Bersatu, Pas berebut kerusi Tasek Gelugor

[ANALISIS] Bersatu, Pas berebut kerusi Tasek Gelugor

WAN SAIFUL WAN JAN dan SHABUDIN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA menjadi calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Parlimen Tasek Gelugor semakin menarik untuk diperhatikan selepas penyandangnya, Datuk Shabudin Yahaya mengesahkan tidak mempertahan kerusi itu.

Secara tradisinya kerusi itu ditandingi calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ditinggalkan Shabudin meskipun beliau sebelumnya melompat dari UMNO.

Maka tidak hairan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan antara yang disebut-sebut bakal diletakkan Bersatu di kerusi tersebut, apatah lagi dengan anggapan Tasek Gelugor kerusi putih bagi PN selaku penyandang.

Namun, siapapun yang bakal dicalonkan Bersatu kelak tidak dapat mengelak daripada pergeseran dengan Pas yang awal-awal lagi sudah menyatakan kesediaan bertanding di kerusi Parlimen itu.

Bagi Pas, alasan Parlimen tersebut kerusi tradisi Bersatu tidak begitu jelas dan meyakinkan kerana penyandang sebelum ini, Shabudin tidak memenanginya pada PRU-14 atas tiket Bersatu.

Hakikat lain adalah Shabudin memenangi kerusi itu pada PRU-14 dengan majoriti yang sangat tipis iaitu hanya 81 undi yang membayangkan peluang untuk calon Bersatu memenangi kerusi berkenaan pada PRU-15 agak sukar.

Pas sendiri berhak menuntut bertanding dan berasa yakin boleh menjadi pencabar kuat di kerusi itu kerana mempunyai penyokong dan akar umbi yang ramai serta kuat di kawasan Parlimen tersebut.

Pada PRU-14 misalnya, calon Pas ketika itu, Rizal Hafiz Ruslan mendapat 14,891 undi yang mana tidak jauh dikalahkan oleh dua pencabarnya iaitu Shabudin (18,547 undi) dan calon PKR, Marzuki Yahya (18,466).

Sementelah dalam suasana politik Pulau Pinang yang mana kerjasama antara UMNO dan Pas masih erat dan mesra di belakang tabir, keputusan PN meletakkan calon Bersatu di Parlimen Tasek Gelugor boleh menyebabkan penyokong dan ahli akar umbi Pas tidak berpuas hati dan melakukan undi protes.

PN perlu sedar Bersatu yang hanya kira-kira dua tahun ditubuhkan tidak mempunyai akar umbi kuat termasuk di Tasek Gelugor dan harus mengakui perlu bergantung kepada kekuatan jentera Pas.

Maka, kesilapan meletakkan calon boleh memakan diri dan kerusi yang pada asalnya didakwa kerusi tradisi Bersatu dan kerusi putih PN boleh terlepas ke tangan lawan.

Dari sudut lain, PN juga perlu melihat kepada iltizam dan semangat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang sangat tinggi untuk merampas kembali kerusi tersebut selepas ‘dikhianati’ menerusi tindakan Shabudin melompat parti.

Sudah pasti, UMNO akan mempertaruh calon heavyweight bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor itu sekali gus tidak memberi laluan mudah kepada PN apatah lagi dalam situasi sekiranya PN ‘tersilap’ meletakkan calon mereka. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×