BEBERAPA hari ini kita membaca beberapa komentar dan kritikan mengenai peranan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara, khususnya apa yang mereka telah putuskan berkaitan kes Datuk Seri Najib Tun Razak. Ditimbulkan isu kedua-dua mereka seharusnya dilucutkan daripada jawatan kerana dikatakan tidak menjalankan tugas dengan tulus dan adil.
Kita perlu tahu bahawa perlantikan dan perlucutan jawatan Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara adalah perkara besar yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 122B (1) memperuntukkan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-hakim Besar Mahkamah Tinggi dan hakim-hakim lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas Perdana Menteri berunding dengan Majlis Raja-raja. Ketua Hakim Negara lazimnya dipilih dalam kalangan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan.
Tiada peruntukan khas untuk lantikan Ketua Hakim Negara dan Perkara 122B (1) adalah punca kuasa untuk lantikan tersebut. Pada dasarnya pemilihan dan lantikan Ketua Hakim Negara mengikut prosedur yang sama, iaitu lantikan oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri dan setelah Perdana Menteri berunding dengan Majlis Raja-raja.
Adakah YDPA terikat dengan nasihat Perdana Menteri? Peruntukan yang jelas dalam Perkara 122B(1) menjadikan ia akademik sahaja. Mahkamah Rayuan dalam kes In the matter of oral application by Datuk Seri Anwar Ibrahim (2000) memutuskan bahawa YDPA mesti bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dalam lantikan hakim-hakim mahkamah tertinggi.
Seterusnya, adakah Perdana Menteri terikat dengan pandangan Majlis Raja-raja? Perkataan “berunding” dalam Perkara 122B (1) secara literal menunjukkan ia tidak mempunyai kesan mandatori. Walaupun pandangan Majlis Raja-raja nampaknya tidak mengikat Perdana Menteri, “perundingan” itu perlu dilakukan. Ada pendapat mengatakan realiti politik dan setakat mana pengaruh seorang Perdana Menteri terhadap Majlis tersebut.
Bekas Ketua Hakim Negara, Almarhum Sultan Azlan Shah pernah menyebut bahawa sukar untuk memahami kenapa seorang Perdana Menteri tidak mengambil kira pandangan Majlis Raja-raja dalam pelantikan hakim-hakim sedangkan ia mempunyai pengalaman luas, bebas dan tidak mempunyai kepentingan peribadi.
Seorang hakim mahkamah tertinggi bersara pada umur 66 tahun dan boleh disambung selama enam bulan lagi. Hakim Mahkamah Persekutuan boleh meletakkan jawatan dengan menyerahkan notis perletakan jawatan kepada YDPA.
Urusan pemecatan hakim-hakim mahkamah tertinggi pula diperuntukkan di bawah Perkara 125 (3), (3B) dan (4) atas alasan-alasan yang dinyatakan. Alasan-alasan tersebut ialah melanggar kod etika kehakiman, tidak berdaya, oleh sebab kelemahan tubuh atau akal “atau apa-apa sebab lain, untuk menunaikan fungsi jawatannya dengan sepatutnya” – Perkara 125 (3).
Prosesnya termasuk YDPA melantik suatu tribunal yang akan membuat representasi kepada Seri Paduka dengan mengesyorkan YDPA memecat seorang hakim daripada jawatannya.
Tidak dinyatakan sama ada Seri Paduka melantik anggota tribunal atas nasihat Perdana Menteri. Pada pandangan saya, Perdana Menteri serta Ketua Hakim Negara akan mencadangkan anggota-anggota yang sesuai untuk tribunal tersebut. Lagipun Perkara 122 (4) menyatakan mengenai kelayakan mereka yang boleh dilantik sebagai anggota tribunal. Jika Ketua Hakim Negara yang akan dipecat, pengerusi kepada tribunal sebolehnya bukan seseorang yang bakal menggantikan Ketua Hakim Negara tersebut kerana akan timbul tuduhan prejudis dan berat sebelah serta konflik kepentingan dalam representasi tribunal kepada YDPA.
Selain pemecatan hakim dan dalam konteks melucutkan jawatan penyandang Ketua Hakim Negara, Kod Etika yang dibangunkan di bawah Perkara 122 (3B) mengandungi peruntukan mengenai tatacara yang wajib diikuti serta hukuman atau sanksi yang boleh dikenakan terhadap hakim mahkamah tertinggi.
Sebuah badan selain daripada tribunal pemecatan hakim boleh ditubuhkan untuk tujuan ini. Undang-undang yang relevan ialah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2009 yang digubal untuk membangun dan melaksanakan Kod Etika Hakim 2009. Cuma, kalau Ketua Hakim Negara yang akan dibicarakan, Hakim yang mungkin dilantik sebagai pengganti beliau tidak seharusnya mempengerusikan badan khas ini. Keperluan membuktikan hakim-hakim mahkamah tertinggi telah melakukan salah laku bertentangan dengan Kod Etika Hakim adalah tunjang keadilan badan khas ini.
Hanya satu sahaja peruntukan mengenai Peguam Negara, iaitu Perkara 145. Beliau dilantik oleh YDPA atas nasihat Perdana Menteri. Seorang Peguam Negara mempunyai kelayakan yang sama sebagai seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Maknanya, Peguam Negara seharusnya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang undang-undang, sama ada di sektor kerajaan atau sektor swasta. Kemungkinan seorang ahli politik yang mempunyai pengalaman yang serupa layak untuk dilantik sebagai Peguam Negara.
Sebelum pindaan kepada Perkara 145 dahulu, Peguam Negara hanya boleh dipecat dengan prosedur yang sama dengan pemecatan seorang hakim mahkamah tertinggi. Sekarang beliau boleh dipecat bila-bila masa selagi diperkenankan oleh YDPA. Ini berlaku kepada tiga orang Peguam Negara sebelum ini.
Berbanding seorang hakim, Peguam Negara tidak mempunyai perlindungan terhadap jawatannya sedangkan beliau mempunyai kuasa amat besar sebagai penasihat undang-undang kerajaan. Kuasa pendakwaan beliau juga amat luas termasuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding selain prosiding mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
Oleh kerana kuasa besar kerajaan semasa dalam perlantikan dan pemecatan Peguam Negara, amat mengecewakan kalau desakan pemecatan beliau dibuat bukan atas alasan salah laku, salah guna kuasa atau tidak kompeten.
Tegasnya, menukar Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia tidak semudah menukar ketua kampung atau pengerusi masjid dan surau, tetapi tertakluk kepada peruntukan perlembagaan.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood ialah pakar perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ketua Kluster Governans, Perundangan & Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN).











