70% tasik di Malaysia tercemar?

70% tasik di Malaysia tercemar?

Tasik Mentiga yang bertukar menjadi kawasan paya berdekatan Kampung Tasik Mentiga, Chini. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus daripada 26 tasik semula jadi dan buatan di negara ini didakwa tercemar akibat aktiviti pembalakan, pencerobohan hutan serta dijadikan tempat pembuangan sampah.

Keadaan itu menyebabkan ekosistemnya terganggu dan sekira tidak dikawal ia mungkin menerima nasib yang sama seperti Tasik Chini dan Tasik Mentiga di Pahang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof berkata, antara yang didakwa tercemar ialah Tasik Bakun, Sabah, Tasik Timah Tasoh, Perlis dan beberapa lagi di Perak.

Katanya, pencemaran yang berlaku di kawasan tasik lazimnya kurang diketahui umum memandangkan lokasinya yang terletak dalam hutan simpan.

“Saya sedih kerana kebanyakan tasik ini tidak dijaga dan dipantau sebaiknya oleh pihak atau jabatan terlibat.

“Apabila di dalam hutan simpan, pelbagai kerosakan boleh berlaku di tasik terutama akibat aktiviti pembalakan dan pencerobohan, namun perkara itu tidak diketahui sesiapa kerana tiada badan yang memantau,” katanya di sini semalam.

Semakan Utusan Malaysia mendapati pada masa ini terdapat sebanyak 16 tasik semula jadi dan buatan di Semenanjung manakala bakinya di Sabah dan Sarawak.

Pada 13 Jun lalu, Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan banyak pihak tentang penarikan balik status Tasik Chini yang diisytiharkan sebagai Rizab Biosfera (BR) oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2009.

Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan kira-kira 10 kampung terletak antara Jambatan Paloh Inai dan Kampung Lubuk Paku sejauh kira-kira 50 kilometer di pesisir Sungai Pahang dikhuatiri pupus ekoran kehilangan tarikan ekonomi disebabkan penerokaan hutan dan perlombongan hingga menjejaskan ekosistem terutama di Tasik Chini.

Sejak 1960-an, 15 kampung di situ lenyap daripada peta.

Ia susulan kegiatan pene­rokaan di Tasik Chini sedangkan tasik itu merupakan tapak pertama di negara ini yang diberikan pengiktirafan berprestij, selain Banjaran Crocker di Sabah yang diterima pada 2014.

Sementara itu, Tasik Mentiga yang berkeluasan kira-kira 121 hektar di Kampung Tasik Mentiga di sini kini senasib dengan kembarnya, Tasik Chini apabila kawasan semula jadi sekitarnya musnah akibat aktiviti manusia.

Tok Batin Kampung Tasik Mentiga, Joheng, 62, berkata, tidak ramai yang tahu kewujudan Tasik Mentiga kerana kurang pendedahan tentang kawasan tersebut yang kini menjadi kawasan berpaya.

Menurutnya, sebelum tahun 1970-an, Tasik Mentiga sama seperti Tasik Chini sebagai sumber protein kepada penduduk Orang Asli etnik Jakun dan tarikan pelancong untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi.

“Ketika itu Tasik Mentiga cantik dengan keindahan flora dan fauna terutama pada Jun apabila bunga teratai berkembang. Dulu lebih 30 jenis ikan ada di tasik ini dan boleh dipancing dengan mudah.

“Tetapi kini Tasik Mentiga mati dipenuhi rumpai yang hampir menjadi daratan kerana faktor pencemaran aktiviti manusia,” katanya di sini semalam.
Joheng berkata, perubahan mendadak berlaku pada 1975 apabila banyak pokok diteroka dan ditebang untuk pertanian.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata, menjadi kerugian besar kepada negara jika status BR Tasik Chini ditarik balik oleh UNESCO.

Malah, Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera, Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, sekurang-kurangnya 20 tahun diperlukan untuk pemulihan semula BR kawasan Tasik Chini yang musnah akibat pencemaran dan perlombongan di kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×