ANAK kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar Nik Abdul Aziz yang diumumkan akan bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), dijangka menjadi calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Bagan Serai.
Nik Omar merupakan antara nama yang diumumkan oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam akan bertanding mewakili PH di Perak.
Walaupun Anwar tidak menyatakan di mana Nik Omar akan bertanding di Perak, namun dipercayai tokoh itu akan menjadi calon PH di Parlimen Bagan Serai.
Percaturan PH meletakkan Nik Omar dipercayai untuk mengimbangi calon lawan terutama dari Perikatan Nasional (PN) sama ada penyandangnya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali atau Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang juga dikaitkan sebagai calon PN di kerusi Parlimen Bagan Serai.
SENGIT
Sekiranya Nik Omar dicalonkan, ini akan menyaksikan pertembungan sengit dengan calon PN yang pastinya merupakan anak tempatan selain calon Barisan Nasional (BN).
Jika dicalonkan, penganalisis meramalkan Nik Omar berdepan cabaran untuk memenangi hati pengundi Bagan Serai seramai 80,368 orang pada PRU15.
Bertanding atas tiket PH, Nik Omar tidak boleh bersandar sepenuhnya kepada tsunami politik seperti PRU14, yang menyaksikan PH mendapat tempat dalam kalangan rakyat.
PRU15 berbeza buat pembangkang, apatah lagi dengan pertambahan drastik jumlah pengundi baharu iaitu pengundi berumur 18 tahun.
Apa yang pasti, Nik Omar berdepan sentimen mengutamakan calon tempatan dalam kalangan pengundi di Bagan Serai yang majoritinya, keturunan Banjar yang dikatakan amat sukar menerima calon luar.
Buktinya, pada PRU14, calon PKR, Adam Asmuni kalah dalam bertembung tiga penjuru dengan Noor Azmi Ghazali (BN) dan Rohaya Bakar (Pas).
Meletakkan Nik Omar di Parlimen Bagan Serai dipercayai antara usaha PH untuk menawan Perak selepas Anwar mengumumkan bertanding di Parlimen Tambun.
Semalam, PH Kelantan mengesahkan Nik Omar akan bertanding di luar negeri itu pada PRU15.
Pengerusinya, Muhammad Husain berkata, keputusan tersebut bukan disebabkan masalah dalaman yang didakwa oleh sesetengah pihak. – UTUSAN










