BELUM sampai dua bulan usia perkahwinan Mas Idayu, 50, dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, sudah timbul cerita fitnah mendakwa mahligai cinta yang dibina mula goyah.
Apatah lagi, inai di jari masih merah. Fitnah itu benar-benar mengguris hati penyanyi dangdut yang pernah 15 tahun hidup berdikari tanpa insan bergelar suami di sisi.
Pertemuan Pancaindera dengan Mas Idayu yang mesra disapa mummy di pejabatnya di Sungai Besi, membuka ruang untuk menyelongkar segala isi hatinya.
Berkongsi secara eksklusif, Mas Idayu mendedahkan, dia dan suami masih tidak tinggal serumah sejak bernikah 16 September lalu.
“Perjanjian kita sebelum kahwin adalah daddy (Sufian) duduk di Rawang dan mummy pula tinggal di Bukit Jelutong. Kami duduk berasingan sebab anak-anak suami masih bersekolah di sana.
“Apatah lagi, ada yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, mummy akan ke rumah daddy jika tidak sibuk dengan sebarang pekerjaan. Bila senggang, memang mummy akan ke sana.
“Perancangan hendak duduk sekali itu memang ada, tetapi kami tunggu anak-anak selesai bersekolah dahulu,” katanya.
Sama ada kerap atau tidak pasangan ini berjumpa, Mas Idayu tidak pernah meletakkan sebarang syarat mahupun jeda masa tertentu untuk mereka bertemu.

“Kadang-kadang seminggu atau dua minggu sekali, ada juga dalam tempoh empat hari jika tidak sibuk, kami akan berjumpa.
“Begitu juga kalau hujung minggu, daddy akan ke rumah mummy. Seronok bila berjumpa sebab macam baru nak bercinta. Setakat ini, memang kami duduk berasingan dan belum ada rumah kelamin lagi,” katanya.
Ditanya sama ada mudah untuk serasikan diri dengan suami selepas sekian lama hidup solo, Mas Idayu berkata, dia sentiasa menganggap mereka sebagai pasangan yang baru bercinta serta dalam proses mengenal hati budi masing-masing.
“Selepas berkahwin, inilah masa untuk kita mendalami isi hati pasangan sebab sebelum ini memang jarang sangat berjumpa.
“Mummy anggap sekarang adalah fasa bercinta kerana masih hendak kenal hati budi masing-masing. Kadang-kadang, ada benda kita tidak boleh terima, jadi inilah namanya proses pembelajaran.
“Daddy memang tahu mummy garang sewaktu bekerja. Kalau di rumah tidaklah begitu, ada juga garang kalau benda tidak betul,” kongsinya.
Mas Idayu memberitahu, dia tidak gemar membuat panggilan video dengan pasangan kerana baginya, saat romantik adalah ketika bertemu bertentang mata.
“Mummy bukan jenis begitu. Kalau romantik tidak kisah di mana-mana, sama di depan atau belakang orang. Itulah mummy. Kalau rindu, mummy akan masak dan hantar ke rumah suami,” katanya.
Mummy dulu nyanyi rock
Bila disebut penyanyi dangdut, bilangannya boleh dibilang dengan jari kerana tidak ramai artis di negara ini yang muncul dengan genre tersebut.
Menyelak sejarah dangdut, Zaleha Hamid adalah pencetus genre itu seh
ingga mendapat gelaran ratu dangdut, selain Herman Tino sekitar 1980-an.
Selepas itu, muncul nama besar seperti Amelina, Mas Idayu, Haiza dan Ani Maiyuni yang meneruskan perjuangan irama dangdut pada era 1990-an.
Namun, siapa sangka Mas Idayu yang berasal dari Kota Tinggi, Johor ini sebenarnya bermula dengan genre rock.
Kongsinya, dia bermula dengan memasuki pertandingan Bintang HMI terbitan RTM yang banyak melahirkan nama besar dalam industri muzik.
“Mummy bermula dengan rock, tetapi nama tidak naik. Mummy juga pernah menyanyikan lagu pop komersial karya arwah A.Ali. Kebanyakan lagu ketika itu menjadi runut bunyi filem.
“Nasib tidak berapa baik kerana album Gelora Cinta dan Cinta dan Adat tidak meletup seperti album dangdut. Masa itu, rock adalah zaman Ella dan mummy masih naif lagi dalam dunia hiburan,” kongsinya.
Menurutnya, genre rock dan irama tradisional adalah minat sebenarnya dalam dunia nyanyian, namun rezekinya lebih memihak dengan irama dangdut.
Jelasnya, sejak dahulu dia berpegang prinsip jangan fikir ‘apa yang kita suka, tetapi fikirkan apa yang orang ramai suka’ sekiranya mahu bergelar artis yang berjaya.
Teroka bidang perniagaan
Mas Idayu mempunyai visi yang jelas dalam hidup. Sebagai selebriti, dia sentiasa memandang ke hadapan dan hasratnya bergelar usahawan kini terlaksana.
Siapa sangka pada usia mencecah 50 tahun, Mas Idayu menghasilkan produk penjagaan kulit yang dirumuskan berdasarkan nanoteknologi serta mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan.
Katanya, produk yang dijual secara dalam talian kini sudah menembus pasaran di lima negara termasuk Dubai, Bangladesh, Singapura, Brunei dan Indonesia. Ia dihasilkan berasaskan teknologi yang mula dipelopori di Jerman.
“Mummy lihat orang Malaysia dan Asia suka produk kecantikan bagi merawat masalah seperti kulit mengelupas. Sejak itu, mummy mula terfikir untuk hasilkan produk yang bagus kepada orang ramai tanpa mempunyai sebarang alahan atau kesan sampingan yang berbahaya.
“Ini bukan produk timbang kilo yang kesannya hanya sementara. Pasukan mummy sendiri melibatkan jurutera bioperubatan dan doktor yang mengkaji secara khusus mengenai keberhasilan produk yang sah, selamat dan halal,” ceritanya.
Kecewa dengan radio swasta
Pernah kecewa dengan radio swasta yang bersikap pilih kasih dan memandang rendah terhadap keupayaan lagu dangdut untuk dimainkan di corong radio tidak sesekali mematahkan semangat pejuang irama ini sejak 1996.
Ratu gelek 45 darjah ini masih berbisa, geleken ‘mautnya’ boleh membuatkan penonton tidak berkelip mata. Lagunya juga malar segar dan masih relevan sehingga sekarang.
Sebut sahaja Selangit, Senggol-Senggolan Cubit-Cubitan dan Bolehlah Boleh, baik yang tua mahupun kanak-kanak sudah dapat menangkap irama yang begitu mengasyikkan ini. Itulah magis yang dimiliki penyanyi dangdut ini.”Mummy sudah tidak kisah dengan orang radio sama ada hendak mainkan lagu atau tidak. Mummy sudah ada nama sendiri dan berterima kasih kepada radio RTM yang banyak membantu dari dulu sampai sekarang.
“Setakat ini, mummy lihat artis yang lahir dari RTM memang berjaya seperti Fauziah Latif, Ramlah Ram, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza,” katanya.
Mengulas lanjut, Mas Idayu yang sudah berkecimpung selama 32 tahun sebagai anak seni berkata, pernah satu ketika dia berasakan seperti peminta sedekah yang terpaksa mengemis simpati radio swasta untuk memutarkan lagu-lagunya.
Enggan mengambil pusing terhadap ‘kasta’ yang diletakkan sehingga mengkategorikan setiap lagu dalam kategori tertentu, Mas Idayu sudah boleh mendabik dada dengan jumlah pengikut di Instagram yang kini mencecah 1.4 juta.
“Sekarang ini, pengaruh media sosial sudah meluas dan apabila platform ini muncul, mummy sangat bersyukur kerana tidak perlu terus bergantung kepada radio,” katanya.
Puji cara RTM
Mas Idayu sangat memandang tinggi terhadap pihak RTM yang sejak dulu menjaga kualiti sesebuah lagu sebelum layak disiarkan , termasuk di stesen penyiaran negeri.
Jelasnya, RTM mempunyai unit rakam khanah yang akan menilai sesebuah lagu baharu terlebih dahulu sebelum dimainkan.
“Dulu, kalau sumbang radio tidak boleh main. Apatah lagi, tajuk atau lirik yang mempunyai dua maksud juga tidak dibenarkan untuk disiarkan.
“Zaman dahulu, syaratnya sangat tegas, jadi mummy memang suka cara penapisan RTM. Bahkan, RTM tidak memilih untuk memainkan lagu tertentu dan siarkan semua lagu tidak kira zaman. Mummy sampai sekarang galakkan anak dengar radio Klasik FM,” katanya.
Menceritakan pengalamannya mengadakan persembahan, Mas Idayu sangat terharu apabila peminat kanak-kanak boleh menyanyikan lagunya.
“Masa itu, mummy fikir sudah berada di kelas tersendiri dalam industri muzik. Kalau radio tak nak bantu, tidak mengapa. Apatah lagi, anak-anak didik mummy seperti Black, semua jenis lagu mummy akan suruh dengar,” jelasnya.
Membidas persepsi serong kononnya dangdut adalah tentang gelekan semata-mata, Mas Idayu menegaskan, dangdut tidak semestinya perlu bergelek.
“Dangdut bukan tentang gelekan. Mummy yang cetuskan sendiri bergelek itu sampai Datuk Hattan pernah labelkan ratu gelek 45 darjah sebab gelek tidak pernah habis.
“Habis itu, Britney Spears dan Jennifer Lopez asal buka mulut sahaja bergelek, lagu apa yang mereka bawa? Bukannya dangdut, tetapi semua tetap bergelek,” tegasnya. – MINGGUAN MALAYSIA










