UMNO, BN tidak pernah insaf - Radzi 

UMNO, BN tidak pernah insaf – Radzi 

RADZI Jidin dipilih sebagai calon P125 Putrajaya pada Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya di Kompleks Kejiranan Presint 16, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat tidak pernah insaf walaupun sudah hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia jelas apabila pemimpin utama parti itu langsung tidak mempedulikan rayuan 12 menteri daripada Perikatan Nasional (PN) untuk menangguhkan PRU15.

Beliau berkata, semua orang tahu bahawa tempoh November hingga Januari adalah musim tengkujuh dan kerap dilanda banjir.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat lebih mendengar permintaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin UMNO untuk meneruskan PRU15 dalam musim banjir.

“Kami Menteri PN sudah merayu, malah rakyat lain pun merayu jangan buat (pilihan raya) kerana masa banyak lagi. Ada UMNO dan BN peduli? Tidak ada,” katanya pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Radzi berkata, beliau juga mendedahkan ramai penjawat awam di Putrajaya yang tidak selesa dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan itu.

“Ramai penjawat awam tidak selesa dan merasakan mereka dipimpin oleh satu kelompok pemimpin yang suka mencari salah pegawai kerajaan ketika itu.

“Mereka ditukar ke sana sini sesuka hati kerana dilihat kononnya tidak memenuhi keperluan mereka dalam melaksanakan apa juga yang nak dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×