Masuk universiti bukan jadi ulat buku semata-mata

Masuk universiti bukan jadi ulat buku semata-mata

MAHASISWA perlu merebut segala peluang dan platform disediakan oleh pihak universiti untuk menambah kemahiran insaniah diperlukan. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengangguran dalam kalangan graduan bukan perkara baharu di negara kita. Saban tahun khususnya di musim majlis konvokesyen universiti, isu ini akan terus dibangkitkan kerana mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terutama ibu bapa. Kekurangan kemahiran insaniah dilaporkan antara faktor menyebabkan graduan sukar meyakinkan majikan. Justeru, mahasiswa perlu merebut inisiatif yang dilaksanakan untuk universiti bagi memperkasa aspek kemahiran insaniah dalam diri masing-masing.

Walaupun ketika ini peluang pekerjaan dilihat semakin pulih selepas serangan pandemik Covid-19 di mana kadar pengangguran pada Ogos lalu kekal 3.7 peratus dengan penganggur berkurangan kepada 612,000 orang berbanding 620,700 pada bulan sebelumnya, namun masih ramai graduan bergelut untuk memperoleh peluang pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan serta gaji sesuai.

Tuntasnya, masih ramai tidak dapat memenuhi kehendak majikan khususnya dalam konteks kemahiran diperlukan. Misalnya, walaupun telah bergraduat termasuk dengan ijazah kelas pertama, majikan masih mendapati graduan kita kekurangan pelbagai kemahiran yang membolehkan mereka cemerlang di pasaran kerja. Kelemahan ini menyebabkan majikan terpaksa berhati-hati dan meneliti secara serius latar belakang setiap pemohon kerja yang baru bergraduat. Kita akui golongan ini sememangnya tidak memiliki pengalaman kerja dan perkara itu juga sangat difahami oleh majikan. Jadi, persoalannya tertumpu kepada kegagalan graduan menonjolkan kemahiran asas yang diperlukan hingga boleh meyakinkan majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Antara kelemahan yang sering diperdebatkan ialah kemahiran berkomunikasi terutama dalam bahasa Inggeris di samping gaya komunikasi secara umumnya. Graduan baharu juga masih dikatakan lemah dari segi kemahiran pemikiran kritis serta kemampuan untuk menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, malah kepimpinan serta etika dan moral profesional juga dikatakan masih lemah. Gabungan kelemahan pelbagai kemahiran asas seperti ini mencetuskan rasa curiga dan was-was dalam kalangan majikan untuk menggaji graduan baharu.

RASIONAL

Ironinya, pelbagai kajian juga membuktikan graduan cemerlang dari segi akademik belum tentu cemerlang dari segi kemahiran insaniah diperlukan oleh majikan. Sebaliknya, hari ini graduan yang memperoleh keputusan peperiksaan yang agak sederhana tetapi mahir pelbagai kemahiran insaniah dikatakan lebih mampu dan mudah menawan hati majikan. Ringkasnya, kita mahukan graduan seimbang yang mampu cemerlang akademik serta pada masa sama memiliki pelbagai kemahiran insaniah sebagai senjata utama mereka.

Justeru, pelajar yang masih berada di alam kampus perlu melihat situasi ini secara serius dan menggunakan segala saki-baki masa yang ada untuk melengkapkan diri masing-masing dengan pelbagai kemahiran insaniah diperlukan. Dari segi kemahiran komunikasi misalnya, kemampuan berkomunikasi dengan baik dalam pelbagai situasi dan persekitaran seperti berkomunikasi dengan pegawai atasan, sesama rakan sekerja serta dalam mesyuarat ataupun ketika membuat sesuatu pembentangan di khalayak ramai boleh dikatakan sudah menjadi tuntutan lazim dalam alam pekerjaan, justeru bakal graduan wajib memiliki kemahiran ini.

Graduan juga perlu sedar apabila mereka diterima bekerja dengan kelayakan ijazah, kehendak majikan adalah cukup tinggi dan akan diberi peluang untuk mengetuai sesuatu projek atau program di samping memiliki staf bawahan. Jadi, graduan ini perlu menonjolkan ciri-ciri kepimpinan supaya dapat memikul dan melaksanakan tugas tersebut dengan baik. Dan sudah semestinya kita juga perlu mahir dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul dengan daya pemikiran kritis, rasional dan profesional.

Justeru, mahasiswa yang masih belum bergraduat perlu merebut segala peluang dan platform disediakan oleh pihak universiti untuk menambah kemahiran insaniah diperlukan. Kursus kokurikulum berkredit yang diwajibkan serta aktiviti kokurikulum lain yang dilaksanakan wajar dijadikan peluang terbaik untuk mengasah segala bakat dan kemahiran diperlukan.

AMPUH

Kursus kokurikulum berkredit misalnya, dilaksanakan secara tersusun dan terancang pada setiap semester melalui pelbagai kursus berpaksikan teras-teras seperti keusahawanan, kebudayaan, kepimpinan, pengucapan awam, kesukarelawan, inovasi, sukan dan khidmat komuniti adalah platform terbaik kepada mahasiswa. Kursus dan aktiviti yang dilaksanakan bukan sahaja menambah elemen kemahiran insaniah malah membantu proses pembangunan sahsiah pelajar secara keseluruhannya. Mahasiswa perlu bijak memilih kursus yang sesuai serta boleh memberikan nilai tambah kepada diri di samping mengatasi kekurangan yang ada. Ironinya, gabungan kecemerlangan akademik dengan kemahiran insaniah mampu melahirkan graduan yang menjadi rebutan majikan.

Dalam hal ini, setiap universiti dilihat sangat komited dan cukup proaktif melaksanakan kursus-kursus ini demi membantu mahasiswa menyiapkan diri mereka sebelum menempuh alam pekerjaan. Cuma apa yang penting sekarang ialah mahasiswa itu sendiri perlu lebih serius dan merebut peluang disediakan demi masa depan lebih baik. Dan proses menimba ilmu dan mengasah kemahiran insaniah itu perlu bermula dari semester pertama hingga semester akhir. Ingat, majikan kini mempunyai banyak pilihan, jadi perlu membuktikan kepada mereka apa kelebihan unik dimiliki untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada kita.

Memandangkan mahasiswa baharu sudah mula mendaftar masuk di semua institusi pengajian tinggi (IPT) mulai bulan ini, kita berharap mereka dapat membuat perancangan rapi dari sekarang untuk memperkasa kemahiran insaniah masing-masing. Mahasiswa perlu sedar, mereka masuk universiti bukan sekadar untuk ilmu akademik semata-mata tetapi perlu belajar kemahiran bagi meneruskan kehidupan selepas bergraduat kelak.

Jadi, sebagai bakal graduan, gunakanlah tempoh masa berada di IPT untuk melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran insaniah yang boleh dijadikan senjata ampuh ketika memohon kerja serta membuktikan kemampuan kepada majikan bila sudah diterima bekerja kelak. Ingat, majikan hari ini tidak memerlukan ulat buku semata-mata sebaliknya mereka mengidamkan pekerja yang memiliki gabungan kehebatan teori dan praktikal seimbang dan cemerlang. – UTUSAN

PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×