SEJAK termeterai hubungan diplomatik antara Malaysia dan China (Republik Rakyat China) pada 1974, Malaysia dan Taiwan hanya memelihara pertalian persahabatan dua hala dengan mendirikan pejabat perwakilan di ibu negara masing-masing. Namun begitu, rakyat kedua-dua negara ini bebas bergaul sejak dahulu lagi.
Perdagangan dua hala berkembang maju. Budaya semasa seperti filem dan muzik pop dari Taiwan banyak mempengaruhi kehidupan dan pemikiran generasi muda keturunan Cina di Malaysia.
Sepanjang 1960-an hingga 1990-an, ekonomi Taiwan pesat membangun. Pada waktu itu, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Hong Kong muncul bagaikan empat ekor naga ekonomi yang mengagumkan dunia.
Taiwan dan Korea Selatan berjaya bertransformasi daripada negara pertanian kepada negara perindustrian ringan dan berjaya menarik sejumlah besar pelaburan langsung (FDI) serta perpindahan teknologi dari negara-negara maju di Barat. Taiwan sering kali menjadi teladan kepada Malaysia dalam sektor ekonomi.
Di samping kemajuan sektor perindustrian, Taiwan juga terkenal sebagai saluran pembekal pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa, khususnya untuk pelajar-pelajar dari negara-negara Asia Tenggara. Justeru, dalam abad ke-20, universiti-universiti di Taiwan tidak asing lagi sebagai destinasi pengajian tinggi untuk pelajar-pelajar Malaysia. Taiwan menjadi pilihan tersohor adalah kerana yuran pengajian dan kos sara hidup lebih murah.
Pada 1988, saya melanjutkan pelajaran ke universiti di Taiwan. Saya membawa bersama kaset kumpulan Alleycats yang sangat popular pada waktu itu. Sebagai anak Malaysia yang merantau di luar negara, muzik, makanan dan pakaian bercirikan Malaysia memang dapat mengubat kerinduan saya terhadap tanah air dan keluarga di kampung halaman.
Sepanjang lima tahun menuntut di Taiwan, pada 31 Ogos setiap tahun, pelajar-pelajar Malaysia akan berkumpul untuk meraikan Hari Kebangsaan. Lagu Negaraku berkumandang sebagai pembuka tirai majlis. Tarian dan nyanyian lagu Melayu turut dipersembahkan. Tidak kurang makanan yang mencerminkan identiti Malaysia seperti nasi lemak, sate dan rendang dihidangkan.
Ketika berinteraksi dengan pelajar-pelajar luar negara di Taiwan, dengan mudahnya kami mengecam mereka yang datang dari Malaysia melalui loghat pertuturan. Perasaan gembira melonjak jika bertemu dengan pelajar keturunan Melayu dari Malaysia di Taiwan kerana kami berpeluang bertutur dalam bahasa kebangsaan di luar negara.
Apabila menjejak kaki ke luar negara, identiti Malaysia menjadi simbol yang diiringi bersama. Pelajar-pelajar dari negara sama langsung tidak mempertikaikan isu perbezaan kaum. Sesungguhnya, identiti kebangsaan dan semangat patriotik kami tetap bersemarak walaupun berada di perantauan.
PIALA THOMAS
Setiap universiti Taiwan yang mempunyai pelajar Malaysia akan dihubungi oleh aktivis persatuan pelajar. Gabungan Persatuan Pelajar Malaysia dibentuk untuk menyatupadukan semua pelajar Malaysia. Selain menganjurkan pelbagai aktiviti, bantuan yang munasabah turut disalurkan ketika berlaku kecemasan dalam kalangan mereka.
Pada awal 1990-an, penggunaan komputer dan internet masih belum popular. Penghantaran mesej hanya melalui surat-menyurat. Saya masih ingat, pada 1992 Malaysia berjaya merebut semula johan pertandingan badminton Piala Thomas. Berita baik itu hanya dikhabarkan oleh ahli keluarga melalui surat bertulis yang mengambil masa 10 hari untuk sampai ke Taiwan.
Jauh di mata, dekat di hati. Apabila terbaca berita tersebut, kami bersorak-sorai atas kemenangan negara dan tidak sabar mengongsi kegembiraan itu dengan kawan-kawan lain yang berada di Taiwan.
Semenjak negara merdeka, kira-kira 100,000 pelajar Malaysia berjaya menamatkan pengajian dari universiti-universiti Taiwan. Kumpulan graduan ini menceburi pelbagai bidang, baik dalam arena politik, ekonomi, pendidikan mahupun kebudayaan. Mereka masing-masing menyumbang tenaga untuk bangsa dan negara. Dalam arena politik, tidak kurang 20 orang dalam kalangan mereka yang pernah terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli Parlimen.
Pada masa sama, pelajar keturunan Melayu turut menunjukkan minat yang tinggi untuk belajar di Taiwan. Pelajar Melayu lepasan universiti Taiwan juga meraih kejayaan cemerlang setelah kembali berkhidmat di tanah air. Sebagai contoh, Profesor Madya Obaidellah Mohammad berkhidmat di Jabatan Pengajian Tionghoa, Universiti Malaya dari 1971 sehingga bersara pada 2010. Beliau tamat pengajian dari Universiti Kebangsaan Taiwan dalam bidang Pengajian Tionghoa dan fasih bertutur dalam bahasa Cina.
Dalam sektor perusahaan pula, pada penghujung 1980-an, sebilangan besar syarikat Taiwan seperti Acer dan CSC Steel melabur di Malaysia. Faktor utama pelabur Taiwan melabur di Malaysia kerana terdapat berpuluh ribu graduan Taiwan di sini. Tidak kurang juga pelajar di Taiwan kembali ke Malaysia untuk memulakan perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.
Banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia disandang oleh pelajar kita yang pulang dari Taiwan. Mereka mengaplikasikan ilmu pengetahuan profesional yang dituntut di Taiwan dengan sebaik-baiknya, dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan membanggakan. Kini, mereka berjaya menjadi komponen penting dalam rangkaian pembekalan global.
Kesimpulannya, komuniti lepasan universiti Taiwan bukan sahaja mencipta banyak peluang pekerjaan, malah mereka juga banyak menyumbang kepada kutipan cukai negara serta menabur bakti dalam pelbagai kerja amal dan kerja sosial.
Sesungguhnya, tidak kira di negara mana kita memperoleh pendidikan tinggi, kita akhirnya tetap akan pulang ke tanah air untuk membantu membangunkan negara. Semangat patriotik sememangnya tercetus dalam lubuk hati setiap insan tanpa mengira warna kulit dan agama.-UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.











