Jadikan minyak sawit sebagai SAF

Jadikan minyak sawit sebagai SAF

WEE Ka Siong melawat fasiliti kilang penapisan NESTE di Tuas, Singapura, diiringi Petri Jokinen dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See (tiga, kanan), semalam. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan sedang berusaha untuk menjadikan minyak kelapa sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) berikutan peningkatan permintaan penggunaan alternatif bahan api jet di seluruh dunia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Malaysia telah terlibat dalam usaha menjadikan minyak sawit sebagai sebahagian daripada Kriteria Bahan Api Layak CORSIA pada 2021.

“Kita perlu menggesa perkara itu kerana kita adalah antara pengeluar utama minyak sawit di dunia.

“Kita boleh mempunyai volum untuk bahan mentah dan kita memerlukan pakar seperti NESTE untuk memprosesnya.

“Malaysia dengan beberapa negara lain juga akan meminta ICAO mengiktiraf Bahan Api Penerbangan Karbon Rendah (LCAF) sebagai sebahagian daripada inisiatif pengurangan karbon untuk penerbangan antarabangsa.

“Malaysia sangat menyokong Matlamat Aspirasi Global Jangka Panjang (LTAG) yang bertujuan mengurangkan pelepasan CO2 oleh penerbangan antarabangsa bagi memastikan penerbangan awam yang mampan.

“Langkah-langkah seperti pembaharuan pesawat sentiasa dipertimbangkan dan diambil kira oleh syarikat penerbangan di Malaysia untuk prestasi yang lebih baik dan pesawat yang menjimatkan bahan api.

“Tidak dinafikan, penggunaan SAF dalam mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi penerbangan dan memenuhi matlamat aspirasi global industri penerbangan membentuk sebahagian daripada matlamat untuk mengurangkan pelepasan karbon di bawah matlamat pembangunan mampan (SDG).

“Bagaimanapun, memandangkan harga pasaran semasa SAF pada masa ini kira-kira tiga kali ganda lebih mahal daripada bahan api jet fosil konvensional, ia masih belum mampu dilaksanakan secara ekonomi oleh pengendali pesawat,” katanya kepada media selepas lawatan rasmi ke kilang penapisan NESTE di sini, semalam.

Lawatan itu selaras dengan penerbangan penumpang antarabangsa pertama Firefly menggunakan Neste MY SAF menaiki pesawat ATR 72-500 dari Lapangan Terbang Seletar ke lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Tambah Wee , pihaknya percaya SAF akan menjadi tunjang utama untuk mencapai matlamat sifar bersih jangka panjang.

“Bagaimanapun, ia memerlukan pendekatan holistik menyeluruh dengan pembangunan dan penyelidikan lanjut serta pelaburan besar untuk meningkatkan teknologi, serta peralihan dalam persekitaran kawal selia untuk memastikan penggunaan SAF yang lebih luas dan mendalam dalam industri,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Projek Pengembangan Singapura NESTE, Petri Jokinen berkata, kapasiti pengeluaran SAF semasa syarikat itu di kemudahannya di Finland berjumlah 100,000 tan.

“Setelah siap pengembangan kemudahan di Singapura dan pengubahsuaian di Rotterdam, kapasiti pengeluaran SAF NESTE dijangka mencecah 1.5 juta tan menjelang akhir 2023.

SAF dihasilkan 100 peratus daripada sumber mampan, sisa boleh diperbaharui dan sisa bahan mentah, diadun dengan bahan api jet konvensional dan diperakui untuk memenuhi spesifikasi bahan api jet ASTM.

SAF telah terbukti memberikan manfaat yang ketara kepada alam sekitar kerana ia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 80 peratus sepanjang kitaran hayat bahan api berbanding bahan api jet tradisional.

Penggunaan SAF di Malaysia dipelopori oleh Malaysia Aviation Group (MAG).

Tiga daripada syarikat penerbangannya telah terbang menggunakan SAF campuran bermula dengan Malaysia Airlines Cargo pada Disember 2019 serta Malaysia Airlines dan FireFly tahun ini.

Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Philip See, berkata, menyampaikan perkhidmatan yang bertanggungjawab secara sosial dan berfokuskan alam sekitar merupakan antara keutamaan utama pihaknya dalam mengekalkan industri penerbangan dan mempercepatkan seruan global untuk tindakan iklim.

“Permulaan penerbangan penumpang antarabangsa pertama Firefly yang dikuasakan oleh SAF menandakan peristiwa penting dalam usaha berterusan kami untuk membina persekitaran operasi yang lebih mampan dan mempercepatkan usaha kolektif ke arah mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

“Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk berusaha ke arah masa depan yang melindungi alam sekitar dan komuniti tempat kami beroperasi, disokong oleh Pelan Tindakan Kelestarian MAG kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×