Rosol tidak lagi ‘sekukuh’ Empangan Kenyir

Rosol tidak lagi ‘sekukuh’ Empangan Kenyir

ROSOL WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penyandang Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal berhadapan cabaran gentir untuk mempertahankan kerusi tunggal Bersatu di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kedudukan Timbalan Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu didakwa tidak lagi ‘sekukuh’ Empangan Kenyir yang terletak di Hulu Terengganu selepas ditolak oleh ahli dan penyokong UMNO di Parlimen tersebut berikutan tindakannya mengkhianati parti itu.

Perkembangan yang berlaku itu menyebabkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak lagi selamat sekiranya kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi tersebut.

Kerusi Parlimen Hulu Terengganu merupakan antara kubu terkuat UMNO di negeri ini sejak sekian lama.

PELUANG

Malah, kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu juga atas tiket Barisan Barisan (BN) sebelum menyertai Bersatu pada Disember 2018.

Keadaan tersebut dilihat menjejaskan peluang Rosol menawan semula kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang dimenanginya pada PRU14.

Pada pilihan raya umum itu, Rosol memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 2,868 undi menewaskan calon Pas, Muhyiddin Abdul Rashid dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Razali Idris yang kini merupakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Terengganu.

Pengaruh Rosol juga dikatakan semakin goyah apabila jumlah ahli Bersatu di Hulu Terengganu tidak begitu ramai terutama di peringkat akar umbi untuk menggerakkan jentera pilihan raya.

Pada masa sama, beliau juga dijangka bertembung dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat yang juga merupakan Setiausaha UMNO Negeri.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said telah mengumumkan BN akan meletakkan Rozi bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam PRU15.

Rozi pula dikatakan mempunyai peluang lebih cerah untuk merampas semula kerusi Parlimen tersebut kerana beliau merupakan antara salah seorang bakal calon yang disenangi dalam kalangan pengundi setempat.

Bagaimanapun, Rosol masih berpeluang mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut dengan mengharapkan sokongan daripada ahli Pas atas semangat perjuangan Parikatan Nasional (PN) di negeri ini.
Jentera kempen Rosol pada PRU15 nanti akan digerakkan sepenuhnya oleh ahli Pas untuk membantu kemenangannya di Parlimen Hulu Terengganu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×