Gatal kaki rendam dalam Tasik Chini

‘Gatal kaki’ rendam dalam Tasik Chini

SEORANG penduduk kampung Orang Asli mendayung sampan di Tasik Chini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

TINJAUAN ke Tasik Chini dan beberapa perkampungan Orang Asli di sekitarnya, baru-baru ini mendapati suasana cukup suram. Tidak kelihatan pokok teratai yang suatu waktu dahulu memenuhi tasik. Cuma hutan mengkuang yang tinggal menyambut kehadiran kami, menjalar-jalar akarnya ke dalam air tasik yang keruh seraya mewujudkan suasana seram dan sepi.

Tasik yang dahulunya mahsyur sebagai Rizab Biosfera Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di Malaysia sejak 2009, kini tidak lagi memenuhi kriteria ditetapkan badan itu untuk menjadi sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Bagi mendalami kesan pencemaran tasik legenda tersebut terhadap penduduk Orang Asli di sekitarnya, wartawan Utusan Malaysia, FAHMI FAIZ dan jurugambar MUHAMAD IQBAL ROSLI, mudik menaiki bot dari Kampung Belimbing di seberang Sungai Pahang merentasi Sungai Chini ke Kampung Orang Asli Gumum. Ikuti temu bual bersama tok batin kampung itu, AWANG ALOK.

UTUSAN:Apa perasaan tok batin mengenangkan nasib yang menimpa Tasik Chini dan Kampung Gumum sekarang?
AWANG: Ikan di Tasik Chini dah kurang, malah ada yang pupus. Macam dulu, banyak ikan belida, sekarang seekor pun dah tiada. Ikan kelisa, dulu orang dari Johor datang mencari anak ikan kelisa Tasik Chini, sekarang seekor pun dah tiada. Mungkin sudah pupus gamaknya.

Dulu, Kampung Gumum ini ada sebatang sungai kecil di kawasan kuala, ia mengalir menjadi tasik. Di situ, ada pokok jambu air. Ikan jelawat cukup suka makan buah jambu air yang jatuh ke dalam tasik. Waktu itu, bila tengah hari begini kita pergi panjat pokok itu, kita tengok ke dalam air sungai, airnya menjadi merah sebab penuh dengan ikan jelawat. Sekarang mana orang yang menangkap ikan, seekor pun ikan jelawat dah tiada. Ikan belida, jelawat, kelisa, tiga jenis ikan itu mungkin sudah pupus. Perkara ini terjadi sejak perlombongan beria-ia.

Tahun bilakah yang dimaksudkan?
Mulai 2000 lagi, sejak itu lagi lombong ini sudah ada.

Apa tindakan tok batin sejak aktiviti pembalakan dan perlombongan mula berleluasa sekitar Tasik Chini?
Sekarang aktiviti perlombongan sudah ditutup. Baru-baru ini, ada pemberita datang jumpa saya, saya kata bila sudah tutup lombong-lombong itu, tutup sajalah, jangan dibuka lagi. Begitu juga dengan pembalakan. Bila sudah tiada kayu balak, kira tiada lagilah. Jangan membalak lagi.

Di sini ada kawasan UNESCO. Tak tahu dari mana sempadannya, sampai ke tempat melombong dan membalak semua jadi kawasan UNESCO. Saya kata, kawasan UNESCO pun kalau boleh, tutuplah juga. Ada UNESCO pun tak guna.

Kenapa?
UNESCO itu sudah ada, tapi perlombongan beria-ia. Kenapa pula pelombong beria-ia sangat? Kawasan biosferalah, entahlah saya pun tak reti nak menyebutnya.

AKAR KAYU PERUBATAN PUPUS?

Apa kesan pembalakan terhadap komuniti Orang Asli Kampung Gumum?
Kalau kamu balik nanti, tengok ke bukit sebelah kanan. Dulu itu hutan, tempat kami mencari akar-akar kayu. Dulu, walaupun bersalin di hospital, tapi Orang Asli masih menggunakan akar kayu meroyan untuk orang lepas bersalin serta akar pucuk sekemit. Guna lagi itu, kalau Orang Asli-lah. Sekarang, ke mana kami nak cari akar-akar itu? Semua sudah tiada lagi akibat pembalakan. Habis dengan pangkal-pangkal pokok dilombong dan digali sampai tiada baka lagi. Kami terpaksa merayap cari di hutan sebelah lain, betapa jauhnya.

Mereka tarah hutan untuk membalak atau cari bijih timah?
Pertama, balak. Bila dah habis kayu balak, mereka nampak bijih timah, dikoreknya bijih pula.

Sewaktu pembalak memulakan aktiviti, adakah mereka berunding dahulu dengan penduduk Orang Asli di sini?
Mana ada. Dulu ada budak-budak suruhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka pergi ambil gambar aktiviti pembalakan. Usah kata mahu masuk (kawasan pembalakan itu), nampak muka (pembalak) saja. Mereka (pembalak) kata jangan masuk, mereka tak bagi masuk. Mereka kata kalau masuk, bahaya dalam kawasan itu. Bahaya apa benda? Cuma mesin-mesin mengorek tanah saja. Jadi, budak-budak tak berani masuk nak ambil gambar. Malah ada taukeh balak itu yang tak pandai cakap Melayu, entah apa benda dimarahnya budak-budak itu.

Pernah anak saya campur tangan, kononnya mahu pergi ambil gambar kalau boleh masuk kawasan pembalakan itu, tapi mereka tak bagi masuk.

Apabila tidak dibenarkan masuk ke kawasan pembalakan dan perlombongan, apa tindakan selanjutnya? Ada buat laporan polis?
Baliklah. Tiada benda kita nak buat, kita pun tak tahu mengadu ke mana. Memang tak mengadu langsung. Cuma ada beberapa kali, mereka (pembalak dan pelombong) masuk kawasan Melai, di situ ada orang saya. Jadi, mereka masuk tanpa kebenaran tuan punya kebun, tiba-tiba mereka pergi korek begitu saja sampai habis pokok getah orang, habis pokok rambutan.

Kemudian apa terjadi?
Marahlah orang itu, jadi dia jumpa saya. Saya pun tak boleh buat apa-apa, saya pergi ke balai polis. Itu sajalah. Bila buat laporan, polis masuk kawasan itu. Dia tanya kenapa kamu korek tanah di sini? Tapi hanya setakat itu. Memang mereka tak buatlah (membalak dan melombong) apabila polis masuk. Ini berlaku pada 2018.

GATAL KAKI RENDAM DALAM TASIK CHINI

Apa kesan perlombongan terhadap penduduk Orang Asli di Kampung Gumum ini?
Dulu dalam 1960-an, kami hidup dengan air tasik ini. Minum, mandi dengan air tasik inilah. Tapi sekarang, air itu dah tak boleh nak guna.

Kenapa?
Ada sesetengah Orang Asli yang saya dapat tahu ada dua orang, apabila dicelup kaki ke dalam air tasik, gatal sampai tak boleh tidur, kata mereka. Macam mana kita nak minum?

Sedangkan celup kaki pun dah gatal? Kalau kita minum, entah gatal di mana pula, mungkin gatal dalam perut (tertawa). Jadi, nasiblah kami dapat bekalan air bersih daripada kerajaan. Dulu itulah air yang kami guna.

Kenapa ikan di Tasik Chini banyak yang pupus?
Saya rasa ikan yang pupus itu mungkin bersabit kerana air tak sesuai dengan habitat. Pertama sekali, makanan untuk ikan-ikan itu dah tiada. Di satu kawasan berdekatan bukit yang botak dilombong sekitar sini, peristiwa ini pada 2001 saya rasa. Ada pernah saya bawa NGO bersama. Apabila hujan lebat sewaktu banjir, air itu turun ke dalam tasik, berlumpur dan bertanah masuk ke dalam tasik.

GETAH POKOK BUNUH IKAN

Apabila tasik sudah rosak sebegini, apa yang perlu dibuat?
Katanya, mungkin Jabatan Perhutanan diarahkan untuk tanam semula pokok. Nak tanam semula pokok, nak jadikan pokok itu macam asal, berapa tahun gamaknya? Yalah, boleh juga tanam, tapi nak pulih jadi hutan semula, tak tahu jadi atau tak jadi?

Apa pesanan tok batin?
Harapan saya agar pembalakan, perlombongan apabila sudah ditutup, janganlah diulang lagi, usahlah dilombong lagi. Bila sudah ditutup di kawasan sekitar Tasik Chini, tak boleh membalak lagi, cukuplah setakat itu. Sebabnya kayu-kayu hutan yang dibalak ini mereka tak peduli, pokok rengas, pokok bisa-bisa, semua ditebang.

Ikan kecil pun habis mati. Jadi, cukup-cukuplah, bila sudah tutup lombong itu, tutuplah terus. Jangan diulang-ulang lagi. Itulah harapan saya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×