarawak) seperti pernah yang dinikmati pekebun kecil negara ini. Skim rancangan pemilikan tanah kebun ala Felda juga tidak ada. Skim pemulihan tanah seperti yang dikendalikan Felcra tidak kedengaran oleh mereka.
Tiada siapa dapat menyangkal sumbangan dan jasa Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang begitu sinonim dan dekat di hati warga Felda khususnya peneroka. Bakti dan sumbangan Perdana Menteri kedua itu dalam usaha menubuhkan Felda untuk membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat bagi tujuan pembangunan, lebih 50 tahun lalu bukan sahaja berjaya mengatasi masalah kemiskinan masyarakat luar bandar bahkan meningkatkan taraf hidup golongan itu sehingga hari ini.
KUASA PENENTU
Dengan jumlah peneroka Felda, yang belum lagi dikira membabitkan generasi kedua dan ketiga, selain ahli keluarga mereka, menjadikan undi warga Felda sangat signifikan dan mampu menentukan parti mana yang bakal dipilih menjadi kerajaan Pusat 19 November ini.
Masih ingat lagi rakan-rakan daripada UMNO, Pas dan Bersatu akan kenyataan seorang pemimpin DAP 1 Mac lalu: “Sekiranya BN tidak bersama Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya akan datang (PRU15), Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang cerah untuk kembali menjadi kerajaan,” dakwa pemimpin itu yang dipetik daripada laporan akhbar Cina.
Tambah pencatur strategi DAP itu lagi: “Sekiranya memperoleh sokongan tambahan 15 peratus pengundi Melayu, matlamat PH untuk kembali menjadi kerajaan mungkin dapat direalisasikan.
“Berdasarkan satu dapatan kajian, situasi itu boleh berlaku sekiranya jumlah peratusan itu ditambah dengan pengundi bukan Melayu yang sedia menyokong PH,” katanya.
Ya, jumlah 54 kerusi Parlimen Felda yang di dalamnya meliputi sama 92 kerusi DUN cukup besar ertinya kepada mana-mana parti Melayu hari ini.
Isunya sekarang ini, parti-parti Melayu terlampau banyak. Lebih malang lagi, berpecah-belah.
Maka kalau diikutkan kata pemimpin DAP itu tadi, barangkali benarlah – dengan mudah sahaja untuk PH ‘sapu’ mereka. – UTUSAN










