Selain tarikan alam dan peninggalan sejarah panjang, penduduk Turkiye yang tampan turut diperkatakan kalau berkunjung ke sana. Tak susah pun nak buat kawan di Turkiye, lagi-lagi yang tak ada rupa paras mereka, duduk kat mana-mana pun mesti tiba-tiba ada yang datang terpacak. “Nak ambil gambar boleh?” Belum sempat jawab terus diswafotonya.
Orang Turkiye terutamanya lelaki, teruja dan berminat dengan orang-orang asing, terutamanya yang berwajah Asia.
Tapi, sikap kebanyakan mereka, kalau sudah berkawan, maka sepanjang hayatlah kita perlu berkepit dengan mereka termasuk ingin pergi makan-makan di hujung minggu.
Memang ajaib kawan dengan orang-orang Turkiye sebab mengikut pengalaman saya, kalau kita dalam kesulitan pun mereka akan hadir membantu daripada A hingga Z.
Cumanya bilamana anda mula berjinak-jinak dengan orang yang bukan dari kumpulan yang sama, mulalah mereka merasa agak kurang senang, tambahan pula kalau orang tersebut tidak disukai mereka sama sekali.
Sikap sebahagian rakan Turkiye saya, kalau mereka banyak membantu, kemudian terjadi sedikit perselisihan faham, mereka suka mengungkit.Saya ada dua rakan baik sewaktu berkelana di Turkiye dulu, cukup saya menamakan mereka sebagai Mahmut dan Koray.
Mahmut sewaktu itu berumur 23 tahun, merupakan anak jati kota Izmir.
Kami berkenalan pada tahun 2014 ketika menuntut di Universiti Gediz (dah tutup pada 2016).
Orangnya gemar melancong dan banyak negara Eropah telah dilawatinya bahkan pernah bekerja di AS.
Apa yang menarik tentang Mahmut ini, kalau di kelas dia memang seorang yang sangat pendiam, fokus dengan pembelajarannya dan tidak pernah gagal dalam mana-mana subjek.
Sekiranya tiba waktu peperiksaan, pasti dialah yang akan menjadi tumpuan untuk ditiru.
Saya selalu melepak di rumahnya sekalipun lokasi rumahnya terletak di Gazi Emir yang memakan masa perjalanan selama satu jam dari tempat tinggal saya. Bertemu dan berbincang dengannya banyak memberi manfaat kerana banyak nasihat dan ideanya cukup berguna. Masih teringat lagi saya akan penjelasannya tentang orang-orang Turkiye.
Pertama, katanya orang-orang Turkiye suka memuji diri sendiri apabila mereka melakukan sesuatu kebaikan, tetapi sewaktu melakukan kebaikan tersebut, mereka akan cuba menyembunyikannya daripada dilihat orang.
Kedua, memandangkan begitu ramai warga asing yang datang melawat Turkiye, mereka akan memastikan keselesaan orang-orang asing tersebut melebihi daripada keselesaan mereka sendiri terutamanya kalau tinggal atau menziarahi rumah mereka. Tak kiralah sama ada pelancong atau pelajar asing.
Ketiga, warga asing yang bercadang untuk melawat atau menetap di Turkiye perlu mengetahui bahawa mereka masih boleh mengekalkan kebudayaan dan tradisi mereka kerana Turkiye merupakan sebuah negara sekular sekalipun didominasi oleh ahli-ahli politik pro-Islam. Semua orang berhak mempraktikkan kepercayaan dan kebudayaan mereka.
Malaysia sememangnya negara kegemaran Mahmut.
Perkara yang membuatkan beliau cukup tertarik dengan orang Malaysia adalah sikap positif dan tidak pernah lekang dengan senyuman.
Dia turut meminati cara orang kita yang disifatkan cukup menghormati dan memelihara agama, budaya dan kepercayaan bangsa-bangsa.
Bercakap dengan Mahmut ibarat bercakap dengan ahli akademik. Lenggok gayanya bercakap sambil memulas-mulas batu tasbih kadang-kadang membuatkan saya terganggu.
Anda kena tahu yang mereka itu bukan semua sedang berzikir, tetapi itu sekadar tabiat mereka.
Seorang lagi rakan baik saya yang begitu unik, Koray, berasal daripada kota Erzurum, kota yang paling sejuk di Turkiye.
Biasanya pada musim sejuk, cuacanya boleh jatuh sehingga ke paras -30 darjah celcius, khususnya pada bulan Januari dan yang paling sejuk pernah direkodkan adalah -37 darjah celcius pada 28 December 2002.
Saya mengenali kedua-dua rakan Turkiye ini pada hari dan waktu yang sama kerana mereka juga turut merupakan kawan rapat.
Pada awalnya saya melihat Koray sebagai seorang yang agak sombong dan angkuh tetapi hakikatnya beliau seorang yang baik, meskipun dari segi percakapan agak agresif dan sememangnya orang-orang Turkiye pun agak kasar, tapi itu bukan bermakna mereka biadap atau tak suka pada kita.










