Celik kewangan bermula dari rumah - Utusan Malaysia

Celik kewangan bermula dari rumah

IBU bapa boleh menilai dan membuat penambahbaikan bagi memantapkan tabungan anak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Perumpamaan itu tepat bagi menggambarkan usaha sekumpulan penyelidik membangunkan kit bagi meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan kanak-kanak.

Kit dikenali sebagai My Kids on Duty Kit itu bertujuan melatih golongan sasar memantapkan pembentukan nilai murni terutama aspek pengurusan kewangan yang berhemah dan bertanggungjawab.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Hasniza Mohd. Taib berkata, pendidikan kewangan harus bermula dari rumah dan dipupuk seawal kanak-kanak.

Katanya, hal itu kerana generasi muda merupakan pemangkin utama dalam menerajui ekonomi, sosial dan politik Malaysia pada masa hadapan.

“Sasaran utama produk ini adalah kanak-kanak agar mereka dapat mempelajari dan memahami ilmu kewangan dengan mudah melalui aktiviti seharian di rumah.

“Penggunaan kit ini mampu membantu ibu bapa membimbing anak-anak tentang keperluan dan persediaan ilmu kewangan pada usia yang muda dengan cara yang praktikal serta mudah difahami,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Kit berkenaan berjaya merangkul pingat perak dalam Pertandingan Inovasi dan Ciptaan Malaysia 2022 (MIIX 2022) yang disertai lebih 150 peserta dari pelbagai negara.

Kit itu dibangunkan bersama dua penyelidik lain iaitu Prof. Madya Dr. Logasvathi Murugiah dan Dr. Norzalina Ahmad.

Menurut Hasniza, selain mendidik anak-anak menabung sambil melakukan aktiviti harian, kit itu juga dapat mendidik golongan sasar untuk menderma kepada mereka yang memerlukan.

Katanya, produk inovasi itu menyediakan tiga tabung iaitu simpanan, perbelanjaan dan derma, dengan wang ganjaran diberikan berdasarkan jumlah perekat bintang yang berjaya dikumpul bagi setiap tugasan.

“Tabung simpanan akan disalurkan ke akaun bank anak-anak manakala tabung perbelanjaan boleh digunakan untuk membeli apa sahaja barangan yang diingini seperti permainan, makanan mahu pun alatan komputer seperti tablet.

“Tabung derma pula akan disalurkan kepada mana-mana termasuk di masjid atau surau, rumah anak-anak yatim dan bencana. Kesemua amalan ini akan mendidik anak-anak untuk menggunakan wang yang diperolehi secara betul sekali gus meningkatkan tahap celik kewangan mereka,” katanya.

Hasniza berkata, ibu bapa boleh menilai dan membuat penambahbaikan sama ada dari jenis tugasan atau ganjaran yang diberikan kepada anak anak mengikut penilaian mereka bagi memantapkan pembentukan nilai murni terutama aspek pengurusan kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×