JOHOR BAHRU: Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor semalam didakwa hanya pertemuan biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pertemuan itu merupakan pertemuan pertama kesemua ADUN BN Johor dengan Presiden UMNO berkenaan.
Menurut beliau, Ahmad Zahid mahu bertemu dan mengucap tahniah kepada semua ADUN BN Johor selepas kemenangan diraih mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
“Tidak ada yang ‘special’ pun pertemuan itu. Cuma pertemuan pertama antara ADUN Johor BN dgn Presiden UMNO, iaitu kepemimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
“Antara intipati pertemuan adalah ucapan tahniah atas kejayaan BN untuk memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN sekaligus berjaya menubuhkan kerajaan negeri.
“Bagaimanapun ada satu persetujuan telah dicapai antara kepemimpinan tertinggi UMNO itu dengan kesemua ADUN BN yang hadir, semalam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di Hotel Holiday Villa, di sini hari ini.
Zahari yang juga merupakan ADUN Buloh Kasap itu memberitahu, persetujuan itu adalah untuk memastikan kerjasama baik antara ADUN-ADUN BN Johor dengan calon dan jentera BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Jentera UMNO telah membantu kemenangan kami dalam PRN Johor lalu, jadi adalah tugas dan tanggungjawab kami untuk membantu kemenangan calon-calon BN di kerusi Parlimen nanti.
“Selain itu, tiada perbincangan berhubung bilakah tarikh pelaksanaan PRU15, soalan itu boleh ditanyakan secara terus kepada Perdana Menteri, bukan kami,” ujarnya.
Semalam, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan kesemua 40 ADUN BN di negeri ini, semalam di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang juga merupakan ADUN Machap.
Turut menghadiri pertemuan berkenaan adalah Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan juga Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Untuk rekod, BN Johor berjaya memperoleh 40 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 56 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.
Sementara itu, dalam PRU14, BN Johor hanya memperoleh lapan kerusi Parlimen daripada kesemua 26 kerusi yang dipertandingkan di negeri ini. – UTUSAN










