Pengampunan segera bukan pilihan munasabah

Pengampunan segera bukan pilihan munasabah

SITUASI yang mungkin mewajarkan pengampunan adalah seperti pesalah telah menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNDANG-UNDANG Malaysia memberi ruang kepada mereka yang didapati bersalah dan menjalani hukuman jenayah untuk mendapat pengampunan. Sebenarnya pengampunan yang diperuntukkan oleh perlembagaan ini bukanlah hak atau keistimewaan, tetapi peluang bagi mereka yang telah menjalani hukuman setimpal dan berkelayakan untuk menerima pengampunan setelah melalui proses tapisan tertentu.

Latar belakang atau jasa seseorang bukan jaminan berhak mendapat pengampunan. Pengampunan juga tidak diberikan keistimewaan kepada seseorang yang pernah menjadi pemimpin utama negara atau apa-apa keistimewaan lain.

Bahkan mana-mana parti atau gabungan parti yang memenangi pilihan raya serta menubuhkan kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan pengampunan mana-mana tokoh.

Pengampunan istimewa yang diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus Pilihan Raya Umum 2018 bukan keputusan boleh dijadikan sandaran atau rujukan. Pengampunan bukannya kuasa politik mana-mana pihak tetapi kuasa khusus yang tertakluk kepada prinsip perlembagaan.

Menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan dan di bawah mahkamah tentera. Raja-raja atau Yang Dipertua Negeri (YDPN) pula mempunyai kuasa sama bagi kesalahan yang berlaku di negeri masing-masing.

Kuasa pengampunan yang diletakkan kepada institusi istana menggambarkan ia adalah kuasa khusus yang tidak terikat dengan kuasa politik. YDPA dan raja-raja Melayu tidak berpihak dan berada pada kedudukan lebih tinggi daripada pemimpin politik. Kuasa memberikan pengampunan tidak termasuk dalam perkara yang perlu dilaksanakan atas nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar kerana kuasa ini melalui mekanisme khusus ditentukan oleh perlembagaan.

Perkara 42(4) dan (11) Perlembagaan Persekutuan menetapkan raja-raja melaksanakan kuasa ini melalui nasihat Lembaga Pengampunan Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan.

Maksudnya YDPA dan raja-raja serta YDPN perlu bertindak berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan, bukannya nasihat Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Menurut perlembagaan, Lembaga Pengampunan perlu dianggotai oleh Peguam Negara atau wakilnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri atau Menteri Wilayah Persekutuan, dan tidak lebih tiga anggota lain yang dilantik. Mesyuarat lembaga ini perlu dipengerusikan sendiri oleh YDPA, raja-raja atau YDPN. Peranan YDPA dan raja-raja sebagai pengerusi lembaga tentunya berbeza dengan peranan biasa yang dilaksanakan melalui nasihat di bawah Perkara 40.

Dalam melaksanakan amanah kuasa pengampunan ini, raja-raja Melayu yang juga merupakan ketua agama Islam perlu jujur, amanah dan adil dalam membuat ketetapan. Pemerintah dalam Islam memegang amanah Tuhan, bukannya mewakili kuasa Tuhan sebagaimana diamalkan dalam konsep pemerintahan teokratik pada Zaman Pertengahan di Eropah.

MALAYA

Oleh itu dalam Islam, pemerintah secara asasnya tidak mempunyai kuasa pengampunan bagi mana-mana kesalahan jenayah. Keputusan hakim adalah muktamad. Pemerintah tidak berhak campur tangan terhadap keputusan mahkamah.

Konsep pengampunan yang tersurat dalam perlembagaan sebenarnya bukan dari tradisi Islam atau Kesultanan Melayu. Andrew Harding misalnya mengaitkan konsep ini dengan amalan ‘prerogatif belas kasihan diraja’ yang wujud dalam sistem perundangan Inggeris sejak 1617.

Dalam kes Sim Kie Chon lwn. Superintendent of Pudu Prison & Ors (1985) 2 MLJ 385, Hakim Besar Malaya, Tun Abdul Hamid Mohamad menyebut, pengampunan adalah kuasa tinggi prerogatif belas kasihan diraja yang bersifat eksekutif menjadikannya tidak boleh diganggu atau diubah oleh kajian semula kehakiman.

Berdasarkan realiti ini, pengampunan yang diperuntukkan oleh perlembagaan adalah kuasa luar biasa yang hanya wajar digunakan untuk situasi khusus dan mengikut kaedah jelas, telus dan adil. Raja-raja Melayu yang juga ketua agama Islam tentunya amat menyedari kuasa ini tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya kerana ia kelak dipertanggungjawabkan di hadapan Allah. Kuasa mengampuni itu hakikatnya kuasa Allah dan manusia pada asalnya tiada hak untuk mengampuni dosa dan kesalahan manusia lain.

Situasi yang mungkin mewajarkan pengampunan adalah seperti pesalah telah menjalani hukuman setimpal, menginsafi kesalahannya dan berkelakuan sangat baik sepanjang menjalani hukuman. Oleh demikian, pengampunan segera kepada pesalah yang baru dijatuhi hukuman jenayah bukan satu pilihan munasabah.

Bayangkan, betapa sukar, rumit dan panjangnya proses siasatan, pendakwaan dan perbicaraan dilalui melibatkan institusi polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pendakwa raya dan beberapa peringkat mahkamah sehingga membawa kepada hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah. Jika pengampunan segera diberikan, maka kesemua proses yang panjang dan rumit itu menjadi sia-sia dan tidak bermakna. Malah pengampunan segera jika diberikan kepada pesalah, boleh dianggap sebagai tindakan memperkecilkan peranan institusi penguatkuasaan, perundangan dan kehakiman negara.

Ringkasnya, kuasa pengampunan hanya wajar dilaksanakan berteraskan prinsip yang kukuh dan melalui kaedah adil, telus dan berwibawa. Kuasa pengampunan tidak boleh tunduk kepada kuasa politik. Kita tidak mahu lagi tanggapan pesalah dalam kalangan ahli politik berpeluang untuk bebas semata-mata kerana partinya menguasai kerajaan.

Semua pihak perlu menghormati had dan peraturan berkaitan kuasa pengampunan dan tidak mencemari institusi istana dengan desakan bagi memberikan pengampunan kepada mana-mana individu yang telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah. – UTUSAN

DR. Muhammad Fathi Yusof ialah Profesor Madya di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×