PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menutup ruang kerjasama dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan dua faktor menjadi pertimbangan utama.
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memberitahu Utusan Malaysia, dua faktor itu adalah pendirian Dr. Mahathir yang tidak menerima asas perjuangan PH serta enggan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri PH.
“Ada kerjasamakah? Bukankah sudah disebutkan bahawa Tun Mahathir perlu menerima prinsip dan perjuangan PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sebagai calon Perdana Menteri. Tapi beliau belum setuju, bukan?” katanya di sini, semalam.
Menjawab persoalan sama ada PH boleh menarik sokongan Melayu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini tanpa pengaruh Dr. Mahathir, Guan Eng menjawab: “Itu terpulang kepada rakyat. Itu keputusan yang dibuat PH dan kita kena akur kepada keputusan itu,”
Pada 21 Oktober lalu, Dr. Mahathir dilaporkan sedia berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama pada PRU15 tetapi ditolak Anwar atas alasan tiada keperluan untuk berbincang.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sewaktu dihubungi berkata, dengan berbaki lima hari lagi sebelum penamaan calon, maka adalah tidak realistik jika kerjasama politik di antara PH dengan Pejuang dapat dilaksanakan kerana ia melibatkan banyak perkara.
Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd Hatta Md Ramli berkata, kerjasama untuk menentang Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dalam pilihan raya dialu-alukan dari semua pihak.
Namun, katanya, pada saat akhir begini, kerjasama dalam bentuk yang difahami ramai iaitu pembahagian kerusi, penetapan calon, manifesto, serta arah tuju kepimpinan negara, hampir mustahil untuk disepakati dengan parti-parti lain. – UTUSAN










