PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) kebarangkalian tinggi diadakan pada tahun ini berdasarkan kenyataan-kenyataan semasa daripada pimpinan politik baik kerajaan mahupun pembangkang.
Menjelang tarikh sebenar untuk Parlimen dibubarkan dan kemungkinan diikuti Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri kecuali Johor, Sabah, Sarawak dan Melaka, semua pihak masih menunggu saat itu.
Namun bagi Pas, meskipun PRU15 boleh diadakan dalam tempoh 11 bulan akan datang atau paling akhir sekitar Julai 2023, tetapi mereka tidak melihat perkara itu sebagai halangan untuk terus mengadakan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 bersama dewan-dewan yang ditetapkan mulai hari ini hingga 4 September depan.
Pada tahun ini, tuan rumah penganjuran muktamar adalah Kedah yang juga salah satu daripada tiga negeri diketuai Pas selain Kelantan dan Terengganu. Pas Kedah sudah membuat persiapan rapi untuk menerima kehadiran ribuan ahli muktamar dan penyokong parti.
Di sebalik susunan jadual muktamar dewan-dewan iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, Pas memberi ruang kepada As-Sabiqun Pas atau ahli veteran mereka serta Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) untuk mengadakan sidang dan konvensyen sendiri kali ini.
Malah, muktamar pada tahun ini juga menyaksikan Pas akan mengadakan ijtimak atau perhimpunan Jentera Pilihanraya Pas Pusat yang memberi tanda signifikan parti itu bersedia untuk memasuki medan pertempuran PRU15 sebaik Parlimen dibubarkan kelak.
AMBANG PRU15
Pengerusi Muktamar Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung parti itu sendiri mengakui muktamar tersebut dianggap sebagai ambang PRU15 kerana Muktamar Tahunan Pas Ke-69 pada tahun depan tidak mungkin dapat diadakan sebelum Parlimen dibubarkan.
Beliau berkata, muktamar kali ini akan menampilkan pengarahan daripada parti terhadap ahli-ahli dan jentera pilihan raya Pas melalui ucapan dasar oleh Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Dewan-dewan melalui ketua masing-masing juga akan memberi arahan untuk pilihan raya sebelum kita mengalu-alukan pendapat mereka di peringkat akar umbi yang diwakili oleh perwakilan bagi mendengar pandangan dua hala.
“Ini penting kerana sudah tentu muktamar kali ini adalah yang terakhir sebelum menuju kepada PRU15,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut, baru-baru ini.
Kata Takiyuddin, sama ada dekat atau jauh sesuatu PRU, Pas tidak takut untuk mengadakan muktamar tahunan mereka termasuk tahun lalu walaupun dikatakan PRU15 akan diadakan, namun masih menjalankan sesi pemilihan.
“Tiada masalah, kita tak takut pemilihan sebab dalam Pas selalu dikatakan memang ada perebutan iaitu perebutan untuk tak mahu pegang jawatan, masing-masing berebut tak mahu.
“Orang lain berebut mahu jawatan tetapi dalam Pas ini budaya yang ada, semua tak mahu merebut jawatan dan kita tolak bagi orang yang lebih layak jika ada pertandingan,” tegasnya.
MUAFAKAT NASIONAL
Isu tentang Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO dijangka antara yang tidak terlepas untuk disentuh para perwakilan pada muktamar kali ini. Sehingga ke hari ini, Pas masih konsisten mahu mempertahankan MN walaupun sudah terang lagi bersuluh, UMNO tidak mahu bekerjasama dengan mereka pada PRU15.
Tiada usul ke arah menghentikan kerjasama dengan UMNO untuk dibahaskan ahli muktamar sampai ke tangan jawatankuasa perhimpunan itu setakat 10 hari lalu.
Memang dibangkitkan isu berkaitan MN, tetapi ia tidak lebih daripada untuk menekankan perkara berkaitan penyatuan ummah dan tidak ada usul yang bercanggah dengan pendirian parti itu.
Malah, apa yang ditegaskan dengan jelas, penyatuan ummah bukan hanya terhad antara Pas dan UMNO sahaja tetapi parti lain yang ada peranan sama.
Seperti mana kelaziman pada muktamar-muktamar sebelum ini, Pas terus bersikap terbuka untuk menghulur tangan menjemput parti-parti dari dalam dan luar negara menghadirinya.
Komponen dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta parti rakan dari Sabah antara yang menjadi keutamaan.
Di samping itu, Pas turut mengundang pimpinan tertinggi UMNO kerana mereka menegaskan tidak pernah memutuskan hubungan walau apa pun yang dikatakan di sana sini.
Pas juga mengharapkan kehadiran Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk ke muktamar tersebut selain parti-parti politik peringkat antarabangsa terutama yang melibatkan gerakan Islam. – UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kedah.











