SELAMAT datang dalam kehidupan bersama-sama rasuah. Ini bukan kata-kata pesimis atau mengalah dengan kebobrokan yang membelenggu, tetapi hakikat yang perlu diterima. Setidak-tidaknya ketika rasuah sedang melalui satu transisi untuk menjadi satu normal baharu.
Hendak mengharapkan orang politik di kedua-dua belah pihak membanteras rasuah? Sesetengah dalam kalangan mereka pun ada berkepentingan dengan rasuah. Kalau ada ruang, sebahagiannya akan mengambil peluang dan undang-undang akhirnya menjadi renda di bucu tirai sahaja.
Kalau mengukur daripada banyak ucapan sesetengah pemimpin politik, mustahil rasuah terus menjadi masalah kita. Tetapi kita fikir juga bahawa tidak semua pekik lolong itu menjadi pelaksana iltizam yang tinggi dan tulus. Mereka ada hal-hal lain yang rakyat tidak mampu menghadamnya. Terlalu abstrak.
Oleh kerana itu, kalau diperhalusi sedalam-dalam, banyak yang dilontarkan oleh pemain politik mengenai rasuah adalah sisi yang memberi keuntungan. Bukan untuk kesejahteraan rakyat dan negara. Keuntungan politik menjadi matlamat utama. Pada era ini di mana politik sudah bertukar menjadi lombong emas, gandingan rasuah dan politik menjadi suatu yang sukar dipisahkan.
Keadaan yang kita alami sekarang tidak boleh disamakan dengan politik semasa menentang penjajah dan perjuangan kemerdekaan. Orang Melayu lebih awal mengenal perjuangan daripada politik kepartian. Cara dan matlamat perjuangannya begitu berbeza. Matlamat gerakan kebangkitan Melayu waktu itu hanya satu – merdeka.
Gerakan perjuangan itu dipimpin oleh golongan ulama, guru dan wartawan. Mereka tidak pandai menunggu imbuhan dan memberi nilai ringgit pada setiap yang dilakukan. Biarpun tumit sepatu menjadi senget dan tidak berganti, mereka tidak pandai berjuang untuk diri sendiri.
Itu adalah zaman tumit sepatu senget dan tidak mampu hendak ditampal. Itu zaman ‘kolot’ kerana berjuang tanpa balasan. Apabila menjengah zaman baharu dan politik menjadi lombong emas, jangankan tumit kasut, harga tali kasut pun sama dengan sebulan pendapatan buruh kasar.
Maka untuk mencari pemimpin yang tulus seperti era sebelum merdeka dalam gelombang kebendaan masa kini, ibarat kata penyair Muhammad Lufti Ishak, “Seperti mencari biji sawi dalam kolam.”
Zaman yang kita tempuh sekarang sudah jauh berbeza apabila politik menjadi kerjaya yang diidamkan oleh banyak orang dan tempat untuk cepat kaya. Apabila pemimpin memburu kekayaan, sihir kebendaan yang memandu akal fikiran dan menuju ke arah sama.
Rasuah dan rasukan kebendaan saling berdampingan dan berjalan seiringan. Selagi ada peluang dan kepintaran, selagi itulah pemburuan kebendaan tidak menemui penghujung.

ELIT
Walaupun tulisan ini memberi penekanan pada golongan politik, tetapi sama sekali tidak menafikan wujudnya rasuah dalam kalangan elit birokrat dan elit korporat. Bagaimanapun, penglibatan golongan politik dalam rasuah memberi kesan besar dan boleh meruntuhkan tamadun bangsa.
Hal ini kerana politiklah yang mencorakkan masa depan rakyat dan negara. Sebagaimana yang diketahui bahawa kerosakan yang dibawa rasuah akan mencacatkan semua sistem yang sepatutnya memberi kesejahteraan kepada rakyat.
Maka berhentilah menaruh harapan pada kuasa dan pengaruh politik untuk membanteras perbuatan rasuah. Politik, tidak kiralah kelompok yang mana, kerajaan atau pembangkang masing-masing ada kepentingan dalam isu rasuah.
Bukan itu sahaja malah ‘rasuah’ juga menjadi algoritma wajib dalam manifesto pilihan raya. Algoritma ini mesti digaristebalkan supaya rakyat akan terjegil apabila membaca atau ternganga semasa mendengar perkataan itu. Kemudian dengan pantas ia membius keraguan rakyat seolah-olah itulah pilihan setepatnya.
Kalau dilihat pada manifesto dan pekik lolong menjelang pilihan raya, negara ini sudah lama bebas daripada belenggu rasuah terutama yang melibatkan pemain-pemain politik. Tetapi hakikatnya, hendak banteras rokok pun masih terhegeh-hegeh, inikan pula lombong emas dalam politik.
Adakah mana-mana parti berani bertegas menolak rasuah? Bercakap sahaja adalah. Tetapi kalau diminta bertindak mereka akan berfikir banyak kali kerana rasuah sudah menjadi tiang seri berpolitik. Cabut tiang seri akan berselerak rumah politiknya.
Mungkin ada yang bertanya, kalau politik tidak boleh diharapkan membanteras rasuah, adakah kita hanya berpeluk tubuh menerima keadaan dengan seadanya? Tidak. Rakyat yang menolak rasuah mesti terus bangkit. Kita mesti menjaga kita. Jaga anak-anak dan generasi kita dengan menoleh kembali pada rukun hidup yang mendaulatkan agama, ilmu dan pendidikan.
Dengan kesedaran beragama, berilmu dan berpendidikan, sukarlah godaan kebendaan menerjah dan seterusnya menghanyutkan. Sebab itulah ketiga-tiga ini terus diperlukan dalam menggerakkan negara menjadi maju, moden dan berteknologi tinggi.
Dengan mengangkat tiga teras tadi, kompas menuju pada semua yang membawa maksud kemodenan itu akan menjadi lebih terarah. Tidak ada siapa lagi yang endah kecuali kita yang sedar. – UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











