PEDi bantu cipta usahawan digital

PEDi bantu cipta usahawan digital

SETAKAT ini terdapat 911 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang beroperasi di seluruh negara dan jumlahnya dijadualkan akan ditambah sehingga 1,084 dalam masa terdekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 35 tahun lepas, MIMOS Berhad (MIMOS) memperkenalkan perkhidmatan internet pertama di Malaysia dikenali sebagai RangKoM (Rangkaian Komputer Malaysia) yang menghubungkan semua universiti di Malaysia dengan MIMOS. Tujuannya bagi membolehkan ahli akademik dan penyelidik daripada universiti berkomunikasi melalui emel dan forum elektronik.

Yang peduli pada perkhidmatan itu hanya mereka yang mempunyai kaitan dengannya. Khalayak umum di luar lingkungan itu bukan sahaja tidak peduli, malah tidak tahu pun mengenainya.

Pada tahun 1992, MIMOS melancarkan Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) untuk menghubungkan institusi penyelidikan dan akademik, termasuk beberapa agensi kerajaan dan swasta. Objektif utamanya adalah untuk menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan pengkomersilan di Malaysia. Jaring juga menjadi pintu masuk ke laluan internet antarabangsa.

Kesungguhan kerajaan untuk menjadikan kemajuan teknologi komunikasi sebagai pemacu negara ke pentas global menyaksikan perkhidmatan internet berkembang pantas dengan menyaksikan kemunculan TM Net pada 1996, bagi mengiringi jaring dan kemudiannya mengatasi sebagai pembekal perkhidmatan. Internet pada masa itu dan bertahun-tahun berikutnya masih menjadi produk eksklusif. Selain kawasan liputan terhad, ia hanya boleh diakses dengan komputer meja dan komputer riba yang perlu disokong oleh alat lain seperti modem dan router, kos mengakses internet juga secara relatifnya tinggi. Ini menyebabkan khalayak umum berpandangan ia hanyalah untuk kelompok tertentu dan berkemampuan.

Keadaan hanya berubah dengan kemunculan telefon pintar. Kawasan liputan yang semakin luas, pengenalan perkhidmatan tanpa wayar, capaian yang bertambah pantas, penyedia perkhidmatan berlumba-lumba memperbaiki mutu dan pelbagai kecanggihan lain yang diteroka dari semasa ke semasa menjadi penggunaan internet akhirnya bertukar menjadi fenomena.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerusi dana yang disumbangkan oleh pemegang lesen telekomunikasi telah menubuhkan pusat internet bemula pada tahun 2007.

Pelaksanaan pusat internet ini pada asalnya bertujuan untuk menyediakan kolektif akses di kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar untuk memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan jalur lebar secara peribadi.

Pusat internet ini telah melalui beberapa fasa transformasi untuk menyesuaikan peranan pada masa tersebut. Sejak awal penubuhannya, pusat ini dikenali sebagai USP Communication Centre (UCC). Pada tahun 2008 ia ditukar kepada Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan telah dijenamakan sebagai Pusat Internet Komuniti (PIK) bermula pada penghujung tahun 2020.

Terkini, pada 21 November 2021, Perdana Menteri telah melancarkan transformasi Pusat Internet Komuniti kepada Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) selaras dengan agenda kerajaan untuk menggerakkan dan menyemarakkan ekonomi digital kepada komuniti di seluruh negara dan ia dilihat mampu menyediakan keperluan ke arah itu.

Setakat ini ini terdapat 911 PEDi yang beroperasi di seluruh negara dan jumlahnya dijadualkan akan ditambah sehingga 1,084 dalam masa terdekat.

Jika pada peringkat awal pusat ini berfungsi mendekatkan kelompok sasaran dengan teknologi maklumat dan kemudian sebagai tempat menyediakan kolektif akses di kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar untuk memberikan peluang kepada warga sekitarnya yang kurang berkemampuan untuk melanggan perkhidmatan jalur lebar secara peribadi, kini peranan itu perlu ditingkatkan memandangkan fungsi internet juga sudah berkembang jauh sebagai pemain utama dalam sektor ekonomi digital.

Dengan adanya PEDi akan tersedialah satu platform latihan kepada komuniti setempat untuk mereka mempelajari selok-belok berkaitan ekonomi digital melalui pelbagai program latihan sebelum menceburi perniagaan atau pemasaran dalam talian yang dapat meningkatkan taraf sosioekonomi. Ini dapat mengelakkan mereka melangkah masuk ke gelanggang dalam keadaan teraba-raba yang tentu sahaja besar risikonya.

Peranan menyediakan program latihan dan menyemarakkan ekonomi digital dipertanggungjawabkan kepada MDEC (Malaysia Digital Economy Corporation)sebuah lagi agensi dibawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataannya pernah menyebut tentang kaitan rapat antara tiga aspek utama dalam perkembangan dunia digital masa kini iaitu liputan rangkaian, aplikasi dan kandungan.

Di Malaysia prasarana rangkaian 4G sudah meliputi 96 peratus kawasan berpenduduk. Dengan asas sekukuh itu dan peranan syarikat telekomunikasi, doktrin kesalinghubungan internet adalah hak asasi akan menjadi realiti. Hari ini budaya hidup adalah Internet untuk segalanya (IOT).

Apa yang perlu ditekankan kini adalah tentang soal aplikasi dan kandungan. Latihan serta bimbingan yang betul perlu diberikan supaya kumpulan sasar bukan sahaja mesra aplikasi yang digunakan, tetapi bijak menentukan aplikasi bagaimana yang diperlukan supaya pada penghujungnya tidak ada sesiapa dalam kalangan mereka yang menghabiskan masa kerana dihanyutkan oleh aplikasi-aplikasi menarik yang kurang bermanfaat.

Begitu juga dengan kandungan. Internet bukanlah semata-mata lubuk emas yang menyediakan kandungan-kandungan hebat untuk dicontohi, tetapi juga tong sampah besar yang di dalamnya terhumban perkara-perkara yang harus dijauhi. Kita percaya PEDi akan menjadi medan asuhan yang berwibawa untuk melahirkan ‘anak didik’ yang melangkah masuk ke dunia digital dengan naratif yang jelas; tahu apa yang dicari, tahu bagaimana cara mendapatkannya dan tahu juga memanfaatkannya supaya matlamat akhir untuk mencipta pendapatan menerusi ekonomi digital dapat dicapai.

Inisiatif keprihatinan kerajaan Keluarga Malaysia menerusi perkongsian pintar antara SKMM selaku agensi kawal selia, MDEC berfungsi memberikan program pelatihan dan syarikat penyedia telekomunikasi akan meningkatkan kadar celik digital dan membina budaya usahawan digital dikalangan masyarakat.-UTUSAN

Datuk Dr. Budiman Mohd Zohdi adalah Setiausaha Politik Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×