LCS: Rakyat tidak perlu gusar, was-was

LCS: Rakyat tidak perlu gusar, was-was

Tentera Laut Diraja Malaysia dijadual menerima lima kapal LCS serentak pada 2029 dan projek itu memerlukan kos tambahan RM2.098 bilion lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMAN­DANGKAN kedudukan Malaysia yang dikelilingi oleh perairan, maka kerajaan perlu memastikan armadanya sentiasa berupaya untuk menangani pelbagai cabaran yang timbul di sekitarnya termasuk ancaman dari luar, penyeludupan bahkan serangan terorisme. Oleh itu, kerajaan merangka dasar-dasar transformasi dalam usaha memperkuatkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai sebuah armada moden serta berkelengkapan dengan teknologi tinggi.

Dalam hubungan ini, kerajaan menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat tempatan, Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) untuk membekalkan enam kapal tempur pesisir (LCS) dengan kos RM9.13 bilion.

Ada pihak mendakwa, kapal perang yang ditempah itu masih belum diserahkan oleh syarikat tersebut meskipun RM6.08 bilion sudah dibayar.

Dengan itu, timbullah pelbagai dakwaan kononnya berlaku penyelewengan dalam pemerolehan tersebut. Malah ada pihak mendakwa kegagalan menerima kapal perang tersebut mengikut jadual jelas mencerminkan tadbir urus kurang cekap oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meluluskan pemerolehannya.

Dalam pada itu, timbul juga kontroversi kenapa kerajaan yang pada asalnya mempertimbangkan kapal perang kelas SIGMA yang direkabentuk oleh sebuah syarikat dari Belanda kepada model Gowind yang dicadangkan oleh BNS yang direkabentuk daripada teknologi Perancis. Menurut Boustead Heavy Industries Corporations Berhad, model kelas Gowind yang dibina oleh BNS merupakan kapal laut canggih dilengkapi dengan keupayaan persenjataan bagi tempur dan pertahanan dalam empat dimensi iaitu peperangan udara, peperangan permukaan, peperangan bawah permukaan dan peperangan elektronik. Kelas Gowind yang dicadangkan oleh BNS bukan sahaja canggih, malah adalah model terbaru dalam teknologi peperangan laut yang dibina oleh BNS dengan bantuan rundingan daripada Naval Group, Perancis.

Persoalannya, apakah be­nar dakwaan kononnya ber­laku penyelewengan dan wu­jud unsur rasuah dalam pemerolehan tersebut? Ke­napakah BNS yang se­ha­rusnya membekalkan LCS gagal berbuat demikian se­perti ternyata dalam dokumen perjanjian perolehan tersebut?

Sehubungan ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang ditubuhkan untuk meneliti akaun kewangan negara telah mengeluarkan laporan yang mengandungi tujuh cadangan mengenai pemerolehan LCS. PAC merupakan sebuah jawatankuasa khas dianggotai ahli-ahli parti memerintah dan pembangkang dan dilantik oleh Parlimen. Menurut laporan PAC, kerajaan memutuskan untuk membeli kapal perang pada 2011 untuk TLDM dalam usaha mentransformasikan armada dari segi kecekapan pertahanan dan pertempuran. Namun, hanya pada 2014, dokumen pemerolehan tersebut ditandatangani.

PAKATAN HARAPAN

Menurut laporan PAC lagi, siasatan dan penelitian terhadap perolehan LCS menunjukkan BNS hanya menyiapkan pembinaan 44 peratus kapal pertama, 35 peratus kapal kedua, 32 peratus kapal ketiga, 27 peratus kapal keempat dan 16 peratus kapal kelima. Kapal keenam pula belum mula dibina. Kerja-kerja pembinaan LCS tergendala sejak 2018 dan proses pembinaan dilaporkan terganggu atas dakwaan kekurangan modal.

Persoalannya, mengapakah proses pembinaan kapal-kapal tersebut oleh BNS terganggu? Apakah pertukaran Kerajaan Persekutuan pada 2018 daripada BN kepada Pakatan Harapan (PH) menyumbang kepada kelambatan projek ini? Apakah BNS mengalami nasib yang sama seperti kilang Perwaja Steel di Gurun, Kedah yang ditutup operasinya pada 2002 akibat masalah kewangan? Kenapakah pemimpin-pemimpin kerajaan PH yang bersetuju malah terlibat dalam acara-acara rasmi pelancaran dermaga pembinaan LCS, kini membuat pusingan U dan mengaitkan LCS sebagai satu masalah, bahkan mendakwa kononnya wujud penyelewengan dalam pemerolehan kapal tersebut?

Apa pun, rakyat lega dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan akan menyiasat dakwaan berkaitan pemerolehan LCS dengan sedalam-dalamnya. Malah beliau juga berjanji bahawa kerajaan tidak akan melindungi sesiapa atau menyembunyikan mana-mana maklumat atau pihak yang didapati terlibat dalam perkara ini.

Jemaah menteri beliau juga atau membuat keputusan untuk mengubah status sulit atau terhad (declassify) rekod-rekod berkaitan dengan pemerolehan seperti dicadangkan oleh PAC.

Keputusan tersebut jelas mempamerkan pendirian kepimpinan Ismail Sabri yang terbuka dan telus serta sanggup mendengar suara rakyat terhadap dakwaan membabitkan urus tadbir kerajaan.

Justeru, rakyat yang mengharapkan kerajaan berlaku adil dan bersih serta tidak melindungi sebarang penyelewengan harus gembira dan menyokong kerajaan kepimpinan Ismail Sabri yang menepati cadangan PAC. Pendek kata, rakyat tidak perlu bimbang atau was-was terhadap projek LCS kerana wang kerajaan sejumlah RM6.08 bilion itu tidak hilang hangus seperti didakwa oleh setengah pihak. Meskipun BNS agak lambat dalam membekalkan kapal-kapal tersebut, tetapi syarikat itu difahamkan sedang membina enam LCS berkenaan seperti terkandung dalam dokumen perjanjian. Rakyat patut berasa lega. – UTUSAN

DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×