BILAKAH Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan? Inilah soalan yang hangat sedang diperkatakan baik dalam kalangan pemimpin politik, ahli parti mahupun mereka yang tidak pernah keluar mengundi. Yang pastinya, PRU15 sudah semakin hampir, cuma tarikhnya sahaja yang kita belum tahu.
Namun, bahangnya sudah panas membara. Ramai yang cuba meneka tarikhnya, malah ada yang begitu yakin dengan tekaan mereka seolah-olah dapat meramal apa yang bakal berlaku.
Saban hari pelbagai kenyataan panas dikeluarkan oleh para pemimpin parti. Lucunya, kadang kala kenyataan para pemimpin yang bukan sahaja dari sesebuah pakatan parti, malah parti yang sama pun bercanggah di antara satu sama lain. Ada pula yang begitu lantang mencabar orang lain tetapi tidak berani menyahut apabila dicabar. Masing-masing mahu bersuara dalam mengatur langkah agar dipilih menjadi calon. Jika tidak terpilih, mungkin ada yang bukan sahaja bertukar nada tetapi juga bertukar sokongan. Menyedihkan, tetapi itulah resam sesetengah orang politik.
Saat ini, pemimpin utama parti sudah pasti sibuk menyediakan manifesto baharu bagi memancing undi, khususnya golongan muda yang sebahagian besar merupakan pengundi atas pagar. Mereka yang setia kepada parti akan tetap menyokong walau dengan hati yang kecewa.
Ramai yang menabur janji setinggi langit, seolah-olah semuanya akan diberikan secara percuma jika mereka menang nanti. Saya teringat manifesto lucu daripada seorang calon Bebas pada PRU14 yang berjanji untuk menyediakan gas memasak percuma kepada semua pengundi jika beliau menang pilihan raya. Entah bagaimana cara pengagihannya, hanya beliau yang tahu.
Kata orang, apabila hampir pilihan raya, wakil rakyat akan lebih kerap berjumpa pengundi. Yang dahulu sering menghilang pun akan mencari jalan pulang. Lupa janji lama yang gagal dikotakan, tabur pula janji baharu. Mudahnya mereka berjanji tanpa rasa bersalah.
Kempen menggunakan mainan persepsi untuk mempengaruhi rakyat sudah menjadi asam garam dunia politik kita. Pelbagai naratif digunakan untuk memenangi hati pengundi. Ada cerita digarap untuk memancing simpati, ada juga yang diolah untuk menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pihak lawan. Fitnah sudah menjadi mainan sesetengah pihak demi memenangi pilihan raya. Adakah benar matlamat boleh menghalalkan cara? Sudah tentu tidak bagi kita umat Islam. Jangan sampai tanpa disedari kita pula yang menjadi penyambung fitnah.
Apatah lagi bagi kita generasi Undi18 yang baharu bertatih untuk mengenali dunia politik. Sebagai pengundi baharu, sudah pasti kita akan menjadi sasaran utama kempen PRU15. Jangan mudah terpedaya, senduk besar tak mengenyang.
Apa yang sedap didengar itu belum tentu benar dan akan menjadi kenyataan. Kita harus berfikir secara rasional dan tunaikan hak kita dengan bijak, amanah dan penuh tanggungjawab. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










