PETALING JAYA: Kos dan harga untuk menunaikan umrah dijangka terus meningkat ekoran kenaikan harga tiket penerbangan ke Asia Barat dan juga nilai mata wang riyal yang semakin tinggi ketika ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, paling mempengaruhi kos umrah ketika ini ialah tiket penerbangan.
Beliau berkata, harga tiket penerbangan naik mendadak daripada RM2,600 ke RM3,800 sekali gus menyebabkan kos yang ditawarkan kepada jemaah terpaksa dinaikkan daripada RM4,800 hingga kira-kira RM7,800.
“Faktor utama kenaikan kos umrah ketika ini ialah harga tiket penerbangan dan kekerapan penerbangan juga tidak mencukupi. Dahulu kita boleh dapat sembilan penerbangan sehari tetapi sekarang hanya dua,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai harga kos umrah yang dijangka meningkat susulan kenaikan nilai riyal ketika ini sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan jemaah yang sudah menempah pakej umrah tahun ini.
Razali menambah, kekurangan penerbangan ke Asia Barat menyebabkan harga tiket melambung dan kebanyakan agensi umrah terpaksa berhadapan dengan isu ini.
Katanya, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu harga pakej umrah sekitar RM4,800 sahaja tetapi kini sudah mencecah kira-kira RM7,800 dan mungkin lebih lagi berdasarkan pilihan dan keselesaan jemaah.
“Nilai riyal yang tinggi sebenarnya tidak memberi kesan besar kerana kenaikannya tidak banyak dan rata-rata jemaah juga sudah faham mengenai perkara itu, jika ada kenaikan pun sekitar 10 hingga 20 peratus sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai harga kos umrah yang dijangka meningkat susulan kenaikan nilai riyal ketika ini sekali gus menimbulkan kegusaran dalam kalangan jemaah yang sudah menempah pakej umrah tahun ini.
Mengulas lanjut, Razali berkata, walaupun terdapat kenaikan, permintaan jemaah untuk menunaikan umrah pada tahun ini tidak terjejas malah, kadar harga antara RM6,000 hingga ke RM7,000 sudah dianggap normal dengan keadaan semasa.
“Bagi jemaah kita adalah normal untuk harga sehingga RM7,000 dan kebanyakan mereka lebih suka memilih pakej penuh 12 hari 10 malam pada harga tersebut berbanding yang lebih murah.
“Saya anggarkan pada tahun ini jemaah umrah kita adalah kira-kira 150,000. Ramai yang ingin menunaikan umrah sebab sebelum ini dalam suasana PKP dan sekarang mereka mula mengatur perjalanan untuk November dan Disember,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pihaknya masih mengekalkan harga yang sama kepada pelanggan dan tidak mengenakan sebarang caj tambahan.
“Kami masih menawarkan harga lama kepada pelanggan iaitu bermula RM6,990 hingga RM7,990 (bergantung kepada hotel). Ini untuk tempahan pada November depan dan ia akan diteruskan seperti yang dijadualkan. Iklan juga sudah dibuat beberapa bulan lalu.
“Itu harga kekal kami dan tiada perubahan setakat ini. Memang kita mengakui terdapat kenaikan nilai riyal dan masalah penerbangan mempengaruhi harga kos umrah ketika ini namun, setakat ini kita masih mampu untuk mengatasinya.
“Kita mengambil keputusan untuk kekalkan harga lama bagi tidak menyulitkan pelanggan selain tidak mahu berlaku krisis kepercayaan kepada syarikat. Selepas ini, mungkin ada perbincangan oleh pengurusan tertinggi berhubung perkara ini,” katanya.
Mengulas isu sama, Pengarah Urusan Alrohmah Tour & Services, Azhar Che Lat berkata, kenaikan kos untuk menunaikan umrah ketika ini menyebabkan pihaknya terpaksa menaikkan harga mulai November ini.
“Memang punca utama ialah kenaikan harga tiket penerbangan. Dahulu kita boleh dapat RM3,250 untuk pergi dan balik tetapi sekarang sudah naik mencecah RM4,000. Sebabnya ialah kurang penerbangan dan permintaan yang tinggi.
“Tiket Saudi Airlines dan Malaysia Airlines sama sahaja, semua naik. Dahulu ada 24 penerbangan seminggu tetapi sekarang hanya 18. Buat masa ini kita terpaksa dan perlu menanggung kerugian dan hanya mahu lepaskan jemaah sahaja.
“Sekarang tiada untung kerana kita terpaksa tanggung kira-kira RM500 untuk setiap jemaah, maksudnya kita serap kos tambahan. Selepas ini, bermula November akan ada kenaikan minimum RM500 menjadi RM7,490.
“Untuk mata wang pula, dahulu beza ringgit dan riyal ialah 1.15 dan sekarang naik kepada 1.25. Sekarang kalau tukar RM1,000 mungkin kita akan hilang dalam sekitar RM200. Jadi situasi ini menyebabkan harga penginapan dan makan juga naik,” katanya.
Selain itu kata Azhar, pihaknya ketika ini sudah menanggung kerugian kira-kira RM150,000 selepas terpaksa menanggung lebihan kos jemaah umrah akibat kenaikan harga tiket dan nilai mata wang riyal.
“Kita sudah jual pakej umrah kita pada harga RM6,990 sejak tahun lepas lagi, kita tidak boleh kenakan caj tambahan kepada pelanggan sedia ada. Jadi untuk pelanggan baru akan ada kenaikan seperti saya cakap sebelum ini iaitu bermula November,” katanya. – UTUSAN










