PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) hangat dibincang dalam kalangan rakyat malah diuar-uarkan akan diadakan pada bila-bila masa selepas pembentangan Bajet 2023 di Parlimen. Memandangkan Disember adalah bulan tengkujuh, maka UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen pada November ini.
Kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti luar kerajaan termasuk PKR pula berpendapat, PRU15 tidak perlu dipercepatkan lebih awal dari tarikh tamat sah Parlimen ke-14 iaitu sebelum Julai 2023. Mereka juga menggesa Ismail Sabri tidak perlu tunduk kepada tekanan UMNO untuk membubarkan Parlimen lebih awal.
Selain itu, kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui PKR, DAP dan Pas pula membuat ketetapan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tahun ini. Namun, Ismail Sabri kelihatan lebih tenang, tidak tergesa-gesa malah tidak tergopoh-gapah dalam membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15.
Beliau didapati lebih menumpukan perhatiannya kepada pembentangan Bajet 2023 dalam usaha membantu pemulihan ekonomi negara. Ismail Sabri berharap pemulihan ekonomi negara akan membantu membela kebajikan rakyat marhaen. Beliau, selaku Naib Presiden UMNO berharap pengumuman dan tempias pelaksanaan Bajet 2023 akan menimbulkan suasana selesa, feeling good mood dalam kalangan rakyat untuk keluar ramai-ramai menyertai PRU15 dengan senang hati. Beliau dilihat lebih menumpukan kepada kesejahteraan dan kepuasan hati rakyat daripada kepentingan politik kepartian.
Sementara itu, jentera parti-parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau lain-lain parti nampak sudah mula bergerak mengemaskan bilik gerakan masing-masing dan menjalankan program ceramah, kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang masih kelihatan terpinga-pinga mencari rakan kongsi, selain Pas untuk melawan BN.
Pas pula menegaskan akan tetap dengan pendirianya untuk bersama Bersatu menentang BN, meninggalkan kerjasama politik dengan UMNO yang terjalin sejurus PRU14. Gabungan Parti Sarawak (GPS), rakan kongsi kerajaan PN di Sarawak juga didapati sudah sedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
Selain itu, BN mengumumkan akan bertanding solo dalam PRU15. Meskipun belum ada kenyataan rasmi daripada PH terhadap sebarang pakatan politik baharu, PKR yang menerajui PH juga mengumumkan akan bertanding solo. Ini bermakna, sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, maka akan menyaksikan pertembungan antara parti-parti Melayu yang mewakili sebahagian besar pengundi Melayu.
NAJIB
Pada masa sama, kebelakangan ini pihak yang bercita-cita mahu menjatuhkan BN dilihat heboh menaburkan pelbagai dakwaan dalam media sosial kononnya BN dan pemimpin-pemimpin utamanya terutama UMNO banyak terlibat dalam amalan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa melibatkan berjuta-juta ringgit dana kerajaan. Malah ada pihak berpendapat bahawa kesabitan dan hukuman penjara Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini dijangka memburukkan lagi imej UMNO sekali gus BN dalam kalangan sebahagian besar pengundi merentasi kaum.
Perlu ingat, kehadiran Najib dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dikaitkan dengan peralihan sokongan segelintir pengundi bukan Melayu kepada BN yang menyebabkan BN memperoleh kemenangan di beberapa kawasan DUN. Jadi, apakah ketiadaan Najib dalam kempen PRU15 akan menjejaskan peluang BN dalam meraih sokongan pengundi bukan Melayu, terutama orang India dalam menjamin kemenangan?
Persoalannya, memandangkan pengundi Melayu bakal menentukan kemenangan pada PRU15, apakah mereka akan bangkit mempertahankan UMNO yang merupakan tunjang kepada BN sebagai sebuah parti keramat yang ditubuhkan untuk membela kepentingan kaum Melayu dalam negara ini?
Apa pun, PRU15 banyak berbeza daripada PRU-PRU lepas. Sejak PRU14, seramai 40 ahli Parlimen melompat ke parti lain yang menyebabkan jatuhnya kerajaan PH. Dengan itu, Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti telah diluluskan di Parlimen untuk mengelak masalah ini pada masa hadapan termasuk PRU15. Sehubungan itu, parti-parti yang berhasrat untuk bertanding dan menguasai Putrajaya pada kali ini perlu mengelak sama sekali mengandaikan (take for granted) kononnya parti mereka dapat sokongan hebat daripada sesuatu kaum atau pengundi tertentu dan mampu menang dengan majoriti supaya dapat menawan Putrajaya.
Malah, bertanding di sesuatu kawasan atas dasar kawasan tradisi juga dijangka tidak semestinya menjamin kemenangan. Apa yang akan membantu kemenangan pada kali ini adalah persepsi dan populariti seseorang calon itu sendiri dan bukan semata-mata jawatan yang disandangnya. Pada kali ini, pengundi dijangka melihat imej calon lebih daripada parti yang beliau mewakili.
PRU15 juga dijangka menamatkan riwayat kerajaan PN yang terjelma susulan ‘Langkah Sheraton.’ Persoalannya, apakah BN, PH atau Bersatu yang bercita-cita bertanding solo mampu meraih majoriti di Parlimen supaya dapat menggantikan PN menguasai Putrajaya? Bersandarkan suasana serta perkembangan politik semasa, penjajaran baharu dijangka timbul dalam melahirkan sebuah kerajaan baharu menguasai Putrajaya.
Apa pun, pengundi diharap bijak pada kali ini untuk memilih sebuah kerajaan yang mampu memulihkan ekonomi negara dengan jayanya serta menjamin kestabilan politik. Pengundi bijak, negara selamat, rakyat sejahtera.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik.











