SPR bersedia PRU15

SPR bersedia PRU15

ABDUL GHANI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri sudah membuat persediaan untuk melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa selaras dengan tanggungjawabnya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jika berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat, sejumlah 21.1 juta pemilih layak me­ngundi dengan jangkaan per­belanjaan mengurus pilihan raya lebih kurang RM1 bilion.

Katanya, persediaan itu termasuklah mengenal pasti pusat mengundi, pusat penamaan calon, pusat penjumlahan rasmi undi dan petugas pilihan raya.

Menurutnya, para petugas pilihan raya di seluruh negara juga telah diberikan pelbagai latihan dan kursus intensif supaya mereka jelas mengenai peranan, tugas dan tanggungjawab masing masing.

“Dari aspek perundangan, Fasal (2) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

“SPR telah mengambil segala inisiatif yang perlu merangku­mi segala aspek urusan belan­jawan, logistik, keperluan per­kakasan dan sistem ICT, pengurusan sumber manusia serta latihan kepada petugas,” kata­nya di sini, semalam.

Menurut Abdul Ghani, setelah Parlimen dibubarkan, maka dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itulah pilihan raya mesti diadakan berdasarkan kepada Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Di peringkat inilah salah satu daripada tiga fungsi dan tanggungjawab SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan bermula.

Jelasnya, persediaan ini penting bagi memastikan pe­ngendalian penjalanan pilihan raya kelak adalah lancar, sempurna dan teratur terutamanya dalam tempoh fasa peralihan ke endemik ini.

Beliau menjelaskan, seramai 5,718,760 orang pemilih telah didaftarkan selepas pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemi­lih secara automatik dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu melalui pewartaan penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Seksyen 3 Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurutnya, jumlah 5,718,760 pendaftar adalah meliputi semua warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas direkodkan sehingga 31 Disember 2021.

Seterusnya, kata beliau, semua warganegara yang mencapai umur 18 tahun akan didaftarkan sebagai pemilih dalam Daftar Pemilih Tambahan (DPT) yang diperaku dan diwartakan setiap bulan.

Sehingga DPT Bulan Jun 2022 yang diperaku dan diwartakan pada 19 Julai 2022 yang lalu, jumlah keseluruhan pemilih ialah 21,136,265 orang.

SPR amat menggalakkan orang ramai untuk membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih di portal rasmi SPR iaitu https://www.spr.gov.my atau https:­//mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau meng­hubungi Hotline SPR di talian 03- 8892 7018.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dimenangi Pakatan Harapan (PH) yang sebelum itu merupakan pembangkang di Parlimen Malaysia.

Gabungan PH mendapat majoriti mudah 113 kerusi di Dewan Rakyat ditambah dengan lapan kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk membentuk 121 kerusi keseluruhannya di Parlimen, cukup bagi membentuk kerajaan baharu.

Namun, PH hanya ber­kesempatan memerintah selama 22 bulan selepas berlaku ‘Langkah Sheraton’ yang me­nyaksikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta 11 Ahli Parlimen PKR keluar membentuk gabungan lain bersama UMNO dan Pas serta parti-parti di Sarawak bagi me­nubuhkan kerajaan baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×