UMNO dikatakan tidak berimej positif dalam hati kebanyakan pengundi Cina sejak beberapa pilihan raya umum (PRU) lalu. Namun, kebelakangan ini terdapat beberapa pemimpin muda UMNO yang berjaya menukar persepsi buruk tersebut.
Antaranya, Khairy Jamaluddin memperlihatkan ketokohan dan kesungguhan yang tinggi dalam menangani pandemik Covid-19 dengan terpuji. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula menampilkan profesionalisme yang menyerlah dalam menjaga kewangan dan harta negara.
Pada dasarnya, kaum Cina menghormati realiti politik UMNO sebagai parti terbesar dalam kerajaan Barisan Nasional (BN). UMNO juga diiktiraf berpengalaman dalam memerintah negara. Apabila seorang pemimpin Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau turut diterima baik kaum Cina.
Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 telah mewujudkan kesepakatan dan persefahaman tiga kaum utama melalui penubuhan gagasan UMNO-MCA-MIC di bawah panji kerajaan Parti Perikatan. Namun, persaingan politik antara kaum tidak pernah luntur malah semakin sengit kerana adanya desakan dan tekanan daripada komuniti masing-masing.
Pada awal kemerdekaan negara, kebanyakan rakyat masih miskin dan hidup merana. Maka, rakyat pelbagai kaum tidak berhenti bertelingkah dan mendesak agar suatu dasar dan usaha yang lebih sempurna diwujudkan demi kebaikan semua.
Dalam PRU3 pada 1969, kerajaan Parti Perikatan dianggotai UMNO-MCA-MIC mengalami kekalahan teruk. Parti Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga buat pertama kali dalam Dewan Rakyat.
Lebih malang, satu rusuhan kaum berlaku di Kuala Lumpur selepas PRU pada 1969 ekoran konfrontasi antara penyokong-penyokong parti pemerintah dengan parti pembangkang.
Peristiwa 13 Mei sesungguhnya memperjelas lagi hubungan antara kaum di negara ini.
Untuk membasmi jurang ekonomi dan sosial antara orang Melayu dengan bukan Melayu, maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan selepas peristiwa 13 Mei. Walaupun kerajaan dominan UMNO berkali-kali menegaskan dasar itu dirancang dengan niat baik, tetapi sepanjang pelaksanaannya antara 1971 hingga 1990, banyak kelemahan dan penyelewengan berlaku.
Kaum Cina merasakan diri mereka seolah-olah dipinggirkan oleh kerajaan untuk menerima bantuan sewajarnya.
Dalam kehidupan harian, walaupun rakyat berbilang kaum hidup seperti biasa di tempat kerja, pusat beli-belah dan sekolah, namun mereka sering mengelak daripada membicarakan soal politik dengan pihak lain kerana dianggap sensitif.
Polarisasi kaum semakin memuncak dalam kalangan rakyat. Emosi ketidakpuasan dan kebencian terhadap parti memerintah utama mula terbentuk dan kian menggenting.
TSUNAMI POLITIK
Oleh demikian, tidak hairanlah parti-parti komponen BN yang mewakili kepentingan kaum Cina dan India, iaitu MCA dan MIC acap kali menjadi mangsa dan ditindas oleh para pengundi bukan Melayu.
Dalam PRU yang lepas-lepas, sokongan kaum Cina kepada MCA lazimnya tidak melebihi 30 peratus. Sudah tidak menjadi rahsia lagi, parti-parti berasaskan sokongan kaum Cina itu sebenarnya banyak hidup atas sokongan pengundi Melayu.
Kemerosotan sokongan kaum minoriti kepada kerajaan akhirnya mengancam keutuhan pemerintahan kerajaan BN. Seperti diduga, satu tsunami politik betul-betul meletus dan menjatuhkan kerajaan BN buat pertama kali dalam PRU14.
Parti-parti komponen BN hampir dibinasakan sama sekali oleh parti pembangkang. Dalam PRU13, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen.
Keputusan MCA pada PRU14 bertambah teruk dengan hanya tinggal satu kerusi Parlimen. Sebaliknya, DAP mengeksploitasi kesemua sentimen politik semasa dengan jayanya. Mereka bertubi-tubi membangkitkan kemarahan kaum bukan Melayu.
DAP ditubuhkan pada 1964. Dalam PRU 1964, parti itu hanya menang satu kerusi Parlimen. Namun, pungutan kerusi DAP di Parlimen terus memecut dari semasa ke semasa. Dalam PRU14, DAP menawan 42 kerusi dan mendorong Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan pembangkang yang pertama dalam sejarah politik negara.
Kaum Cina sememangnya faham benar bahawa kaum Melayu merupakan tunggak utama komposisi penduduk negara ini. Kemakmuran kaum Melayu merupakan faktor penentu kesejahteraan yang berpanjangan di tanah air. Kaum Cina turut tumpang gembira melihat kejayaan besar diraih kaum majoriti dalam semua sektor kerana apabila kaum Melayu sudah maju, maka peluang ekonomi akan terbuka luas untuk semua.
Sesungguhnya, tidak sukar bagi UMNO menawan hati pengundi Cina. Yang diperlukan ialah parti itu tampil ke depan untuk mendengar rintihan kaum bukan Melayu dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan.
Disebabkan kekurangan komunikasi dua hala yang berkesan, undi Cina keseluruhan yang diraih UMNO dalam PRU sering kurang daripada 10 peratus. Label buruk UMNO terus dilempar dan dihasut oleh pihak lawan. Dengan menghayati semangat dan prinsip perkongsian kuasa politik bersama kaum-kaum lain seperti dahulu, tidak mustahil kaum Cina akan terus menyokong UMNO seperti masa lalu. – UTUSAN
PENULIS ialah siswazah ijazah Sarjana Media & Komunikasi dari Universiti Malaya (UM).










