PETALING JAYA: Peladang di seluruh negara sedang mencatu semula bekalan ayam ke pasaran bagi meraih kembali ‘harga RM11 sekilogram’ seperti yang berlaku ketika ternakan itu didakwa mengalami masalah tumbesaran pada Mei lalu.
Peningkatan harga ayam mula terasa di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan sejak seminggu lalu apabila bahan mentah tersebut mula dijual sekitar RM8 sekilogram berbanding sebelum ini yang boleh dibeli dengan harga RM7 atau lebih murah hanya RM6 sekilogram.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber dalaman berkata, peladang kini sudah menaikkan sehingga RM1.50 sekilogram ayam dan situasi itu secara perlahan-perlahan akan menyebabkan pengguna perlu membayar harga ayam segar lebih mahal.
Menurut sumber, peladang memberi pelbagai alasan bagi ‘menghalalkan’ tindakan mereka seperti ayam tidak membesar kerana makanan tidak berkualiti.
“Harga ayam sudah mula naik mendadak dari ladang, naik sehingga RM1.50 sekilogram, sebelum ini hanya RM4.40 sekilogram diedarkan kepada kami tetapi kini RM6.10 sekilogram.
“Malah, pihak tersebut merancang dalam beberapa minggu ke depan akan ada kenaikan lagi sebanyak RM1 sekilogram dari ladang.
“Jangkaan kami catuan ini akan diteruskan sehingga hujung tahun, sehingga bekalan ayam benar-benar kurang dan mereka mampu meraih semula harga RM11 sekilogram,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Mei lalu, akhbar ini mendedahkan berlaku gerakan penternak cuba menghentikan operasi ladang untuk menjejaskan rantaian bekalan kerana tidak bersetuju dengan harga siling RM8.90 sekilogram yang ditetapkan kerajaan ketika itu.
Tindakan sabotaj itu menyebabkan pasaran kerugian sehingga RM26 juta sehari dengan pengguna bukan sahaja merungut kerana tiada ayam malah terpaksa membayar sehingga RM11 sekilogram untuk membeli bahan mentah itu.
Ketika itu ayam bukan sahaja mahal tetapi saiznya pula kecil.
Kerajaan yang memerangi komplot tersebut mengambil langkah drastik dengan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan ke Singapura bermula 1 Jun lalu. Status eksport ayam masih berkuat kuasa.
Tindakan kerajaan berjaya memulihkan bekalan malah berlaku lambakan bekalan sehingga ada ayam yang dijual RM6 sekilogram berbanding harga siling RM9.40 sekilogram diperkenalkan pada 1 Julai sehingga kini.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, sejak Rabu lalu harga ayam segar mula naik antara 30 sen hingga 50 sen sekilogram.
Seorang peniaga, Ruslee Bidi, 62, dari Pasar Borong Kuala Terengganu berkata, harga ayam yang dijual sekarang RM9 sekilogram berbanding sebelum Rabu lalu, cuma RM8.50 hingga RM8.80 sekilogram.
Menurutnya, beliau difahamkan harga ayam meningkat pada minggu ini kerana bekalan ayam berkurangan disebabkan terdapat penternak bertindak mencatu pengeluaran.
“Harga ayam juga dijangka melambung lebih tinggi pada musim cuti sekolah minggu hadapan,” kata Ruslee.
Di Seremban, dakwaan berlakunya peningkatan harga ayam di peringkat ladang diakui oleh seorang peniaga di sebuah pasar awam di bandar ini.
Peniaga yang enggan dikenali berkata, dia yang mendapat bekalan ayam dari sebuah syarikat penternak ayam utama di negara ini turut mendakwa, harga yang diterima dari pembekal kini mencecah RM6.30 sekilogram.
“Sebelum ini RM4.80 sekilogram tetapi minggu ini sudah naik banyak RM1.50 dan kenaikan itu dijangka meningkat lagi sebanyak 30 sen dalam masa terdekat ini,” katanya yang menyedari kenaikan itu disebabkan pemain industri yang mula mengurangkan pengeluaran ternakan mereka.
Di Kota Bharu, tinjauan di Pasar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong turut mendapati harga ayam segar naik sejak seminggu lalu apabila dijual dengan RM8.60 sekilogram.
Peniaga ayam, Nurul Anezah Ab. Rahman, 43, berkata, berlaku sedikit kenaikan harga bahan mentah itu yang sebelum ini dijual pada harga RM7 tetapi kini RM7.80 sekilogram.
“Mengikut maklumat daripada pembekal ayam masih lagi ada cuma saiz yang diberikan kepada kami agar besar berbanding sebelumnya.
“Alhamdulillah ayam segar masih lagi mendapat permintaan tinggi walaupun berlaku sedikit kenaikan. Apa yang pasti harganya masih stabil dan tidak naik terlalu tinggi,” katanya.
Mengenai isu catuan ayam, Nurul Anezah memberitahu, setakat ini dia tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut. – UTUSAN










