MUKADIMAH
HARAPAN dan kepercayaan diletakkan sepenuhnya di atas bahu Naib Presiden MIC, DATUK T. MOHAN untuk merampas semula kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) di Hulu Selangor.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, calon BN dari MIC, Datuk P. Kamalanathan gagal mempertahankan kerusi itu setelah tewas kepada calon PKR, June Leow Hsiad Hui dengan majoriti 13,391 undi.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, calon BN pada PRU15 itu berkata, Parlimen Hulu Selangor adalah antara kerusi tradisi MIC dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel pernah memenangi kerusi berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada 1990, 1995, 1999 dan 2004.
Walaupun Mohan terpaksa berdepan enam penjuru, namun beliau percaya 154,317 pengundi berdaftar dikawasan itu sudah bijak memilih wakil rakyat yang benar-benar bekerja dan mampu membawa suara mereka di Parlimen.
UTUSAN: Mampukah BN mengekalkan kerusi tradisi Hulu Selangor?
MOHAN: Saya percaya kali ini BN akan merampas semula kerusi tersebut. Saya lihat pengundi sudah menilai dan tahu siapa yang boleh buat kerja serta boleh menyumbang kepada ekonomi dan kemakmuran negara.
Datuk akan berdepan Pengasas Kumpulan SP Care, Dr. Sathia Prakash Nadarajan yang dikatakan calon kuat ekoran mempunyai beberapa cawangan klinik serta dikenali penduduk setempat. Komen?
Bagi saya, tak ada apalah (bersaing) walaupun dia mempunyai banyak cawangan klinik. Itu tak ada hal, lagipun perkhidmatan yang ditawarkan kepada penduduk di sini berbayar, bukannya percuma. Lainlah kalau dia beri rawatan percuma, itu mungkin pengundi akan ikut serta memangkah dia di kertas undi.
BN beri Klinik 1Malaysia pun kalah juga. Inikan pula klinik swasta yang berbayar.
Bagaimana dengan jangkaan kemenangan lebih-lebih lagi berdepan enam penjuru?
Peluang untuk menang bergantung kepada pengundi tapi berdasarkan maklum balas, mereka sudah sedar, mereka sudah tahu kerajaan mana boleh tolong mereka. Apabila berkempen, berjumpa jentera dan orang awam, kebanyakan mereka berterus terang mahu BN kembali. Saya menerima pelbagai mesej positif daripada penduduk di sini dan saya percaya majoritinya akan menyokong.
Janji dan perubahan yang akan di bawa sekiranya diberi mandat boleh rakyat?
Janji saya akan menambah baik infrastruktur. Jika lihat jalan-jalan di sini teruk terutama jalan utama dari Rawang ke Tanjung Malim memang tidak sesuai. Selain itu, saya akan sediakan kemudahan sukan, mengembangkan ekopelancongan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Bab peluang pekerjaan saya dah mula menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Melalui medium ini, saya membuka dan membantu mereka yang memerlukan pekerjaan untuk mendapatkan sumber pendapatan.
Apa pandangan Datuk apabila melihat pembangkang masih menggunakan cara berkempen yang kuno iaitu menghentam pihak lawan?
Modal mereka itu sahaja, tipu, tipu, tipu kemudian kutuk dan menghina. Kalau mahu dibandingkan dengan BN, kita sudah matang dalam berpolitik. Mereka (pembangkang) boleh pergi (hentam) sampai peribadi.
Saya berkempen secara profesional dan akan kekal begitu. Ini barulah pertempuran sebenar.
Boleh komen tentang Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat ketika ini? Adakah Datuk ada penyelesaian atau idea yang boleh dibawa ke Parlimen?
Memang benar, ketika saya ke pasar malam dan pasar tani, ramai yang membuat aduan mengenai isu ini. Jadi, saya melihat isu ini mustahak dan saya akan berbahas mengenai perkara ini.
Saya percaya bukan saya sahaja tetapi seluruh ahli Parlimen akan membangkitkan masalah sama.
SEKOLAH VERNAKULAR
Komen tentang cadangan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempertahankan untuk mewujudkan sekolah vernakular jika menang PRU15?
Saya setuju dengan pandangan tersebut. Pastilah rakyat pelbagai kaum tak nak hapuskan bahasa mereka.
60 tahun BN mentadbir negara sebenarnya tiada isu tentang bahasa kecuali segelintir sahaja yang berniat mahu berpolitik dengan bermain isu agama dan bangsa.
Jadi, ia tidak akan menjejaskan bahasa Melayu yang merupakan bahasa ibunda seperti Perkara 152 (1) dalam Perlembagaan Persekutuan?
Kalau kata menjejaskan bahasa ibunda, tidak betul. Di sekolah vernakular ada juga belajar bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kemungkinan budaya dan cara pembelajaran sahaja yang berbeza. Saya tidak melihat sekolah jenis ini boleh menjejaskan bahasa kebangsaan. – UTUSAN










