Jaga tutur kata semasa berkempen

Jaga tutur kata semasa berkempen

PARIT Perawas, Sebatu, Tehel dan Kesang adalah antara sembilan PDM yang ditutup bermula Isnin lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TITAH Ketua Negara supaya berhemah semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan sahaja penting untuk mengawal ketenteraman awam agar tidak berlakunya keadaan tegang yang boleh menggugat keharmonian sosial. Ia juga mustahak untuk mencega citra negara, khususnya di mata dunia agar kita terus dihormati sebagai negara yang rakyatnya beradab pada sepanjang masa.

Sebetulnya calon yang bertanding dan para penyokong mereka tidak perlu menggunakan cara tidak berhemah antaranya mencaci, mengumpat, menyangka buruk, melakukan provokasi apatah lagi memfitnah. Ini kerana ia bukan sahaja tidak merupakan cara matang yang harus ada pada seseorang bakal pemimpin, ia juga memperlihat mutu kepimpinannya nanti yang akan disarati cara tidak profesional.

Sehubungan ini, rakyat sudah mual yakni jemu, jijik selain bosan sekali dengan cara politik diselenggarakan secara sempit di negara ini dengan hanya tumpuan kepada ahli dan parti dan juga kerajaan dari segi kelangsungan politiknya. Dengan ini, politik itu bukan sahaja menjadi jumud dengan hanya berkisar kepada politik partisan yang berpuak-puak sifatnya sehingga wujud persaingan sengit pada sepanjang masa. Ia juga melahirkan keadaan tidak sihat kerana wujudnya pemikiran sempit dan sehala sahaja yang tercetus daripada sifat terlalu berat sebelah dan kekadang fanatik ekoran daripada politik partisan.

Dalam hal ini, rakyat sangat teringin melihat perubahan pada landskap politik negara, khususnya tiada lagi politik sempit. Dengan ini, kegiatan politik selepas PRU15 tidak boleh lagi hanya berlegar pada ahli dan parti politik serta kerajaan dalam konteks ahli dan parti politik yang menerajuinya. Sebaliknya ia hendaklah bersifat negara sebagai tumpuan terutamanya, iaitu kelangsungan negara merupakan sasaran paling utama pada sepanjang masa.

Dengan kata lain, rakyat mahu ahli politik berhenti daripada berpolitik sempit untuk bukan sahaja mengenal pasti, juga menyelesaikan pelbagai masalah serius yang dihadapi negara khususnya dari segi ekonomi. Oleh itu, mereka mahu melihat pendekatan yang ingin digunakan ahli dan parti politik dalam menangani masalah ekonomi dan bukannya cacian dan hasutan dihamburkan pada sepanjang masa kepada pihak lawan.

Malangnya yang berlaku ialah sebaliknya, iaitu ahli dan parti politik di negara ini rata-ratanya hanya mampu mewujudkan suasana negatif dengan kepandaian mencerca pihak lawan dengan segala macam perkara tidak benar. Dalam memfitnah ini, ahli politik dan penyokong mereka didapati rata-ratanya banyak terlibat dalam bencana bahasa, lebih tepat lagi bahaya percakapan yang gagal mengawal tutur kata sehingga membawa kepada kemungkaran. Dengan kata lain, mereka bercakap sesuka hati dan dengan cara yang diingkari pula.

CABUL

Dalam konteks bahasa ini, apabila ahli politik dan penyokong mereka berbicara tentang negara, mereka hendaklah bercakap tentang perkara yang perlu sahaja untuk membangunkannya, misalnya pertumbuhan ekonomi. Dengan ini, mereka tidak perlu bercakap berlebih-lebihan sehingga mencela pihak tertentu dengan mengada-adakan perkara yang tidak benar pula, walaupun itulah caranya pada politik sempit. Pada politik tidak sempit, mereka hendaklah tidak lagi menggunakan kata batil, yakni yang tidak benar dalam bersaing dengan pihak lawan untuk meraih sokongan.

Selain kata berlebihan dan batil, kata cabul, yakni makian, carutan dan sumpahan yang bukan sahaja tidak beradab, tetapi tiada keimanan pada penggunaannya hendaklah dijauhi. Ini kerana kata cabul ini keji dan penggunaannya bersamaan dengan perbuatan jelik lagi hina.

Satu lagi jenis kata yang hendaklah dijauhi dalam konteks berkempen ialah mengutuk. Ini kerana ia bukan sahaja akan menimbulkan kemarahan kepada individu atau kelompok yang dikutuk itu, ia juga akan menyebabkan tindak balas daripada pelbagai pihak lain yang ada kaitan dengan sasaran kutukan itu sama ada yang seideologi, senegeri atau lain-lain. Begitu juga dengan perbuatan mendoakan keburukan menimpa pihak lawan. Sehubungan ini, secara unggulnya doanya hendaklah berupa pengembalian ke pangkal jalan setelah kesesatan sekiranya benar sesuatu itu.

Sering kali gurauan tidak dianggap salah. Sehubungan ini, ia hendaklah dilakukan dengan kata benar, yakni tiada pendustaan langsung, tidak melampaui batas agar tidak keterlaluan, selain tidak sesekali menyakiti hati orang yang menjadi gurauan itu. Begitu juga halnya dengan memuji yang tidak boleh keterlaluan sehingga semacam mendewa-dewakan. Sebaliknya ia hendaklah bersifat sekadar memberi penghormatan sahaja. Seperkara lain yang penting semasa berkempen ialah janji yang harus ditepati. Sebaliknya, memungkiri janji adalah sifat nifak, iaitu lain yang dikatakan dan lain pula yang dilakukan. Ini hendaklah dielakkan agar tidak dikenakan label talam dua muka.

Natijah titah itu ialah selain untuk tujuan kehemahan, kempen PRU15 hendaklah memberi perhatian khas kepada tutur kata. Sesungguhnya cara berkempen kita adalah cerminan sebenar keperibadian kita yang diperlihat melalui bentuk bahasa yang digunakan, misalnya semasa saling mencabar yang boleh membawa kepada pertengkaran. Cara berkempen sebenarnya adalah lambang kita sebagai masyarakat yang ada kekuatan batin selain berhemah ataupun yang sebaliknya. Oleh itu, penting sekali dalam konteks Rukun Negara untuk kita mengawal tutur kata bagi mematuhi Prinsip Pertama sebagai masyarakat berpedoman, selain menonjolkan jati diri selaku yang berakhlak mengikut Prinsip Kelima. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×