Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling dibentang Oktober

Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling dibentang Oktober

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dijangka dibentang dalam persidangan Parlimen Oktober ini bagi meningkatkan kadar hukuman, denda dan kompaun di bawah Akta 127.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya bersetuju dengan keper­luan pindaan berkenaan selepas didakwa ke­tinggalan zaman.

“Tindakan ini bertujuan bagi memantapkan lagi Akta 127 dan peraturan-peraturan di bawah­nya. Pindaan ini melibatkan peningkatan denda melebihi RM10 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun.

“Pindaan ini dijangka dibentang dalam persidangan Parlimen akan datang, InsyaAllah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

AKAS 1974 digubal untuk mencegah, menghapus, me­ngawal pencemaran, membaiki alam sekeliling dan bagi maksud yang berkaitan dengannya, de­ngan lima perkara utama diperuntukkan di bawah akta ini ialah pencemaran udara, pencemaran bunyi bising, pencemaran air, pencemaran tanah serta kawalan buangan terjadual.

Pada 2 September lalu, Utusan Malaysia ini melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta alam sekitar tersebut ketinggalan zaman memandangkan penggubalan dibuat selepas pasca kemerdekaan.

Justeru, katanya, ia sekali gus menyebabkan isu pen­cerobohan hutan gagal ditangani dengan sebaiknya.

Selain pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, ia turut melibatkan Akta Perhutanan Negara 1984, Akta Penebangan Awam 1969 dan Kanun Tanah Negara 1965.

Selain AKAS 1974, Kementerian Alam Sekitar sebelum ini juga dilapor menyiapkan kerangka undang-undang perubahan iklim yang akan menjadi asas kepada penggubalan RUU Perubahan Iklim negara.

Antara kandungannya ialah tadbir urus yang mengandungi peruntukan mengenai kerangka institusi mengenai perubahan iklim negara dan pembentukan sebuah jawatankuasa perubahan iklim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×