JCorp, Sojitz jalin kerjasama inisiatif penyahkarbon di Johor

JCorp, Sojitz jalin kerjasama inisiatif penyahkarbon di Johor

MAJLIS menandatangani kerjasama antara JCorp dan Sojitz disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (tengah).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Corporation (JCorp), cabang pelaburan negeri Johor, dan Sojitz Corporation menandatangani memorandum persefahaman (MOU) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama selama tiga tahun mengenai penyahkarbonan dengan menggunakan bahan api hidrogen di negeri itu.

Di bawah kerjasama strategik itu, JLand Group Sdn. Bhd. (JLG) dan Sojitz akan berganding bahu untuk menjayakan beberapa inisiatif penyahkarbonan dan mewujudkan rantaian bekalan lestari dalam bahan api hidrogen daripada pengimportan amonia.

Kajian itu juga merupakan sebahagian daripada perancangan ke arah pembangunan terminal penerimaan amonia, pangkalan bekalan tangki simpanan, loji kuasa turbin gas amonia sebagai bahan api untuk membekalkan tenaga hijau kepada pelanggan industri dan pelan penyahkarbonan menyeluruh bagi operasi pelabuhan JCorp untuk mewujudkan pelabuhan neutral karbon di Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLPT).

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp dan Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, MoU itu menandakan kejayaan penting dalam usaha syarikat memulakan perjalanan mencapai Emisi Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.

Ujarnya, inisiatif strategik bersama Sojitz itu sejajar dengan komitmen JCorp untuk mengukuhkan agenda kelestarian di seluruh rantaian nilai perniagaan Kumpulan.

“Sektor logistik menghadapi tekanan besar untuk mengurangkan jejak karbon dalam operasi masing-masing. Kerjasama ini dijalin tepat pada masanya untuk mengalihkan ekonomi-ekonomi kita daripada bahan api berasaskan fosil kepada tenaga alternatif.

“Ia bukan sahaja pelaburan untuk melindungi masa depan dan mewujudkan kelestarian dalam perniagaan JCorp, tetapi juga memacu perkembangan ekonomi baharu di negeri ini sambil memenuhi komitmen ESG untuk mencipta tenaga lebih hijau bagi industri masa depan dan juga generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah, Bahagian Hartanah dan Infrastruktur, JCorp, Datuk Sr Akmal Ahmad berkata, kerjasama JLG dengan Sojitz menekankan usaha tertumpu dan komitmen untuk merintis jalan bagi menjana pertumbuhan perindustrian yang lestari menerusi tenaga hijau.

“Seiring hasrat Johor untuk mengurangkan emisi rumah hijau (GHG), meningkatkan kecekapan guna tenaga dan memindahkan portfolio penjanaan kuasa ke arah emisi karbon sifar bersih, kajian kebolehlaksanaan ini merupakan langkah jelas yang diambil oleh pihak kami dalam usaha mengguna pakai bahan api hidrogen untuk mencapai cita-cita tersebut,” ujarnya.

Sojitz menggalakkan pembangunan rantaian nilai menggunakan bahan api generasi akan datang seperti hidrogen, berasaskan pengalaman perniagaan dalam pelbagai industri di Asia dan seluruh dunia.

Dalam kerjasama itu, Sojitz akan mengetuai rundingan dengan bahagian pengeluaran hidrogen dan amonia, menentukan kaedah pengangkutan optimum dan mengunjurkan kebolehlaksanaan dari segi ekonomi.

TLPT yang akan menempatkan tapak kajian ialah laluan penting dan strategik bagi pengangkutan laut, sekali gus bersedia memainkan peranan sebagai titik penyimpanan dan pembekalan amonia kepada kompleks perindustrian berhampiran.

Langkah ini juga menggalakkan peluang pelaburan industri menerusi pemerolehan dan pengimportan amonia bersih dari pasaran antarabangsa dan tempatan ke Johor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×