MENJELANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), persaingan parti-parti politik utama seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) seimbang di kerusi Parlimen negeri ini.
Selain Parlimen Kangar yang dilihat selamat dengan momentum kemenangan dijangka memihak kepada calon BN, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya, dua lagi Parlimen iaitu Arau dan Padang Besar yang juga kubu kuat parti itu sejak sekian lama masih sukar diramal dengan persaingan sangat sengit.
Di Arau, faktor dan pengaruh kuat Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanding atas tiket PN menyebabkan peluang BN di situ menjadi sukar. Shahidan yang sudah hampir 40 tahun di dalam politik dikatakan sudah cukup sebati dengan penduduk di situ dan juga negeri ini.
Dalam tempoh kempen ini, calon BN, Datuk Rozabil Abd. Rahman perlu memecut habis-habisan dalam mendekati pengundi secara keseluruhan jika ingin mengalahkan Shahidan di kubu kuat beliau itu.
Seorang lagi calon dari PH, Fathin Amelina Fazlie meskipun dilihat aktif mendekati pengundi selain mempunyai penampilan serta pendidikan yang baik khususnya dalam menarik sokongan anak muda, namun peluang beliau dilihat sukar berdepan pemimpin ‘otai’ Perlis itu.
Di Kangar, Fathul Bari dilihat menjadi satu-satunya calon BN yang dilihat selamat untuk membantu parti kembali merampas Parlimen tersebut yang jatuh ke tangan PKR buat pertama kali dalam sejarah.
Fathul Bari yang sudah lima tahun bekerja dan sentiasa turun padang mendekati rakyat di kawasan tersebut memudahkan beliau sepanjang dua minggu tempoh kempen kerana sudah dikenali penduduk.
Malah gerak kerja yang cukup tersusun sama ada di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), jentera termasuk media-media sosial yang cukup kreatif sepanjang tempoh kempen dalam mendekati pengundi juga memberi kelebihan kepada beliau.
Penyandang, Noor Amin Ahmad dari PH berdepan laluan sukar kali ini memandangkan calon yang diketengahkan BN itu antara pemimpin muda UMNO yang cukup berpotensi dan disenangi rakyat.
Di Padang Besar, gerakan kempen calon BN, Datuk Zahida Zarik Khan yang hanya dibantu jentera berikutan Ketua Puteri UMNO itu masih berada dalam tempoh iddah sedikit memberi kesukaran kepada BN namun peluang masih dilihat 50-50 dengan pencabar terdekat dari PN dan bekas penyandang, Datuk Zahidi Zainul Abidin. – UTUSAN










