MUKADIMAH
MUKTAMAR Pas pada minggu depan berkemungkinan yang terakhir sebelum memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
‘Cakap-cakap politik’ berkaitan Pas timbul sehingga menjadi tanda tanya bukan sahaja dalam kalangan ahlinya, tetapi kepada pemerhati politik tempatan berkenaan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) yang kini bagaikan retak menanti belah.
Malah dengan paluan gendang PRU-15 yang semakin kuat, Pas sudah semestinya merangka pelbagai taktik demi memastikan matlamat utama parti dapat dicapai.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB serta jurugambar IZLIZAN OTHMAN menemu bual Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN bagi mendapatkan pandangan beliau.
PERSEDIAAN PRU-15
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana persediaan parti ini dan barisan kepimpinan untuk menghadapi PRU-15 nanti?
HASHIM: Saya rasa kepemimpinan sekarang sudah dapat jalankan tugas dengan baik walaupun tidaklah sampai ke tahap 100 peratus. Tapi yang paling penting sebenarnya pembawaan dan hala tuju parti yang jelas.
Selain itu kalau kita buat satu- satu dasar, kenapa ia dirangka dan perlu kita ikut. Kita mahu ahli-ahli jelas dan tidak teraba-raba dengan dasar yang dilaksanakan. Contohnya, cukup banyak. Apabila kita adakan permuafakatan dengan UMNO menerusi MN, ahli faham sebabnya dan tiada bantahan.
Apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) muncul dan ajak bersama, Pas terima. Sebab apa kita terima sedangkan kita sudah berjanji dengan UMNO? Sebab tak cukup untuk dapatkan kerusi dua pertiga bagi mengubah Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan Melayu dan Islam sekiranya bersama dengan UMNO sahaja. Jadi bukankah sudah jelas hala tuju?
Cuma dalam perjanjian itu tercatat kita sudah bincang dengan UMNO. Segala perjanjian ini diakhiri dengan kalau berlaku sebarang perselisihan hendaklah dirujuk kepada al-Quran dan Sunnah.
Namun tiba-tiba UMNO pula tidak senang kita hendak berkawan dengan Bersatu. Sepatutnya berbincang dan rujuk juga daripada sudut agama. Ini tidak, tiba-tiba sahaja buat keputusan ‘nak lipat dan letak bawah meja’.
Itu pun kita tetap teruskan walaupun depa tidak mahu. Perpaduan ummah ini tetap jadi agenda utama Pas. Hendak atau tidak kita teruskan. Pasal apa? Bukan kerana kita dapat apa-apa, tetapi kerana diperintah dalam al-Quran.
Jadi kenapa UMNO tidak mahu? Walaupun kekeruhan berlaku, pintu rundingan tidak tutup.
UMNO ASYIK BIDAS PAS
UMNO banyak membidas dan menyelar Pas walaupun adanya kerjasama antara dua parti. Mengapa tidak Pas lupakan MN dan fokus sahaja pada Perikatan Nasional (PN)?
Macam saya katakan tadi. Tidak cukup untuk kita dapatkan dua pertiga sekiranya hanya dengan Bersatu. Mengapa UMNO tidak boleh terima untuk kita bersama sedangkan Bersatu sedia?
Lepas itu parti dari Sarawak yang bukan Islam pun bersetuju dengan dasar kita dan Pas terima walaupun mereka bukan Islam.
DAP dulu kita kawan kerana terima dasar kita. Tapi tengah jalan nampak mereka nampak berkeras. Jadi Pas terpaksa berpisah.
Kita kawan dengan orang yang boleh terima kita atau lahir daripada sejarah Nabi Muhammad SAW.
Pas juga terima orang bukan Islam kalau mereka boleh bersama-sama dengan kerajaan Islam serta tidak menentang dasar kita.
Tak Islam tidak mengapa. Yang penting tahu dan faham hala tuju yang Pas bawa. Saya teringat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ada bawa satu slogan menarik. Katanya, kalau hendak berkawan mari, siapa nak lawan tunggu. Walaupun dikatakan kasar itulah yang Islam akui. Sentiasa membuka pintu perdamaian.
Pas kekal dengan keputusan tidak bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Gerakan Tanah Air (GTA) biarpun atas dasar untuk penyatuan ummah?
Amanah sampai sekarang menolak dasar Pas. Itu yang kita faham. Kalau mereka mahu kembali bersama kita pun mereka perlu fikir dua tiga kali. Pas pun sama perlu teliti adakah mereka betul-betul ikhlas untuk bersama. Jadi, Amanah kena buktikanlah.
Tapi kalau macam sekarang gelar pemimpin ‘Pas Lebai’, itu maknanya menghina. Nampak macam kita ini bodoh dalam politik.
Waktu Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat angkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan, ada orang kata beliau hanya mampu bertahan sampai tiga bulan sebab hanya pandai buka kitab. Tapi lihatlah apa yang terjadi? Lebih 20 tahun memegang jawatan tersebut.
Lagipun penentuan siapa kita nak kawan ini dibuat pucuk pimpinan parti dan bukan kehendak individu. Selain itu, kita perlu juga mengambil pertimbangan hala tuju sesebuah parti sama ada selari atau tidak dengan agama Islam. Contohnya, sewaktu kita berkawan dengan DAP dulu.
Muktamar kali ini akan menjadi muktamar terakhir sebelum memasuki gelanggang PRU-15. Apakah perkara-perkara yang akan diberi fokus pucuk pimpinan ?
Saya jangka isu yang paling panas dibincangkan adalah kerjasama MN dan PN. Kalau kita berusaha untuk kukuhkan kerjasama MN dan PN, tapi takdirnya UMNO tidak mahu, apa pendirian kita selepas itu? Ini yang mungkin akan dibincangkan nanti dalam muktamar.
Kalau mereka (UMNO) tidak mahu kerjasama, kita tetap dengan dasar kerjasama sebab Allah SWT yang perintah. Bukan sebab Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pas tidak akan sesekali memutuskan hubungan dengan UMNO. Sama ada diterima atau tidak, kita tak tutup pintu. Marilah (berdamai). Orang UMNO pun nampak.
Kita perlu berpolitik untuk Islam, bukannya guna Islam untuk politik. Sebab itu, Pas tidak heboh pasal jawatan Timbalan Perdana Menteri.
ANTI PENYATUAN UMMAH
Mengapa masih terdapat suara sumbang dalam Pas seolah-olah dilihat anti kepada soal penyatuan ummah dan MN ?
Itu biasalah. Di belakang Nabi Muhammad SAW ada yang sembahyang bersama tapi dia buat sama seperti itu.
Sewaktu perang Uhud , Nabi Muhammad SAW nak kumpul 1,000 orang, tapi selepas dihasut Abdullah bin Ubai, 300 orang telah berpatah balik.
Tapi Allah gandakan pahala kepada orang yang bersama dengan Rasulullah. Kalau kita ikut apa nabi buat apa yang nabi suruh, Allah SWT bagi ganjaran. Sebab kita faham dosa dan pahala. Ganjarannya diredai Allah SWT.
Mengapa tiada tindakan dikenakan kepada mereka yang menentang dasar pucuk pimpinan parti? Adakah disebabkan kepimpinan Pas yang tidak tegas berbanding sebelum ini ?
Ada juga pemimpin yang tidak selari dengan perjuangan pemimpin Pas sebelum ini termasuk ketika zaman Allahyarham Nik Abdul Aziz. Sekarang pun ada. Cuma kita perlu lihat setakat mana penentangan memudarat jemaah.
Kalau tentangan yang biasa dan pengikut pun tiada, memang kita biarkan sahaja. Contohnya, Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang keluar Pas. Jadi saya tidak bimbang atau anggap ia satu ancaman.
Pada saya tidak perlu ambil tindakan. Macam baru-baru ini kita tidak pecat keahlian Datuk Mohd.Khairuddin Aman Razali. Sebaliknya, beliau yang keluar dan ia tidak memberi kesan apa-apa pada parti.
Sekarang saya dengar beliau mahu pulang kepada parti semula.
Dalam muktamar lalu, agenda Pas mahu jadi pendamai antara UMNO dan Bersatu. Tapi gagal. Jadi adakah Pas masih dengan misi terbabit?
Itu tugas kita. Bukan kita hendak tapi al-Quran yang suruh. Kalau ada dua kumpulan mukmin bergaduh, hendaklah ia diperbaiki. Bila Allah SWT suruh adakah kita hendak tinggalkan?
Perpaduan ummah tidak akan berlaku kalau kita tidak berdamai dan asyik bergaduh. Tugas ini kita teruskan.
JANGKAAN MUKTAMAR
Apakah jangkaan Datuk terhadap ucapan dasar Presiden dalam muktamar nanti yang mungkin dilihat sebagai amanat terakhir sebelum memasuki gelanggang?
Sudah tentu berkait dengan PRU-15 dan perpaduan ummah. Perwakilan juga akan bercakap perkara yang sama untuk Pas mengekalkan MN dan PN. Itu sudah semestinya. Hubungan UMNO dan Pas kali ini akan kekal. Sekiranya ia mahu diputuskan, biarlah UMNO (yang putuskan) .
Pas tidak akan berputus asa dengan UMNO. Yang bawah (akar umbi) pun kita jaga. Kita pergi manapun selalu kita ‘peringat’ jangan boikot orang UMNO.
Cuma kita tidak sesekali campur bab rasuah. Kalau Pas ada terlibat dengan rasuah pun sila ambil tindakan. Saya masih ingat, Allahyarham Nik Abdul Aziz ada cakap, kalau beliau ambil rasuah bagaimana nak berdepan dan jawab dengan Allah SWT nanti.
Adakah perlu diwujudkan ‘kerusi MN’ di 27 kawasan yang berisiko jatuh pada PH?
Saya secara peribadi bersetuju cadangan yang dibuat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki. Dia sudah catatkan kerusi yang kalau Pas bertanding tiga penjuru, PH akan menang. Ada 27 kerusi akan hilang. Jadi kita bersedia untuk fikirkan perkara ini supaya satu lawan satu.
Tapi kalau dah UMNO nak berlawan solo apa boleh buat? Apabila berkata begitu akan ada tindak balas suara sumbang yang bukannya menuju ke arah perpaduan. Walhal kita boleh berunding. Selangor sahaja setakat ini yang mahu berunding dan kita memang bersedia. Jadi apa maknanya? Kita tidak pernah tutup rundingan dan kita terbuka untuk terima walau ia bukan cadangan Pas.
Akan tetapi, saya tidaklah kata Pas perlu bincang kerusi sekarang. Kita perlu fikirkan dasar perpaduan dahulu barulah pakat bincang soal agihan kerusi.
BERTANDING DALAM PRU-15
Adakah Datuk mahu bertanding lagi dalam PRU-15?
Saya tidak akan bertanding disebabkan umur yang kini sudah pun mencecah 83 tahun. Lagipun kesihatan tidak mengizinkan. Waktu PRU-14 dulu pun saya sebenarnya tidak mahu. Saya cakap cukuplah. Sudah tujuh kali bertanding. Saya fikir sudah tidak boleh hendak jalankan tanggungjawab sebagai ahli parlimen dalam umur begini.
Perlukah Pas ‘diremajakan’ dan meletakkan lebih banyak muka baharu dalam PRU-15?
Sekarang pun kita ada muka baharu. Ulama pun kita ada ulama pelapis. Nak kata Pas tidak beri perhatian kepada kaum muda tidak betul. Ada yang Pas latih seawal umur 13 tahun dan dijadikan ahli. Kita beritahu pada mereka jaga akhlak. Sebab saya kata politik itu untuk Islam.
HADI AWANG JADI PM
Siapakah yang layak menjadi Perdana Menteri selepas ini?
Saya pernah sebut di hadapan barisan kepimpinan, tiba masa sekarang Pas bersedia untuk pegang jawatan itu. Ada segelintir pihak tidak boleh fikir macam mana Islam itu mampu mentadbir berdasarkan caranya sendiri.
Jadi pada pandangan peribadi saya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang wajar memegang jawatan tersebut. Walaupun dia nampak uzur, namun beliau mampu.
Kerana kalau orang lain mereka tidak fikir hendak laksana pentadbiran cara Islam. Pas tidak. Ia agenda kita. Saya beri contoh macam Allahyarham Nik Abdul Aziz sewaktu mentadbir Kelantan. Duit dalam bank riba, tukar pada sistem Islam. Tok guru fikir benda ini. Dia lekeh orangnya dan pada masa itu orang fikir beliau tidak mampu berbuat apa-apa.
Panduan illahi yang dipegang olehnya membantu dia mentadbir lama. Itu pun dia tidak mahu jawatan Menteri Besar. Pas lah yang mahu beliau menjadi Menteri Besar. Kalau UMNO cara berbeza. – MINGGUAN MALAYSIA










