TANGGAL 31 Ogos 1957, kira-kira 65 tahun lalu, negara kita diisytiharkan merdeka dan bebas untuk menentukan hala tuju pentadbirannya. Permulaan sebuah pemerintahan setelah turunnya bendera Union Jack, bukan sesuatu yang mudah kerana mengisi kemerdekaan dengan agenda memperkasa sosiopolitik dan sosioekonomi memerlukan kepimpinan yang mantap dari segala segi.
Generasi sebelum dan selepas merdeka sudah pasti berbeza taraf kehidupan disebabkan peluang pendidikan semakin luas hasil pemerintahan yang ada. Malaysia hari ini bukan lagi negara yang menjana hasil daripada bijih timah dan getah seperti sebelum merdeka hingga awal 1970-an. Kini komoditi seperti kelapa sawit mengambil tempat.
Industri berat seperti pembuatan kereta dan perkilangan produk pada hujung 1980-an sedikit demi sedikit mengambil alih penggantungan hasil ekonomi berasaskan pertanian.
Sehingga kini, Malaysia sudah gah dengan pembangunan infrastruktur terbaik di dunia hasil kebijaksanaan pemimpin sejak negara ini merdeka daripada British. Namun, kita jangan alpa dengan segala kemewahan dan kejayaan negara dalam bidang ekonomi mahupun sukan kerana ia memerlukan kepimpinan yang mantap untuk memastikan ia berkekalan.
CIPUT
Jangan kita lupa, sesuatu permulaan akan menjadi pengakhiran jika pemimpin politik terus mencari salah masing-masing, ibarat tikus membaiki labu. Kita bimbang, disebabkan ada pihak yang merasakan diri mereka lebih bijak mencari salah orang lain, dia lupa untuk memikirkan solusi terbaik bagi mengatasi masalah tersebut.
Kehidupan bukan pertandingan debat yang mana kita mempertaruhkan hujah dan fakta, ia lebih daripada itu. Realiti hari ini, kita bukan sahaja mahu menjadi rakyat yang hidup di negara merdeka tetapi mahu hidup dengan sumber ekonomi yang memerdekakan diri mereka daripada beban kewangan seharian.
Apa gunanya rakyat disogok dengan kisah juta-juta dan bilion ringgit yang dikatakan lesap sedangkan seumur hidup mereka, jika dapat sebulan gaji seribu ringgit pun sudah bersyukur. Sebagai rakyat marhaen di negara merdeka, setiap pagi akan terfikir apa makanan yang boleh mengenyangkan perut mereka dengan bajet ‘ciput’ (sedikit). Namun, bagi golongan kaya raya atau kayangan, mereka akan terfikir hendak makan di mana tanpa memikirkan kosnya.
Kepada pemimpin politik dan bijak pandai di puncak menara gading, nyatakan kebenaran apa yang rakyat pascapandemik Covid-19 perlukan.
Adakah mereka mahu menjadi rakyat merdeka yang hidup senang kerana pemimpin memikirkan nasib mereka atau terus hidup susah kerana pemimpin yang asyik memikirkan nasib parti dan diri sendiri?-UTUSAN











