'AJL 35, saya pun tak puas hati' - Hael Husaini - Utusan Malaysia

‘AJL 35, saya pun tak puas hati’ – Hael Husaini

HAEL HUSAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) bakal berlangsung Februari ini, cakap-cakap belakang mengenainya ternyata masih belum sunyi mewarnai industri hiburan tanah air kita.

Ia khususnya menyentuh mengenai pemilihan lagu yang sehingga sekarang masih menjadi pertikaian dalam kalangan pemerhati industri termasuk kelompok peminat yang cenderung menyokong artis-artis tertentu.

Maka, sebagai satu-satunya persona yang dilihat membolot peluang besar menerusi tiga lagu ciptaannya, penyanyi dan komposer Hael Husaini bagaikan begitu dicemburui ramai kerana dianggap ‘anak emas’ TV3.

Cukup sedar bahawa dirinya menjadi bahan pertikaian ramai terutama apabila lagu Hati dianggap tidak layak langsung untuk mara ke pentas akhir AJL, Hael mengaku agak kecewa dengan sikap segelintir ‘pencinta muzik’.

“Tak tahulah berapa kali lagi saya perlu mengulang bahawa ini semua adalah rezeki. Saya terpaksa akur dengan juri-juri profesional dan tak mungkinlah nak sangkal penjurian mereka.

“Tentulah cuma kata syukur yang mampu diungkapkan apabila tiga lagu saya mara ke peringkat akhir walaupun jujurnya, 30 lagu yang masuk ke separuh akhir tempoh hari juga adalah nyanyian sahabat-sahabat saya sendiri.

“Saya sendiri turut mendoakan kemenangan mereka tetapi kalau ada yang tidak mara ke peringkat akhir, mungkin rezeki mereka pada tahun depan kita tak tahu,” katanya.

Juga sedar bahawa ada pihak yang tidak puas hati dengan kejayaan yang diraihnya sehingga ke hari ini, Hael juga dengan selambanya memberitahu dia juga punya rasa yang sama.

“Tak apalah kalau anda rasa tak puas hati sebab saya pun tak puas hati dengan anda. Cuma, bezanya, saya mengambil jalan untuk mendoakan agar kita semua dimurahkan rezeki dan dikurniakan kejayaan dari-Nya,” katanya berbaur sindiran.

Jelas penyanyi berusia 33 tahun ini, dia sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan tidak tertekan dengan pertandingan ini sebaliknya menganggap warganet dan pengkritik sebenarnya yang punya elemen itu.

Kata Hael, dia selama ini cuma menjalankan tugasnya sahaja baik sama ada sebagai penyanyi, penulis lirik mahupun komposer.

“Saya sudah jalankan kerja, menyampaikan lagu, menghasilkan karya-karya untuk dibawakan oleh artis lain dan tidak ada sebab untuk merasa tertekan pun dengan semua itu.

“Beginilah, bagi saya tak eloklah bercakap perkara-perkara yang tidak baik apalagi jika ia mampu menjejaskan bisnes mana-mana individu. Ya, muzik juga adalah satu cabang bisnes buat kami para pengkarya seni.

“Apabila melihat atau mendengar bisnes seolah-olah diperkotak-katikkan dengan mudah oleh orang luar, tentulah saya terasa juga kerana jujurnya alangkah baiknya jika kita semua saling menyokong,” katanya.

NABILA LEBIH BAIK

Mengenai isu apabila ada sesetengah pendengar menyifatkan lagu Peluang Kedua dinyanyikannya lebih baik oleh penyanyi asal , Nabila Razali, Hael juga punya pandangan peribadi.

Dari kaca matanya sebagai komposer kepada lagu tersebut, Hael juga merasakan sememangnya Nabila lebih layak untuk membawakan lagu tersebut pada peringkat akhir AJL-35.

Baginya, struktur lagu tersebut sedari awal telah dirangka untuk Nabila dan tentunya ada sebab mengapa ia lebih istimewa jika dinyanyikan sendiri oleh sahabat baiknya itu.

“Semasa peringkat separuh akhir tempoh hari saya cuma menjadi penggantinya sahaja kerana sebagaimana yang semua sedia maklum, Nabila diminta untuk berehat oleh guru vokalnya dan doktor.

“Saya juga tahu, Nabila memang nak menyanyikan lagu itu jika berpeluang ke pentas akhir. Saya akui memang lagu itu susah sebenarnya untuk dibawa walaupun kedengaran agak minima.

“Secara peribadi, saya sendiri mengharapkan Nabila yang menyanyikan lagu itu nanti. Dengarnya sekarang kesihatannya juga sudah semakin baik, alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, sempat mengusik sama ada dia mempunyai lagu pilihan tersendiri untuk diangkat sebagai lagu Juara Lagu ke-35, kata Hael, andai diberi peluang dia memilih lagu nyanyian Zizi Kirana berjudul Eh!

“Memanglah kalau boleh saya nak semua lagu itu masuk dan menang sebab bagus-bagus semuanya.

“Tetapi, secara peribadi, saya rasa lagu Eh! sangat unik dan saya sukakannya.

Menepati konsep pada zaman sekarang kerana lagu tersebut mempunyai kekuatan dan elemen gabungan Melayu dan antarabangsa dalam satu karya.

 

SECARA peribadi Hael berharap Nabila Razali akan menyanyikan lagu ‘Peluang Kedua’ dalam AJL 35.

 

TROFI LOKAL TERBAIK?

Mengalih cerita mengenai penghasilan lagu baharu berjudul Lara yang menyaksikannya bergelar trio bersama Haqiem Rusli dan Naim Daniel, Hael mengakui terharu dengan sambutan hangat yang diterimanya menerusi lagu tersebut.

Kata Hael, dia juga berasa lucu kerana ada yang cuba mengaitkan trio ini menerusi Lara dengan trio tiga suara versi wanita menerusi lagu hits sebelum ini, Beribu Sesalan.

Dia malah berasa kagum dengan kreativiti akal fikiran warganet yang muncul dengan komen bahawa Lara adalah sebuah lagu kesinambungan Beribu Sesalan.

“Ketika menghasilkan lagu ini, saya tak terfikir langsung pun mengenai lagu Beribu Sesalan. Walaupun lagu tersebut merupakan antara lagu kegemaran saya, tetapi Lara tidak dihasilkan untuk dikaitkan dengan lagu itu.

“Kalau nak cakap pasal trio versi lelaki, kumpulan rock satu ketika dahulu juga pernah tampil dengan trio.

“Apa pun, baik saya mahupun Haqiem dan Naim, kami bertiga ambil ini sebagai satu pujian,” katanya.

Dalam pada itu, diusik jika dia meletakkan harapan yang tinggi andai Lara juga mampu meraih kedudukan dalam AJL pada masa akan datang, Hael tersenyum.

Biarpun tahu akan ada pihak yang menganggap dia memberikan sebuah kenyataan yang klise, Hael mengaku dia tidak terfikir pun untuk sampai ke tahap itu.

“Misi untuk menang kategori Vokal Terbaik? Ada-ada sahajalah ya warganet kita ini. Tak adalah.

“Kami bertiga ini pun masih muda dan mahu bereksperimen lagi. Lara bagi kami adalah sebuah hadiah istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong kami bertiga secara solo sebelum ini.

“Macam saya katakan, kalau benar lagu ini ada rezeki, syukur alhamdulillah atas segala kurniaan-Nya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×