Gelombang fitnah badai PRU15

Gelombang fitnah badai PRU15

pru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAK terkejut saya terima satu klip video pendek memaparkan orang kanan sebuah parti pembangkang sedang melaga-lagakan Perdana Menteri yang dirujuknya Putrajaya dengan kepemimpinan Barisan Nasional.

‘Kambing hitamnya’ yang dijadikan mangsa si polan itu kali ini adalah media-media arus perdana.

Tak terkejut saya sebabnya kerana tempoh hari menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) habis dok dijajanya si polan tadi akan isu ‘cincin.’ Digembar-gemburkan lantas timbulkan kebencian rakyat. Setelah diheret ke mahkamah, dia bersuara mengatakan itu hanya selorohnya. Ada lagi insiden lain yang ‘dionarnya’ sebelum ini, tetapi itulah fiilnya yang beberapa kali juga berurusan dengan mahkamah. Cuma persoalannya, memang perlu lagi kelibat orang begini dalam sebuah parti politik yang mahu berubah.

Saya tidak mahu huraikan kandungan video berkenaan memandangkan si polan terbabit dalam cubaan mengheret media ke dalam mainan politiknya. Kebebasan akhbar tidak pula dipedulikan.

GOEBBELS

Bercakap pasal perang saraf, kita pasti teringat dengan jurupropaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels. Dia pernah mengungkapkan, “Inform, inform and when they are interested, misinform.”

Goebbels merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.

Malah, ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian antisemitisme yang begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.

Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman. Kejayaannya walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, ‘harus diterima’ kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds (hati dan pemikiran) rakyat Jerman – sekalipun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi. Kisah Goebbels patut menjadi teladan di kemudian hari.

Apa yang pasti, dalam beberapa bulan ini, mungkin berlanjutan ke setahun ini, berbakul-bakul fitnah akan bermaharajalela. Putarannya macam roller-coaster. Yang dituju serta akibatnya, pembunuhan karakter.

Ya, di mana-mana negara pun selagi namanya berebut kuasa dan jawatan, selagi itulah fitnah menjadi cabaran dan rintangannya.

Suatu ketika pada 2013, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono atau SBY mengakui sering menerima kritikan, bahkan difitnah. Sebagai presiden, SBY menilai hal itu suatu yang lumrah.

“Karena saya pemimpin, ya sudah menjadi takdir saya, nasib saya. Ada falsafah (mengatakan) tidak ada yang menyepak anjing mati. Jadi, kalau saya diserang, bererti saya masih hidup. Ada yang mengatakan kalau anda tidak mau diserang dikritik, dikecam, please say nothing, do nothing, be nothing. Sekali lagi yang penting jangan fitnah,” ujar SBY.

Sambung SBY lagi, “Jangan jadi lautan fitnah, namun lautan kebenaran. Saya menetapkan kebijakan tanggapan beragam, ada menolak, ada menerima itulah demokrasi tapi ada barangnya, ucapan saya ditanggapi diserang ngga apa-apa yang tidak tepat, saya tidak melakukan apa-apa tidak mengatakan apa-apa…(namun) saya diserang berhari-hari, berminggu-minggu.

“Janganlah kita berikan toleransi kalau itu berupa fitnah, karena fitnah lebih kejam daripada pembunuhan,” kata SBY.

KEBINASAAN

Menyebar berita palsu dan putarbelitkan fakta adalah untuk tujuan tidak sah, jahat dan politik kotor. Atau dengan matlamat kepentingan diri dan kumpulan sendiri boleh digolongkan sebagai ‘salah maklum.’ Dalam bahasa Inggerisnya, misinformation.

Penerangan palsu atau jenis informasi yang tidak tepat ini memberi makna atau impak sama dengan informasi atau penerangan yang benar-benar menerangkan, mendidik atau menambah nilai hidup manusia. ‘Salah maklum’ ini ketara dalam realiti politik tanah air ketika ini.

Dalam meniti PRU15, semua pihak yang tentunya rakyat perlu berwaspada terhadap si putar alam dan putar belit.

Kisah Goebbels bukan untuk ditiru cara dan gayanya. Sebabnya, cukup bahaya. Apabila Hitler mati membunuh diri selepas meninggalkan wasiat politik mutakhirnya pada 1945, Goebbels membunuh diri di samping membunuh keenam-enam orang anak serta isterinya.

Sebelum mati, dia melaungkan, “Kami akan dicatat sejarah sebagai negarawan terhebat buat selama-lamanya atau sebaliknya sebagai penjenayah yang terhebat.”

Putar belit dan main wayang taktik biasa untuk meraih sokongan dalam politik. Tapi amat malang sekali, putar belit itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang. Damage has been done.

Dan tidak mengejutkan tindak tanduk orang kanan parti politik tadi untuk spin sesuatu isu kerana gelanggang PRU15 inilah penentu hidup mati mana-mana parti politik tanah air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×