KUALA LUMPUR: Jenayah penipuan kerja rakyat Malaysia di luar negara terutama Myanmar semakin ‘menakutkan’ apabila waris mendakwa ada antara mereka diambil darah secara paksa untuk tujuan penjualan organ.
Seorang ibu kepada mangsa, 62, mendakwa anak lelakinya yang berusia 29 tahun yang dipaksa menjadi scammer di Myanmar telah diambil darah pada Isnin lalu disyaki untuk dijual organnya.
Wanita yang enggan dikenali itu berkata, anak lelakinya pergi ke Bangkok, Thailand pada Julai lalu apabila ditawarkan kerja sebagai jurubahasa.
Katanya, anaknya berlepas ke Thailand melalui jalan sah namun malangnya diculik sebelum badannya dimasukkan dadah dan kemudian diseludup ke Myanmar menerusi jalan tikus.
“Sebaik sedar anak saya telah berada di KK Park (Myanmar), anak saya dipaksa bekerja sebagai scammer untuk tipu orang Asia Tenggara pada waktu siang manakala malam pula menipu rakyat asing terutama warga China di Amerika Utara.
“Dia (anak) baru-baru ini memaklumkan kemungkinan sindiket rancang untuk berpindah kerana tempat itu (KK Park) kini telah terdedah dan dikenali,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan memorandum bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedutaan Myanmar di Ampang Hilir di sini semalam.
Seorang lagi ibu kepada dua mangsa, 56, mendakwa, anaknya diseksa dengan renjatan elektrik malah mangsa-mangsa wanita turut dipaksa bekerja sebagai pelacur.
“Kalau ada wanita yang gemuk atau badan berisi, mereka dipaksa makan ubat kurus dan mencari pelanggan untuk kegiatan pelacuran.
“Darah mereka diambil ada yang telah dijual malah ada untuk penjualan organ. Terdapat mangsa yang diseksa sampai mati. Malah, anak saya memberitahu seramai 50 orang rakyat Malaysia yang tiba di sana semalam (kelmarin),” dakwanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri bagi menyelesaikan isu ini bagi menyelamatkan ratusan rakyat Malaysia yang terperangkap di Myanmar.
Beliau percaya sindiket penipuan tawaran kerja tersebut dilindungi pihak berkuasa di Myanmar ekoran pelbagai laporan telah dibuat namun seolah-olah tiada tindakan.
“Perdana Menteri dan Kementerian Luar perlu campur tangan dengan ketua-ketua negara lain bagi menyelesaikan isu ini kerana rakyat kita sedang diseksa, dipukul dan dikurung di sana.
“Ini adalah penghambaan buruh secara moden, bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi beberapa rakyat negara Asia lain turut dieksploitasi,” katanya.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 16 laporan daripada keluarga diterima dan dijangka akan bertambah malah beliau percaya ratusan rakyat Malaysia yang terperangkap di sana.
Jumaat lalu, Hishamuddin menggesa kerajaan menggunakan platform ASEAN sebagai antara penyelesaian diplomatik terhadap isu warganegara Malaysia yang sering menjadi mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
Katanya, sindiket-sindiket itu dilihat melanggar hak asasi manusia secara jelas dan juga merupakan salah satu bentuk pemerdagangan manusia yang salah di sisi undang-undang.
“Kes penipuan pekerjaan ini berbeza kerana ahli keluarga mereka tahu di mana keberadaan mangsa namun tiada apa yang dapat dilakukan kerana kita percaya sindiket-sindiket yang terlibat itu dilindungi oleh pihak berkuasa masing-masing,” jelasnya. – UTUSAN







