PETALING JAYA: Terdapat beberapa gabungan politik dan parti-parti baharu akan bertanding buat kali pertama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kebanyakannya merupakan parti serpihan daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gagasan Sejahtera (GS) yang bertanding dalam PRU14 lalu.
Pakatan dan parti-parti ini terbentuk selepas PRU14 dan Langkah Sheraton yang menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri berbeza dalam tempoh hanya satu penggal kerajaan.
Namun, pakatan dan parti baharu ini tidak boleh dianggap sebagai ‘nyamuk’ sebaliknya mereka dilihat mempunyai peluang sama rata dan mampu menyaingi BN dan PH untuk membentuk kerajaan.
Ini kerana parti-parti ini diketuai oleh beberapa pemimpin terkemuka, berpengaruh dan mampu untuk menarik sokongan pengundi.
Atas sebab ini, PRU15 menjadi pilihan raya umum yang paling sukar untuk diramal dalam sejarah demokrasi negara.
Perikatan Nasional (PN)
PN akan bertanding buat kali pertama dalam PRU15 setelah ditubuhkan pada 2020 dan kini dianggap sebagai kuasa politik ketiga selepas BN dan PH.
Gabungan ini agak unik kerana ia hasil kerjasama parti dari tiga gabungan politik berbeza iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada PH, Pas daripada GS manakala parti Gerakan, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) merupakan bekas komponen parti dalam BN.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, menunjukkan keyakinan terhadap pemimpin berusia 75 tahun itu kerana pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
PN tidak akan bertanding kesemua 222 kerusi namun akan bertanding tiga perempat kerusi dalam PRU15.
Namun, PN berdepan cabaran getir daripada BN kerana terpaksa berebut kerusi majoriti Melayu terutama di Perlis, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.
PN juga berdepan saingan PH yang mempunyai sokongan majoriti di kerusi bukan Melayu terutama di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka.
Disebalik itu, PN dijangka memenangi sejumlah besar kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu yang majoritinya merupakan pengundi dan penyokong Pas.
Selain itu, PN juga berpeluang untuk menguasai majoriti kerusi di Sabah menerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) namun berdepan saingan daripada parti Warisan yang memiliki jumlah kerusi terbanyak di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dengan kekuatan antara Bersatu, Pas dan sokongan daripada parti-parti di Sabah, tidak mustahil PN dapat membentuk kerajaan selepas PRU15.
Gerakan Tanah Air (GTA)
Baru sahaja ditubuhkan pada Ogos tahun ini, GTA akan bertanding 120 kerusi Parlimen dalam PRU15.
Ini merupakan gabungan politik terbaru ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Negarawan berusia 97 tahun itu sebelum ini bertanding sebagai calon Perdana Menteri mewakili Bersatu dan PH pada PRU14, namun beliau kini mewakili partinya, Pejuang dan GTA, serpihan daripada Bersatu dan PN.
Namun, Pejuang dan GTA yang turut memperjuangkan Melayu dan Islam berdepan saingan sengit kerana perlu berebut kerusi dengan BN, PH dan PN.
Setakat ini, GTA hanya mempunyai peluang di beberapa kerusi di Kedah, Johor dan Selangor menerusi beberapa kerusi yang disandangnya ketika ini.
Cubaan Mahathir untuk bekerjasama dengan PH dan PN menunjukkan GTA mempunyai hasrat untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.
Parti-parti lain
Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan gabungan parti serpihan daripada BN dan akan bertanding buat kali pertama dalam PRU15.
Namun, gabungan itu tidak akan bertanding di Semenanjung seperti parti Warisan dan menyasarkan kesemua 31 kerusi Parlimen di Sarawak.
Terdapat juga beberapa parti baharu yang turut bertanding dalam PRU15 antaranya Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
Parti Muda merupakan parti serpihan Bersatu dan kini diterajui oleh bekas ketua pemudanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu mempertahankan Parlimen Muar.
Muda akan bertanding dalam PRU15 sebagai pakatan pilihan raya PH dan akan bertanding di tiga kerusi iaitu Tanjung Piai, Tanjong Karang dan Kepala Batas.
Namun, kesemua kerusi yang ditandingi itu merupakan kubu kuat UMNO dan BN.
PBM pula merupakan parti serpihan PKR dan akan bertanding sendirian dalam PRU15, dan akan bertanding enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN.
Walaupun kedudukan Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden menjadi tanda tanya, beliau akan mempertahankan kerusi Ampang sebagai calon PBM dan akan berdepan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail.
Sebuah lagi parti baharu iaitu KDM diasaskan oleh Datuk Peter Anthony, bekas pemimpin parti Warisan.
Parti ini dijangka bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Tenom dan Papar.
Namun, KDM berdepan saingan sengit daripada BN, GRS, PH dan Warisan di keempat-empat kawasan tersebut. – UTUSAN










