PETALING JAYA: Kerajaan dicadang melaksanakan inisiatif bersasar seperti geran, pinjaman berfaedah rendah dan insentif cukai dalam Bajet 2023 yang dibentang pada 7 Oktober ini.
Ketua Fakulti Ekonomi Universiti Nottigham Malaysia (UNM), Prof. Madya Dr. Teo Wing Leong turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan polisi khusus untuk menggalakkan automasi, digitalisasi dan penglibatan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkasa perniagaan.
Kata beliau, geran pendidikan agar teknologi digital dan ekonomi digital dapat dijadikan tunjang dalam kurikulum di setiap peringkat juga perlu diperkenalkan.
“Pembaharuan komprehensif dalam sektor ekonomi dan sosial penting untuk menjadikan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat global.
“Ini termasuk liberalisasi pasaran serta pembaharuan pendidikan untuk mempersiapkan golongan muda untuk alam pekerjaan,” katanya dalam kenyataan mengenai harapan Bajet 2023.
Penolong Profesor Ekonomi UNM, Dr. Saizi Xiao pula mencadangkan Bajet 2023 memberi fokus kepada pemulihan pekerjaan dan pendapatan rakyat serta perniagaan khusus perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“PKS kekal berdepan beberapa halangan terutama berkaitan pembiayaan yang tidak mencukupi, kenaikan kos mengambil pekerja berkemahiran tinggi serta kekurangan latihan,” katanya.
Selain itu katanya, dalam usaha memupuk daya saing industri-industri Malaysia di peringkat global, negara harus menjadikan golongan muda berkelayakan secara global dengan menyediakan mereka pendidikan bertaraf dunia dan kursus berkaitan industri yang disokong oleh institusi pendidikan.
Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Extreme Broadband dan Open DC, Weng Yew Wong berkata, kerajaan perlu menambah baik dan memperluas hab digital Malaysia dalm Bajet 2023.
“Dengan infrastruktur digital semasa yang sedang berkembang untuk membolehkan teknologi Industri 4.0 seperti data besar, kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT), adalah penting bagi Malaysia untuk mula membina pusat data modular.
“Ini termasuk menambah baik infrastruktur takrifan perisian (SDI) dan mengukuhkan pengurusan, operasi serta penyelenggaraan pintar untuk mengurangkan penggunaan kuasa pusat data awan dan menjadikannya lebih hijau dan cekap tenaga,” katanya. – UTUSAN










