PETALING JAYA: UMNO perlu berhati-hati memilih rakan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk Pas sendiri bagi mengelakkan ‘nasi menjadi bubur’ berulang setelah dikecewakan dalam tiga siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, walaupun terdapat pihak tertentu menggunakan slogan perpaduan Melayu-Islam, sebaliknya UMNO akhirnya terpaksa mengorbankan kerusi selamat kepada pihak lain sekali gus melemahkan kekuatan mereka yang menjadi tunjang politik tanah air.
Jelas beliau, UMNO sebenarnya boleh menang PRU15 secara solo dan tanpa kerjasama mana-mana pihak kerana mempunyai kelebihan di bawah Barisan Nasional (BN) .
“Misalnya ketika PRN Sabah, BN dan UMNO bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah PN terpaksa mengorbankan kerusi selamat kepada parti-parti itu dan akhirnya siapa yang menjadi Ketua Menteri adalah Bersatu dan bukannya UMNO. Malah sewaktu PRN Melaka dan Johor, Pas memilih Bersatu melawan BN.
“Memang tidak dinafikan, ada pihak mahu UMNO dan Pas bekerjasama untuk memperkukuhkan perpaduan Melayu Islam, tetapi UMNO perlu berhati-hati dalam soal ini kerana tindak-tanduk Pas sekejap bersama Bersatu dan kini mahu kembali kepada UMNO menerusi platform Muafakat Nasional (MN),” katanya.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan spekulasi Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berjumpa untuk membincangkan hala tuju MN.
KEPUTUSAN
Dalam maklum balas segera, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan mengkaji secara mendalam keterbukaan Presiden UMNO itu untuk menyuburkan kembali MN dengan keputusan muktamad mengenainya akan dibuat mereka sebelum hujung minggu ini.
Menurut Ramlah lagi, soal perpaduan Melayu Islam boleh dibincangkan selepas PRU15 dengan parti-parti didominasi Melayu Islam bolehlah menjalinkan kerjasama untuk membentuk kerajaan Pusat dan negeri sekiranya mereka merasakan perlu untuk berbuat demikian.
Justeru kata beliau, UMNO dan BN buat masa kini perlulah berdiri solo manakala Pas dan Bersatu pula bergerak di bawah PN seperti mana dilakukan ketika PRN Johor dan Melaka.
“Meskipun politik ini kadangkala dinamik dan berubah mengikut keadaan, namun UMNO perlu tegas dan berhati-hati dalam memilih rakan kerjasama, janganlah sampai dua kali dipermainkan” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, PRU15 adalah peluang cerah kepada BN untuk kembali memerintah dengan berdasarkan pencapaian parti itu dalam tujuh siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan tiga PRN.
Katanya, kejayaan itu menunjukkan pengundi telah beralih kepada BN dan tidak mustahil mampu mencapai dua pertiga di Parlimen.
“Malah dengan kegagalan Pakatan Harapan dan PN dalam PRN Melaka dan Johor yang tewas di kerusi masing-masing, secara umumnya adalah tidak mustahil Selangor dan Negeri Sembilan turut mampu dirampas kembali oleh BN,” kata beliau.- UTUSAN










