PADA Khamis lalu, Dewan Negara meluluskan Belanjawan 2021 selepas bacaan kali ketiga tanpa sebarang ‘drama’ politik. Jauh berbeza dengan hiruk-pikuk di Dewan Rakyat. Suatu justifikasi serta bukti kematangan ahli-ahli Senator dalam menolak ideologi kepartian sempit dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.
Meskipun barangkali tiadanya ‘drama’ tersebut mengundang rasa kurang senang orkestra politik tertentu, tetapi sebenarnya itulah peranan Parlimen yang bersifat bicameral legislature. Dewan Negara menjadi pengimbang matang kepada keputusan Dewan Rakyat, menurunkan suhu politik kepartian dan membahaskan secara lebih neutral berpaksikan budi baik.
Namun, sesuai dengan perjalanan masa, Parlimen amnya dan Dewan Negara khususnya, pasti ada ruang tertentu untuk direformasikan bagi mengangkat darjat dan kewibawaan serta memastikan ia benar-benar berfungsi sebagai badan legislatif tertinggi perundangan negara, sekali gus menepis pandangan negatif sesetengah pihak.
Dewan Negara sebenarnya mempunyai potensi amat besar untuk berada segagasan dengan House of Lords di England kerana ahli-ahli Senator sebenarnya mempunyai kewibawaan, pengaruh, keberanian serta nilai intektual yang tinggi dalam menyatakan pandangan masing-masing terutama berhubung kait dengan soal kesejahteraan rakyat. Tetapi untuk berada pada pengaruh seperti House of Lords, semua persepsi liar, tersasar serta negatif ke atas Dewan ini perlu dikikis dan dibersihkan.
Jika tidak dibersihkan segera, pandangan negatif sebegitu akan memberi kesan kepada legitimasi Dewan Negara. Persepsi sama berlaku di Kanada dan negara tersebut di bawah Perdana Menteri, Justin Turdeau tampil dengan pendekatan mewujudkan sebuah lembaga penasihat bebas (Senate Independent Advisory Bords For Senate Appointment).
Padahal, dalam sejarah Parlimen, Dewan Negara dua kali bertindak menolak rang undang-undang (RUU) yang diluluskan di Dewan Rakyat, iaitu RUU Racun Makhluk Perosak 2004 serta RUU Anti Berita Tidak Benar 2018 setelah ahli-ahli Senator berpandangan, akta tersebut perlu ditambah baik (RUU Racun Makhluk Perosak) dan tiada keperluan (RUU Anti Berita Tidak Benar).
Pendirian diambil ahli-ahli Senator pada 2004 dan 2018 itu menjadi bukti Dewan Negara bukanlah ‘pak turut.’ Keputusan tersebut memperlihatkan kebijaksanaan para Senator dalam menilai sesuatu perkara yang harus menjadi keutamaan setelah melalui semua sesi perbahasan.
Namun, pastinya sejarah penolakan dua RUU itu sahaja tidak cukup untuk menjadikan Dewan Negara benar-benar berpengaruh. Tentunya masih banyak pengisian yang perlu dilakukan dan ia memerlukan kerjasama serta penglibatan semua ahli Dewan Negara dengan dipandu oleh Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim selaku Yang di-Pertua.
Sedar akan hal ini, pada 15 Disember lalu, Dewan Negara menubuhkan sebuah kaukus bernama Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara yang bertujuan menilai, meneliti, menimbang, mencadang dan mengesyorkan hal-hal berkaitan kesejahteraan rakyat.
Kaukus ini juga melalui Jawatankuasa Pemilih yang telah diberikan kuasa oleh Majlis Dewan Negara, melalui Usul Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih di bawah Peraturan Mesyuarat 70 pada 21 September lalu, berkuasa untuk memanggil mana-mana pihak termasuk menteri, sama sebagaimana kuasa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Pembentukan kaukus ini dilihat mampu menjadi langkah pertama kepada usaha mereformasikan Dewan Negara untuk menjadikan ia sebagai institusi legislatif yang benar-benar berpengaruh.
Paling penting, Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara ini mengangkat suara, keluh-kesah serta apa jua isu membabitkan kesejahteraan rakyat – pertama seumpamanya – ketika jawatan kuasa sedia ada di Parlimen sebelum ini lebih memberikan perhatian kepada isu-isu lain.
Penubuhan kaukus ini secara sendirinya memperkasakan peranan Senator dan Dewan Negara. Jika di Amerika Syarikat, Senator diberikan peranan dalam membuat keputusan penting untuk negara, kaukus ini juga memberi ‘taring’ kepada Senator dan Dewan Negara untuk memastikan semua komitmen kerajaan terhadap aspek kesejahteraan rakyat dilunaskan sebaik mungkin.
Keanggotaannya pula memperlihatkan sepenuhnya kebebasan Dewan Negara dengan melangkaui batasan kepartian dan mengoptimumkan sepenuhnya kepakaran serta profesion setiap Senator berasaskan Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.
Malah dalam isu-isu tertentu, kaukus ini bergerak secara jawatan kuasa bersama Dewan Rakyat sepertimana diperlihatkan dalam isu kesesakan penjara serta penularan Covid-19 yang menyaksikan 7,434 kes kluster tembok menjangkiti 560 kakitangan penjara serta menyebabkan tujuh kematian.
Dalam hal ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri hadir, sekali gus membuktikan komitmen serta sokongan beliau terhadap usaha-usaha memperkasakan peranan legislatif di negara ini. Tentunya sinergi dan ekosistem positif sebegini cukup bermakna dan paling penting, ia memperlihatkan keterbukaan serta komitmen kerajaan dalam menjayakan reformasi yang sedang disusun.
Sesuai dengan namanya yang mengetengahkan soal kesejahteraan rakyat, kaukus jawatankuasa ini akan secara aktif mengadakan sesi perbincangan dan memanggil pihak tertentu untuk memberi penjelasan mengenai kedudukan terkini sesuatu isu.
Pada masa sama, selain penubuhan jawatankuasa ke depan, Dewan Negara mungkin boleh mengambil peranan dalam membahaskan dan menyiasat laporan daripada agensi atau suruhanjaya yang tidak dibahaskan di Dewan Rakyat selain menyemak semula atau meminda Akta 347 (Akta Majlis Parlimen Keistimewaan dan Kuasa 1952) untuk memperluaskan peranan ahli-ahli Senator.
Bagaimanapun, dalam menjayakan sesuatu reformasi ke atas Dewan Negara, aspek budi harus menjadi akar tunjangnya. Tanpa budi, semua pembaharuan yang dibuat akan kelihatan ‘tawar’ kerana tiada gunanya reformasi jika contoh serta tauladannya tidak boleh diikuti rakyat.
Di sinilah letaknya kematangan ahli-ahli Senator kerana sebagai sebuah institusi legistalif tertinggi, Parlimen tidak sepatutnya disajikan dengan perlakuan atau tutur kata yang tidak mencerminkan ketinggian peribadi seorang pemimpin.










