LCS: Tadbir urus lemah - Utusan Malaysia

LCS: Tadbir urus lemah

PROJEK LCS dihentikan kerana syarikat bertanggungjawab, Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sudah 'kehabisan duit' untuk melaksanakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tadbir urus Kementerian Pertahanan untuk kontrak pembekalan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) lemah dan tidak menjaga kepentingan kerajaan.

Kesimpulan itu dikemukakan dalam Laporan Siasatan Perolehan Enam Buah Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan LCS, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang mula dinyahklasifikasi semalam, jawatankuasa tersebut mendapati sebahagian klausa-klausa kontrak tidak menjaga kepentingan kerajaan serta tidak mengambil kira peraturan dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.

“Syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) juga didapati mempunyai kelemahan dari aspek pengurusan dan kekangan kewangan yang amat kritikal.

“Kelemahan klausa kontrak dan syarikat BNS telah menjurus kepada kelewatan pelaksanaan pembinaan enam buah LCS tersebut,” menurut laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang.

Laporan tersebut turut menyebut, kelewatan pihak kerajaan dan pihak syarikat untuk memuktamadkan beberapa komponen projek turut menjejaskan prestasi pelaksanaan projek secara keseluruhan dan menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan penyerahan LCS.

“Penglibatan anggota pentadbiran di peringkat awal sebelum kontrak ditandatangani telah menyebabkan reka bentuk dan komponen atau peralatan yang diperlukan oleh TLDM sebagai end user (pengguna) diketepikan,” katanya.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut berpendapat, meneruskan kontrak LCS masih wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.

“JKSTUPKK mencadangkan Kementerian Pertahanan hendaklah segera membentangkan kesemua penemuan siasatan, implikasi kewangan kerajaan dan hala tuju projek berkenaan bagi membolehkan jemaah menteri mempertimbangkan dan membuat keputusan yang terbaik mengenai hala tuju pembinaan enam buah LCS tersebut,” jelas laporan itu.

Pihak JKSTUPKK turut mengesyorkan lapan perkara sekiranya kerajaan hendak meneruskan kontrak projek berkenaan.

Pertama, syarikat BNS dan Pasukan Projek LCS TLDM perlu memuktamadkan segera perubahan peralatan iaitu Integrated Platform Management System (IPMS), Decoy Launching System (DLS) dan permohonan pelanjutan tempoh kontrak.

Kedua, syarikat BNS perlu segera menyiap dan memuktamadkan rekaan terperinci LS, dengan pihak Kementerian Pertahanan perlu memberi tempoh masa secara bertulis kepada BNS.

Ketiga, kerajaan perlu membuat kawalan ketat ke atas bayaran kemajuan kepada Syarikat BNS supaya sumber kewangan tersebut hanya digunakan untuk membiayai pembinaan LCS. Ini bagi mengelakkan bayaran dibuat kepada pihak lain yang tidak berkaitan dengan projek pembinaan LCS.

Keempat, Liquidated Damages (LD) perlu dikuatkuasakan ke atas syarikat BNS seperti mana diperuntukkan kontrak bagi penyerahan setiap kapal (PHO). Kerajaan hendaklah tidak mempertimbangkan sebarang pengecualian LD terhadap BNS.

Kelima, syarikat BNS perlu meningkatkan amalan tadbir urus yang baik dalam pengurusan kewangan, perolehan peralatan dan perkhidmatan dengan OEM atau pembekal bagi memastikan harga diperolehi ialah sepadan dengan duit dibelanjakan kerajaan.

Keenam, Kementerian Pertahanan perlu memperkemaskan pengurusan kontrak khususnya capping dalam LD tidak dimasukkan dalam Supplementary Contract kementerian yang akan ditandatangani kelak. Ini bagi mengelakkan kerajaan mengalami kerugian kerana LD tidak dapat dikuatkuasakan bagi penyerahan kapal yang melepasi tempoh had maksimum.

Ketujuh, sekiranya kerajaan ingin memuktamadkan jenis kapal daripada BNS, kerajaan perlu memuktamadkan kos dan masa yang diperlukan bagi penyerahan kapal berkenaan.

Kelapan, kerajaan perlu meneliti secara mendalam sebelum mempertimbangkan sebarang permohonan oleh syarikat BS untuk menambah kos pembinaan bagi menyiapkan pembinaan enam buah LCS tersebut.

“Kajian cost benefit hendaklah dilaksanakan memandangkan anggaran kos projek akan meningkat melebihi had silling projek yang sebelum ini berjumlah RM9.128 bilion.

“Bagi mengelakkan kos ini terus meningkat, kerajaan perlu mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan pembinaan keenam-enam LCS atau mengurangkan bilangannya tertakluk kepada kesan ke atas kos dan masa,” katanya.

Setakat 31 Mei 2019, kerajaan telah membuat bayaran sebanyak RM5.94 bilion dan peratus pembinaan bagi LCS 1 hanya mencapai 36.75%, LCS 2 sebanyak 32.61%, LCS 3 sebanyak 29.08%, LCS 4 sebanyak 21.96% dan LCS 5 sebanyak 1.55% manakala pembinaan LCS 6 belum bermula.

Siling asal peruntukan ialah sebanyak RM9 billon dan tambahan sebanyak RM128.6 juta. Jumlah yang telah dibayar adalah sebanyak RM5.94 billon, ini bermakna terdapat baki yang masih belum dibayar untuk projek LCS berjumlah RM3.188 bilion.

Mengambil kira pencapaian fizikal keenam-enam buah LCS tersebut masih berbaki antara 63.25% hingga 100%, adalah dijangkakan baki peruntukan kewangan sebanyak RM3.188 bilion tidak dapat menampung untuk menyiapkan sepenuhnya pembinaan keenam-enam buah LCS tersebut.

Kedudukan aliran tunai syarikat BNS setakat 31 Mei 2019 dilihat amat lemah, apabila syarikat itu berhutang dengan sembilan buah bank dan Boustead Holdings Berhad sebanyak RM956.89 juta dan hutang kepada pembekal dan OEM sebanyak RM801.11 juta.

Laporan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan lanjutan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 4 Ogos lalu dan keputusan Kabinet pada 10 Ogos 2022.

Orang ramai yang ingin melihat laporan JKSTUPKK tersebut boleh memuat turun laporan setebal 106 termasuk lampiran di Facebook PAC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×