Wanita hamil tidak perlu minum susu khas - Utusan Malaysia

Wanita hamil tidak perlu minum susu khas

Nuguelis Razali.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebaik disahkan mengandung, kebanyakan bakal ibu akan memilih untuk minum susu bagi memastikan bayi dalam kandungan sihat sehingga dilahirkan.

Susu kaya dengan kalsium, vitamin D dan protein yang penting untuk perkembangan serta pembesaran bayi.

Ramai juga bakal ibu ‘termakan’ dengan iklan susu khas untuk ibu hamil yang mendakwa ia mampu memberikan khasiat pemakanan kepada ibu dan bayi.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya. Dr. Nuguelis Razali berkata, ibu hamil tidak semestinya perlu minum susu khas untuk ibu mengandung, sebaliknya cukup dengan minum susu segar.

“Bakal ibu boleh minum susu segar sama ada susu penuh krim atau rendah lemak adalah mencukupi. Tidak semestinya susu khas untuk wanita hamil.

“Ibu hamil perlu minum susu sekurang-kurangnya tiga cawan sehari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Susu adalah sumber yang membekalkan nutrien yang lengkap untuk wanita hamil,” katanya kepada Seri.

Tambah beliau lagi, susu juga diminum untuk memastikan kesihatan tulang ibu. Ibu yang minum susu secukupnya juga kurang risiko melahirkan bayi yang bersaiz kecil.

Susu penghidap diabetes
Dr. Nuguelis berkata, ibu hamil yang mengalami diabetes juga perlu minum susu untuk perkembangan bayi dalam kandungan.

“Ibu hamil yang menghidap diabetes lebih sesuai minum susu rendah lemak atau susu skim untuk mengurangkan kalori dan kandungan karbohidrat.

“Oleh kerana gula dalam susu diserap dengan lebih cepat, sebaiknya minum susu satu cawan pada satu masa.

“Sekiranya ibu alah pada susu lembu, boleh minum susu soya atau susu badam. Boleh juga ambil pil kalsium atas nasihat doktor,” katanya.

Katanya minum susu sebelum tidur turut membantu ibu tidur lebih lena.

Ini kerana susu mengandungi tryptophan yang membantu pembentukan melatonin, sejenis hormon yang membantu menggalakan perasaan relaks dan tidur.

Susu dan bahan tenusu
* Makan empat hidangan produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak sehari.

Satu hidangan bersamaan:
* 1 cawan (240 milliliter) susu atau susu yogurt
* 1 1/2 auns (42 gram) keju semulajadi
* 2 auns (56 gram) keju yang diproses

Produk tenusu sihat:
* Susu rendah lemak atau tanpa lemak atau yogurt
* Elakkan yogurt yang ditambah gula atau gula tiruan.
* Produk tenusu adalah sumber protein terbaik, kalsium dan fosforus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×