Satu jalan sahaja…PRU15

Satu jalan sahaja…PRU15

PILIHAN Raya Negeri Sarawak telah dilaksanakan pada musim monsun timur laut iaitu 18 Disember 2021. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEADAAN politik di negara ini pada waktu ini perlu segera distabilkan. Apabila stabil, baru fokus kepada yang lebih serius supaya tidak dikacau pembelaan serta penyelesaian isu-isu berkepentingan rakyat.

Sudah terang lagi bersuluh, menjadi rahsia umum bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersembunyi lagi membalun Barisan Nasional (BN) yang ahlinya adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri.

Muhyiddin memperingatkan terutama kepada sekutu kuatnya, Pas bahawa BN adalah musuh nombor satu Perikatan Nasional (PN). Ini peringatan kali kedua daripada Muhyiddin sejak Ogos lalu, setelah tersebar pertemuan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi minggu lepas.

Dipercayai kemungkinan membincangkan Muafakat Nasional (MN) akan dihidupkan semula. Ini sekali gus akan meminggirkan Bersatu. Kerana itu Muhyiddin kelmarin menyerahkan kepada Pas untuk memuktamadkan sama ada parti itu mahu bersama BN atau PN.

Jadi, bila Muhyiddin sudah menghentam BN berterusan kebelakangan ini, hendak stabil macam mana? Dalam Kabinet diketuai Naib Presiden UMNO selaku Perdana Menteri sahaja ada sembilan menteri Bersatu dengan Pas turut ada tiga.

Walaupun ada 11 menteri UMNO di dalamnya, portfolio-portfolio utama yang kanan disandang menteri-menteri Bersatu. Ini antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri); Datuk Dr. Radzi Jidin (Menteri Kanan Pendidikan); Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Ekonomi) dan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (Menteri Pertanian dan Industri Makanan).

Dengan prasangka yang bersarang dalam Kabinet yang bercampur baur ahlinya dari kalangan pelbagai parti tanpa dominan sebuah parti teras, mana hendak difikirkan lebih padu lagi soal-soal memperkasakan pertumbuhan ekonomi.

Sedangkan dasar dan tindakan perlu lebih bersepadu dan diperlukan untuk membawa negara keluar daripada ketidaktentuan ekonomi

Perlu diperingatkan istilah sebenar kerajaan campuran yang polisinya tidak sama adalah disebabkan falsafah politik yang berbeza. Jadi, jawapan yang tepat untuk menjawab segala penyelesaian kemelut cacamarba ini satu jalan sahaja iaitu mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tuduhan bahawa UMNO mendesak untuk menyegerakan PRU bagi menyelamatkan Ahmad Zahid serta bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas tidak berasas langsung. Ini kerana tuduhan terhadap Najib telah pun diputuskan di mahkamah berdasarkan bukti dan lunas undang-undang.

Sementara Presiden UMNO pula telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan sedang membela diri satu kes lagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuduhan-tuduhan seumpama itu, berkisar ‘motif disegerakan PRU15’ hanya mahu mewujudkan persepsi negatif terhadap kepimpinan UMNO, sekali gus menjatuhkan imej parti itu di sebalik kegoyahan parti lawan untuk berdepan dengan BN dalam masa terdekat

Yang jelas hari ini, ekonomi negara akan memasuki tahun depan dalam keadaan penuh kesamaran. Nilai ringgit jatuh disebabkan ketidaktentuan politik di Malaysia. Maka, penting untuk mendapatkan mandat baharu kerana kerajaan sedia ada bukan kerajaan yang memenangi PRU14.

RETORIK

Sebaliknya, hanya dibentuk atas persefahaman bahawa ia adalah untuk memerangi pandemik Covid-19. Persefahaman tersebut pun sudah tampak luntur kebelakangan ini apabila parti-parti yang membentuk kerajaan saling bercakaran dan mulai tidak mempercayai satu sama lain dan berprasangka apabila ada tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Dan nantikanlah risikonya – negara akan kucar-kacir kerana tampak tuntutan ahli politik lebih dititikberatkan berbanding kepentingan rakyat. Alasan kepentingan atau nyawa rakyat lebih utama berbanding PRU sekadar retorik semata.

Melengahkan PRU akan menyukarkan kerajaan yang stabil untuk kembali mentadbir negara. Realitinya Oktober/November inilah masanya yang sesuai untuk BN pantas memintas saat pembangkang masih berpecah dan bertelagah. Justeru, tiada alasan untuk melengahkan PRU15.

Prestasi UMNO dan BN sebagai kerajaan sangat bergantung kepada pelbagai faktor dalam dan luaran. Krisis Ukraine dan Russia selain tergugatnya Perintah Keselamatan Eropah, kemungkinan ancaman pandemik baharu, ketegangan hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China serta pembukaan perlahan sempadan sehingga menjejaskan rantaian bekalan global menjadikan prestasi ekonomi Malaysia sangat terdedah kepada semua kegawatan.

Harga barang pula semakin naik mendadak, tidak terkawal dan tidak masuk akal. Kemarahan rakyat membuak-buak. Semua ini akan menjadi peluru politik Pakatan Harapan (PH) untuk ‘menembak’ kerajaan dan UMNO akan menerima tempiasnya.

Alasan peralihan monsun pada bulan Oktober dan monsun timur laut mulai November hingga Mac tidak sesuai untuk melaksanakan PRU boleh dimitigasi dengan mengambil pandangan dan nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkenaan tarikh-tarikh yang sesuai untuk dilaksanakan PRU15.

Perlu disebut di sini bahawa Pilihan Raya Negeri Sarawak telah dilaksanakan pada musim monsun timur laut iaitu 18 Disember 2021. Tarikh ini juga diyakini dipilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan data-data dan maklumat yang diperoleh daripada MetMalaysia.

Tepuk dada tanya selera. Tepuk dada, tanya diri. Antara parti dan kedudukan diri, mana satu lebih penting. Politik ini luas, ilmu mesti ada, strategis pun sama. Perjuangan mesti ada serta hala tuju. Apakah visi kita? Kalau ramai cerdik pandai, tetapi tiada visi, tiada gunanya.

Meminjam kata-kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada Utusan Malaysia sebelum ini: “UMNO mesti menghasilkan pemimpin yang apabila dia bercakap, orang faham. Bila orang faham apa dicakapkan, ia mesti lekat di hati pengundi.

“Seperti bercakap kepada petani dan pekebun mengenai perang Russia dan Ukraine, dia tidak peduli mana. Yang dia mahu tahu pisang tidak boleh jual. Kerana itu mesti ada semua lapisan masyarakat dalam UMNO.” – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×