“APA pun berlaku, LCS mesti disiapkan.” Itu tajuk Minda Pengarang oleh Pengarang Berita Utusan Malaysia, Nizam Abdul Hamid pada 17 Ogos lalu. Nizam mengulas isu pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berdepan kemelut ketirisan dan kelewatan menyiapkan projek terbabit. Menurutnya, pemilikan aset baharu kapal perang moden itu sesuai dengan cabaran semasa.
Justeru, pembinaannya selari dengan matlamat untuk memperkukuhkan keselamatan perairan dan memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin. Justeru, ulas Nizam, apa pun yang berlaku terhadap projek LCS, pertimbangan utama yang perlu diberi perhatian ialah menyiapkan juga kapal tersebut.
Saya sependapat dengan apa yang disebut itu kerana ia adalah projek strategik berkaitan pertahanan pesisisr pantai negara yang mudah terdedah kepada pencerobohan musuh. Projek di bawah tanggungjawab syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) yang dilantik untuk menyiapkan enam buah LCS juga dilihat mampu untuk memindahkan teknologi daripada negara maju kepada anak-anak tempatan.
Namun, sehingga kini satu kapal pun belum dapat disiapkan walaupun RM6.083 bilion sudah dibelanjakan. TLDM sepatutnya memperoleh LCS pertama pada April 2019 tetapi ia belum tertunai lagi. Perkara ini didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan jawatan kuasa itu memandangnya sebagai sesuatu yang serius.
Saya melihat bahawa projek berkaitan dengan Kementerian Pertahanan ini sudah tentu lahir daripada pemikir dan pembuat dasar keselamatan di kementerian terbabit bagi mempertahan sebarang pencerobohan dan serangan di kawasan pesisir pantai negara. Pastinya pemikir dan pembuat dasar terbabit jelas akan rasional pembinaan LCS. Ia sebagai langkah atau pendekatan pre-emptive untuk cegah rintang sebarang pencerobohan dan serangan daripada musuh.
REALITI
Berdasarkan andaian dan realisme (realiti), negara memang memerlukan kerangka keselamatan terkini bagi mempertahan keutuhan pertahanan dan keselamatan tanah air. Ia bukan sahaja mempertahan perairan negara tetapi juga ruang udara dan darat. Isu-isu berkaitan Laut China Selatan, pertikaian sempadan dan ancaman keselamatan di Laut Sulu serta Selat Melaka sudah pasti menjadi pertimbangan utama yang menggerakkan Kementerian Pertahanan berbuat demikian.
Selain dari Nilai Teras Struktur pertahanan negara, kita juga harus mempertimbang Nilai Teras Berubah berdasarkan kepada andaian, persepsi dan isu semasa keselamatan rantau dan dunia yang penuh persaingan kuasa sehingga boleh membabitkan soal ketenteraan dan perang. Justeru, perlu ada fokus yang sewajarnya kepada nilai teras. Dalam konteks ini, saya melihat Kementerian Pertahanan telah pun menunjukkan kepekaannya terhadap perkara ini dengan melaksanakan projek LCS.
Oleh itu, projek ini mesti diteruskan kerana ia harus dianggap sebagai state-centric keselamatan nasional kita. Justeru, tepatlah keputusan yang dibuat oleh TLDM yang enam kapal dalam proses pembinaan itu amat diperlukan. Sudah tentu semua pihak yang mengharapkan projek LCS ini menjadi kenyataan berasa lega apabila Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu Dewan Negara bahawa projek LCS akan diteruskan walaupun ia kini dilanda kontroversi.
Menurutnya, projek itu mesti diteruskan kerana ia terletak di bawah Program Transformasi TLDM. Berkaitan dengan ketirisan dan penyelewengan yang berlaku itu biarlah pihak berautoriti melakukan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat dalam penyelewengan seperti disebut HIshamuddin bahawa isu-isu berkaitan dengan rasuah, salah guna kuasa dalam projek LCS akan dibawa ke muka pengadilan. Beliau juga bersedia untuk berdepan dengan sistem keadilan jika dirinya dibabitkan dalam kemelut ini.
Sebelum ini, bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor didakwa di mahkamah berhubung projek tersebut. Beliau adalah bekas Pengarah Urusan BNS didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM21.08 juta berkaitan perolehan projek pembinaan LCS.
Yang kita harapkan selepas ini, projek LCS akan diteruskan dengan penuh integriti dan hasil pembinaannya menepati kualiti yang boleh dibanggakan sebagai kapal tempur pesisir terbaik.
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











