SELEPAS beberapa tahun tertangguh akibat pandemik Covid-19, Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 kembali disambut pada tahun ini dengan tema Penjawat Awam Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia.
Semasa merasmikan himpunan tersebut pada 30 Ogos lalu, pelbagai harapan diluahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada 1.6 juta penjawat awam untuk memastikan sistem penyampaian kerajaan berjalan dengan cekap dan berkesan.
Selain harapan besar yang diluahkan, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif galakan kepada penjawat awam seperti komitmen kerajaan untuk membuat kajian semula terhadap sistem saraan sedia ada, menambah jumlah maksimum gantian cuti rehat (GCR) sehingga 180 hari dan bayaran khas kewangan sebanyak RM700.
Setelah sekian lama tiada semakan semula terhadap skim saraan bagi penjawat awam, sudah tentu pengumuman oleh kerajaan tersebut memberi kelegaan dan kegembiraan kepada majoriti mereka.
Inisiatif diumumkan ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam, khususnya komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan semasa negara mengharungi fasa pandemik akibat wabak Covid-19 tempoh hari sehingga Malaysia berjaya beralih ke fasa endemik.
Sebagai tanda berterima kasih, penjawat awam sewajarnya menghargai inisiatif tersebut dengan meningkatkan lagi proses penyampaian untuk memastikan semua dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.
Kakitangan kerajaan adalah kumpulan pelaksana paling penting yang menentukan sama ada sesuatu manifestasi kerajaan berjaya dilaksanakan atau tidak, yang pastinya akan memberi kesan langsung kepada rakyat keseluruhan.
Pada bahu mereka digalas harapan besar untuk memastikan Malaysia kekal signifikan bersaing di persada dunia, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain.
Pada setiap masa, penjawat awam perlu menyedari bahawa mereka bekerja untuk rakyat dan dibayar gaji menggunakan dana awam dimiliki oleh rakyat.
Sangat penting untuk memastikan perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan pada kadar paling optimum untuk memastikan kesejahteraan bagi semua Keluarga Malaysia, apatah lagi pada waktu keadaan ekonomi tidak menentu serta isu kesihatan awam yang masih tidak pulih sepenuhnya.
Dalam melaksanakan tugas, dua elemen penting perlu diberi perhatian oleh penjawat awam iaitu memenuhi keperluan legaliti dan tuntutan akauntabiliti. Dalam aspek legaliti, perlu dipastikan semua urusan kerja yang dilaksanakan mematuhi sepenuhnya prosedur dan tatacara ditetapkan.
Dalam aspek akauntabiliti pula, penjawat awam perlu memastikan semua kos yang digunakan untuk melaksana tugas sama ada kewangan, masa dan tenaga adalah berpadanan dengan produk dan kualiti kerja dihasilkan.
TINGKAT INTEGRITI
Penjawat awam juga perlu mempertingkat integriti dan tadbir urus sepanjang melaksanakan tanggung jawab sebagai kakitangan kerajaan. Pelbagai kes penjawat awam dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman akibat pelanggaran integriti perlu dijadikan sempadan untuk tidak melakukan perkara sama.
Pada setiap masa, penjawat awam perlu dilihat bersih daripada sebarang unsur rasuah dan penyalahgunaan kuasa, inilah cabaran besar sering menghantui perkhidmatan awam.
Bukan mudah untuk menolak godaan dan pujukan bagi melakukan tindakan yang melanggar aku janji perkhidmatan awam khususnya dalam aspek rasuah dan sogokan. Namun, penjawat awam perlu bermujahadah (berjuang melawan hawa nafsu) dan memiliki kesedaran kendiri paling kuat untuk menghindari semua elemen negatif tersebut.
Jangan mudah tergoda dengan kemewahan yang bukan hak kita kerana akibatnya sangat buruk. Jika terlepas di dunia sekalipun, balasan setimpal akan menanti di akhirat khususnya bagi kakitangan Muslim yang percaya kepada perhitungan mahsyar.Jangan mudah berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan walau sekecil mana sekalipun.
Jika sudah terbiasa melakukan kesalahan kecil serta rasa tidak bersalah melakukan penyelewengan tersebut, risiko untuk melakukan kesalahan besar akan lebih mudah selepas itu. Penjenayah besar majoritinya bermula dengan jenayah kecil-kecilan terlebih dahulu.
Penjawat awam perlu menutup semua ruang yang berpotensi menyebabkan mereka tersalah langkah sehingga terjerumus ke lembah jenayah. Jangan berani untuk memulakan dosa kecil kerana dibimbangi akan berani pula untuk melakukan dosa besar selepas itu, sekali gus terbiasa dan terus hanyut melakukan kesalahan tersebut.
Rasuah adalah musuh yang akan menjahanamkan negara bangsa. Akibat rasuah, perolehan negara yang sepatutnya sampai kepada kumpulan sasar dan dinikmati hasilnya oleh rakyat mengalami kebocoran dan jatuh kepada pihak yang tidak sepatutnya.
Akibatnya, sistem penyampaian kerajaan akan terganggu sekali gus memberi kesan negatif terhadap ekonomi dan sosial rakyat keseluruhannya. Disebabkan rasuah, rakyat tidak dapat menikmati produk terbaik yang disampaikan oleh kerajaan kerana sebahagiannya telah tercicir ke kantung tidak selayaknya.
Bukan sekadar tidak melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, bahkan penjawat awam perlu mengelak untuk bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cenderung untuk melakukan perbuatan keji tersebut, walaupun oleh pihak yang mempunyai tahap autoriti lebih tinggi.
Penjawat awam perlu berpegang teguh kepada sumpah untuk melindungi kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.
Sempena sambutan bulan kemerdekaan, penjawat awam wajar mempamerkan semangat patriotik dengan meletakkan negara sebagai keutamaan tertinggi, bukan kepentingan mana-mana individu atau sesiapa sahaja. Inilah sumpah keramat penjawat awam yang meletakkan kepentingan negara adalah segalanya. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Yusri Ibrahim ialah Pensyarah Program Pengajian Polisi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi & Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).











