Gantung sementara projek LCS - Utusan Malaysia

Gantung sementara projek LCS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek pembinaan enam kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu digantung sementara satu siasatan menyeluruh diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd. Nizam Mohd. Isa berkata, langkah itu perlu diambil susulan pendedahan yang dilakukan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap kontrak perolehan projek berkenaan.

Katanya, laporan yang didedahkan itu jelas menimbulkan banyak persoalan serta kemarahan rakyat berkaitan perolehan berkenaan.

“PAC sudah lakukan siasatan dan ada data, jadi kita takut sekiranya ada penyelewengan.

“Dengan kerugian RM6 bilion, ambil masa 10 tahun, tetapi kapal tidak siap, itu satu kerugian kepada rakyat. Itu pasti menjadi kemarahan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

PAC sebelum ini menyenaraikan sembilan rumusan punca yang antaranya ialah kerajaan gagal mengesan masalah kewangan Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) berhubung perolehan LCS semasa melakukan penilaian terhadap syarikat berkenaan.

Laporan PAC juga mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS yang disiapkan.

Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga perlu diwujudkan untuk menyiasat kontrak perolehan pembinaan enam kapal tempur itu.

Beliau menambah, perolehan berkaitan projek pembinaan LCS itu juga perlu diusulkan untuk dibahas di sidang Parlimen kerana seperti ada `benda tidak kena’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×