Mengenal Melayu dalam buku lama

Mengenal Melayu dalam buku lama

MENERUSI buku ini, penulis memper oleh pelbagai maklumat dan trivia mengenai negara ini pada 1890-an.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SALAH satu cara mendokumentasi sejarah dan budaya adalah menerusi penulisan. Amalan ini dapat diperhatikan pada batu bersurat dan daun lontar.

Kemudian apabila muncul teknologi moden, buku dicetak supaya catatan, dokumentasi dan pemikiran tersebar luas. Apabila membaca buku-buku lama, kita berpeluang melakukan retrospektif iaitu meninjau, mengenang dan mengenali pelbagai perkara silam yang mungkin sudah hilang dari ingatan selama ini.

Perkara ini saya alami sewaktu membaca buku A Descriptive Dictionary of British Malaya (1894) selenggaraan Nicholas Belfield Dennys. Ia bukan sebuah kamus tetapi semacam ensiklopedia umum yang memuatkan pelbagai maklumat dan trivia mengenai negara ini pada 1890-an.

Walaupun ditulis dari perspektif Barat, ia tetap boleh membantu kita memahami sedikit sebanyak suasana, budaya, cara hidup dan pemikiran masyarakat waktu itu. Orang Asli yang disenaraikan ialah Beduanda Kallang, Benua, Basisi, Gargasi, Kenaboi, Mantra, Rayet, Sabimba, Sakai, Seletar, Semang, Udai dan Utan. Kebanyakan dalam senarai ini amat asing bagi saya.

Satu insiden amuk dilaporkan berlaku di Pulau Pinang pada 8 Julai 1846. Seorang lelaki bernama Sunan mengamuk di Lebuh Chulia dan Jalan Penang. Amukan itu menyebabkan kematian seorang wanita tua beragama Hindu, seorang Keling, seorang budak Cina dan seorang budak perempuan Keling berumur lapan tahun.

Kita pada masa kini lazim menggunakan gelaran ‘Keling’ apabila merujuk kepada orang India beragama Hindu. Akan tetapi, catatan dalam buku ini membezakan antara Hindu dan Keling. Perkara ini amat benar kerana istilah Keling, Jawi Peranakan, Jaati Bukkan dan mamak merujuk khusus kepada golongan India-Muslim.

Semasa kanak-kanak dan remaja, saya banyak mendengar tentang hantu dalam komuniti Melayu seperti toyol dan pocong. Buku ini pula membantu saya mengenali bajang, iaitu hantu berkuku panjang yang suka mengganggu kanak-kanak dan wanita mengandung. Bajang dan pelesit yang suka menghisap darah serta memakan mayat kanak-kanak hanya boleh dihalau oleh bomoh berpengalaman. Rata-rata penyakit dikaitkan dengan hantu.

PERKAHWINAN

Dalam buku ini turut disenaraikan sejumlah karya asli bahasa Melayu yang mungkin sahaja kita tidak pernah dengar, apatah lagi berpeluang membaca. Misalnya, Babal Akal Kepada Segala Orang Besar-besar yang disebut sebagai karya etika dan peraturan bagi para menteri. Buku Ilmu Pelangkah pula tentang ilmu memilih masa sesuai untuk membina rumah, memulakan perjalanan, meraikan majlis perkahwinan dan seumpamanya.

Kita biasa dengan Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Pandawa Jaya dan Hikayat Hang Tuah tetapi buku selenggaraan Dennys menyenaraikan puluhan hikayat, cerita, syair dan epik yang mungkin tidak pernah kita baca. Perlu diakui, peluang membaca buku ini menimbulkan minat saya untuk berusaha mencari karya-karya berkenaan.

Filem Sitora Harimau Jadian (1964) arahan P. Ramlee dan Harimau Jadian (1972) arahan M. Amin mengangkat kisah kepercayaan kuno orang Melayu. Dalam buku ini dicatatkan perihal ‘blian’ atau ‘chenaku’ iaitu harimau jadian yang hidup sebagai manusia tanpa dikesan oleh sesiapa.

Kisah kedatangan orang Bugis ke Malaya juga didokumentasi. Begitu juga fakta dan trivia pelbagai estet dan ladang getah, ubi kayu, kopi dan tebu yang pernah wujud di negara ini. Ada beberapa nama masih kekal walaupun estet berkenaan mungkin sudah tiada. Misalnya Ladang Byram, Ladang Victoria dan Ladang Caledonia yang dahulu menjadi ladang tebu. Penanaman teh pula baru bermula di Johor waktu itu.

LAGA AYAM

Agak menarik juga mengetahui pelbagai istilah yang digunakan pada masa dahulu. Tentu sahaja setiap satu menggambarkan budaya, pemikiran dan asimilasi pada waktu itu. Misalnya, dinyatakan unta tidak sesuai dibela di sini. Malah, namanya diambil daripada istilah Sanskrit. Kereta kuda dinamakan pedati, manakala ‘kereta’ dan ‘rata’ merupakan pengaruh Sanskrit. Perkataan ‘kasturi’ dan ‘angsa’ juga Sanskrit. Kata ‘keluli’ berasal daripada bahasa Telugu, manakala ‘bandar’ dari Parsi.

Permainan daun terup pernah popular dalam kalangan orang Melayu, khususnya di Perak. Cara bermain ‘kertus skopong’ atau ‘daun tiga lei’ dihuraikan secara terperinci. Judi dan laga ayam ternyata menjadi sebahagian amalan dan budaya masa dahulu.

Di negara kita ada banyak tempat bermula dengan Bagan dan Changkat.

Oleh kerana sudah terlalu biasa menggunakannya, kita lupa bahawa ‘bagan’ ialah pangkalan tempat perahu berlabuh manakala ‘changkat’ merujuk kepada kawasan berbukit atau anak bukit.

Adat berkhatan atau bersunat yang diamalkan orang Melayu pada masa silam juga nampaknya berbeza. Dinyatakan bahawa bayi lelaki berumur 10 hingga 15 hari akan dikhatan dan seterusnya diberi nama Islam.

Pada masa kini, memang ada bayi lelaki disunat tetapi kurang popular dan jarang kedengaran. Maka, buku ini membantu saya melakukan sedikit pencarian maklumat untuk mengesahkan fakta yang dikemukakan Dennys.

Amalan masakan gulai yang dinamakan ‘kari’ susulan pengaruh budaya India sudah wujud sejak dahulu. Selain santan kelapa, turut digunakan secara meluas ialah serbuk kunyit dan kacang kelur (merunggai).

Nama puluhan ikan yang lazim ditemui di sungai dan laut negara ini pada sekitar 1890-an juga disenaraikan.

Cara pemakaian sarung, seluar, baju dan selendang oleh orang Melayu pada masa silam turut dihurai secara terperinci dan sangat seronok dibaca. Selain fakta sejarah dan asal usul pakaian, kita juga berpeluang memahami budaya masyarakat secara lebih mendalam menerusi amalan pakaian mereka.

Kita tahu bahawa Tanah Melayu menjadi tempat perladangan pokok getah baka Para (Hevea brasiliensis) sejak benih pertama ditanam di Kuala Kangsar, Perak pada 1877. Akan tetapi, A Descriptive Dictionary of British Malaya mendedahkan kewujudan beberapa spesies pokok gutta (getah) seperti teban, jelutong, sundik dan terap yang menghasilkan getah lebih bermutu tetapi kurang nilai komersial.

Ternyata buku ini penuh dengan ilmu yang membantu mengembangkan minda dan meningkatkan pemahaman budaya serta sejarah negara. – UTUSAN

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×