PERNAH sohor di YouTube menerusi lagu cover, Hanya Rindu versi bahasa Arab sehingga meraih tontonan 2.8 juta, artis solo baharu naungan Tarbiah Sentap Records, Syed Salahuddin Syed Ayob, mula dikenali dalam kalangan peminat irama nasyid di Nusantara.
Pemuda kacukan Arab-Melayu itu sebelum ini sering menyanyikan lagu-lagu cover ke dalam versi bahasa Arab sehingga berjaya memikat hati pendengar dan mendapat liputan pihak media dari Indonesia.
Terkini, penulis buku Tarbiah Basah muncul dengan single pertama, Iktiraf yang memiliki keunikan tersendiri kerana bukan hanya diolah daripada syair Arab tradisional, tetapi disulam bersama doa amalan ulama dan Nabi.
“Pada saya keunikan Iktiraf terletak pada bait liriknya. Kita himpunkan beberapa doa dan juga syair, semuanya digabungkan di dalam satu lagu.
“Lirik pada rangkap awal Iktiraf diolah daripada doa yang diajarkan oleh seorang ulama bernama Syeikh Mutawalli Syarawi, diikuti doa yang diajarkan baginda Rasulullah SAW dimasukkan dalam rangkap seterusnya.
“Doa taubat yang pernah dilafazkan Nabi Adam saat diusir dari syurga juga ada diselitkan dalam lagu ini.
“Pendek kata, siapa yang hafal lirik lagu ini, sekali gus menghafal maksud beberapa doa taubat,” katanya.
Menerusi single itu, Syed cuba membawa kelainan dalam penyampaian lagu tersebut menerapkan gaya lenggok irama Melayu dan Arab.
Mengulas lagu tersebut, penerbit eksekutif, Adnin Roslan berkata, karya baharu terbitan Tarbiah Sentap Records itu menggambarkan sifat semula jadi manusia yang sentiasa ingin kembali taat kepada Allah SWT.
“Manusia memang ada sifat fitrah yang sentiasa inginkan kebaikan. Penzina, penagih dadah, hatta pembunuh sekalipun. Sejahat manapun manusia itu, dia pasti inginkan pengakhiran yang baik.
“Sifat Allah SWT yang Maha Pengampun akhirnya akan memberikan harapan buat pendosa untuk kembali kepada-Nya. Tidak kira sebesar mana pun dosa, Allah tetap akan memberi keampunan,” katanya.
Video muzik tersebut boleh ditonton dalam saluran rasmi YouTube Tarbiah Sentap dan platform digital lain.
KERJASAMA MAHER ZAIN
Biarpun Syed Salahuddin baru memiliki single pertama, penyanyi berasal dari Ipoh, Perak itu bukan individu yang asing dalam industri muzik.
Graduan Usuluddin dari Universiti al-Azhar itu pernah dilamar oleh syarikat Awakening Records untuk membantu menyiapkan album Maher Zain, ketika masih menjadi pelajar.
“Sebelum ini, saya pernah diberi peluang bekerjasama dengan Awakening Records bagi menyiapkan rakaman suara latar dua album Maher Zain dengan bantuan artis popular Mesir, Hamza Namira.
“Proses merakamkan suara latar dua album tu mengambil masa kira-kira dua bulan. Alhamdulillah, satu pengalaman yang sangat menarik dan saya banyak belajar dari segi cara mereka bekerja dan proses kerja rakaman yang dilakukan.
“Pengalaman sepanjang dua bulan itu sedikit sebanyak membantu dalam membina keupayaan sebagai penyanyi nasyid dan pendakwah dalam dunia seni,” katanya.











