Port Dickson, Negeri Sembilan adalah antara destinasi peranginan yang menjadi pilihan orang ramai untuk bercuti bersama keluarga.
Kedudukannya yang paling dekat dengan Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu kira-kira dua jam menjadi antara sebab mengapa lokasi ini sering dipenuhi pelancong setiap kali musim cuti umum.
Apa yang menarik, walaupun terdapat puluhan hotel, inap desa dan resort, sama ada mewah atau bajet di sepanjang pantai di sini, masih ramai pelancong memilih untuk berkhemah di tepi pantai.
Sekiranya anda pergi ke Port Dickson pada hujung minggu, anda boleh melihat puluhan khemah pelbagai bentuk didirikan di tepi pantai seperti di pantai Teluk Kemang dan Pantai Cahaya Negeri.
Lebih menarik, ada yang menggunakan kereta saja yang disambung dengan kanvas atau kenderaan seperti van lama yang diubahsuai sebagai karavan. Mereka bermalam di tepi pantai dan memasak hidangan untuk keluarga atau menjamu selera dengan barbeku.
Berkunjung ke Port Dickson sempena cuti hujung minggu, baru-baru ini, saya sempat singgah ke Pantai Cahaya Negeri yang terletak 15 kilometer dari pekan Port Dickson.
Suasana di sekitar pantai yang terpanjang di Port Dickson itu amat meriah dan dipenuhi puluhan khemah yang didirikan oleh pengunjung yang bercuti bersama keluarga masing-masing untuk berkelah.
Kebetulan, pada masa sama, sedang berlangsung pertandingan perlumbaan perahu layar membabitkan 300 peserta berusia tujuh hingga 25 tahun berhampiran Kelab Golf Port Dickson.
Saya dimaklumkan oleh penganjur, pertandingan itu bukan asing dalam kalangan pengunjung tetap pantai berkenaan mahupun penduduk tempatan kerana aktiviti perahu layar sering diadakan di kawasan sekitar pesisiran pantai Port Dickson.
Acara sukan laut itu menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan di Port Dickson dan menjadi tarikan untuk orang ramai, terutama pengunjung dari luar, termasuk antarabangsa datang ke pantai ini setiap hujung minggu.
Air jernih dan pasir putih jadi tarikan
Orang ramai suka berkunjung ke Pantai Cahaya Negeri kerana air lautnya lebih jernih dan cantik, selain pantainya yang landai serta pasir lebih putih berbanding pantai lain di sekitar Port Dickson.
Pemandangan indah di sepanjang pantai ini juga menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan menjadikan ia sebagai lokasi pengambaran untuk album perkahwinan atau sesi swafoto.
Kawasan ini juga dilengkapi kemudahan untuk pengunjung seperti tandas awam dan tempat meletak kereta yang agak luas yang disediakan secara percuma.
Bagaimanapun, biasanya tempat meletak kereta penuh pada hujung minggu dan perlu datang awal untuk mendapatkan parkir.
Kanak-kanak juga boleh bermain di taman rekreasi yang disediakan dan tarikan lain seperti jambatan kayu yang menjadi mercu tanda di pantai ini yang menuju ke Pulau Sungai Burung.
Mereka yang ingin berjoging, berjalan kaki atau berbasikal sambil menghirup udara segar, boleh berbuat demikian kerana terdapat trek khas disediakan di situ.
Kaki pancing pula boleh memancing di kawasan seakan tanjung yang ditambak dengan batu-batu. Kawasan ini juga dilengkapi dengan pondok atau gazebo untuk pengunjung berteduh. Deretan pohon rhu menjadikan kawasan ini lebih teduh.
Bagaimanapun, sekiranya berkhemah di kawasan ini, anda perlu berjalan agak jauh sedikit untuk mandi-manda di pantai kerana tambak di kawasan ini agak tinggi dan tidak sesuai untuk kanak-kanak bermain air.
Menjelang senja pula, pengunjung boleh melihat suasana matahari tenggelam iaitu pemandangan matahari terbenam yang dikatakan oleh pengunjung sebagai yang terindah di Port Dickson.
Sebenarnya, banyak lagi pantai yang menarik untuk dikunjungi di Port Dickson seperti Teluk Kemang, Pantai Purnama, Pantai Cermin dan Blue Lagoon. Namun, tidak semua pantai sesuai untuk percutian berkonsep perkhemahan.









